Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Kota

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Komitmen BN bawa pembaharuan

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh GARRET DAWUM
kota@utusan.com.my

Mohd. Fathil Daud (dua dari kiri) sentiasa bersikap terbuka dan cuba menyelesaikan masalah yang dikemukakan penduduk Bangi demi kesejahteraan bersama. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 10 April - Kesesakan teruk di sekitar kawasan Serdang sejak enam tahun lalu telah menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan buntu mencari penyelesaian apatah lagi aduan kepada wakil rakyat mereka boleh diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi.

Namun demikian, dengan semangat komited dan tulus untuk membantu rakyat, kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membantu kawasan Serdang yang merupakan kerusi Parlimen hasil persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 1994 untuk mengecapi pembangunan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Di bawah Parlimen Serdang kini terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bangi, Balakong dan Seri Kembangan.

Mengikut daftar pemilih yang berakhir pada suku tahun keempat 2012, Parlimen Serdang mempunyai 133,265 pengundi berdaftar dan kaum Cina merupakan majoriti dengan bilangan 64,809 diikuti Melayu (52,734) India (14,709) dan kaum lain (1,013).

Penyelaras BN Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, walaupun kerajaan BN tidak diberi mandat menerajui Parlimen tersebut setelah BN yang diwakili Datuk Hoh Hee Lee (MCA) kalah kepada wakil DAP, Teo Nie Ching dengan majoriti 21,025 pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kerusi itu tidak pernah dianak tirikan.

Beliau yang pernah menyandang kerusi Parlimen tersebut berkata, tidak hairan sekiranya masalah kesesakan menjadi isu utama dan serius dalam kalangan penduduk sekitar Serdang kerana jelas peralihan kuasa menunjukkan wakil DAP hanya pandai membuat kenyataan tanpa melakukan sebarang tindakan.

"Mereka hanya bijak membuat spekulasi dan menuding jari bahawa masalah kesesakan itu perlu diselesaikan oleh Kerajaan Pusat.

"Namun mereka perlu sedar bahawa Kerajaan Pusat telah memperuntukkan geran bagi menyelenggara jalan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Pian Hon, kesesakan yang serius terutama di Seri Kembangan akan diselesaikan segera apabila Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM90 juta pada 27 Julai 2011 untuk membina persimpangan bertingkat Seri Kembangan yang menghubungkan Lebuhraya Maju (Mex).

Katanya, kira-kira 130,000 penduduk bukan sahaja dari Parlimen Serdang (DUN Seri Kembangan) malah kawasan Parlimen Puchong (DUN Sri Serdang) bakal menikmati manfaat laluan selesa dan menjimatkan masa perjalanan sepanjang Jalan Persekutuan yang terlibat di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

"Pembinaannya dijangka siap dalam tempoh 18 bulan selepas Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjalankan proses pengambilalihan tanah dan lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor ke tapak cadangan projek pada 2 Julai tahun lalu. Kini, kerja pembersihan pula sedang dilakukan yang bermula Januari lalu," katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan juga telah membantu kerajaan negeri dengan memperuntukkan RM14.2 juta untuk membina persimpangan bertingkat bagi menggantikan lampu isyarat di Jalan Serdang Raya-Lebuhraya Bukit Jalil.

"Walaupun jalan tersebut adalah jalan negeri, kerajaan BN yang sentiasa prihatin terhadap infrastruktur dan kemudahan rakyat tampil untuk membantu menangani masalah kesesakan.

"Kini jejambat sepanjang 250 meter itu sudah dibuka kepada pengguna sejak 2011 bagi melancarkan aliran trafik, seterusnya mengurangkan kesesakan lalu-lintas yang dikatakan berpunca daripada lampu isyarat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dakwaan bahawa terowong RM30 juta hanya tinggal janji adalah tidak benar kerana kerajaan BN sentiasa berpegang teguh pada 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' dengan menepati janji dan meluluskan pembinaan terowong (underpass) serta jalan sambungan melintasi Taman Kajang Utama di Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dengan peruntukan RM30 juta.

Katanya, pembinaan terowong sepanjang 33 meter dan jalan sambungan sepanjang 675 meter dijangka siap dalam masa 27 bulan termasuk tempoh pengambilan tanah mulai suku pertama tahun ini sehingga suku kedua tahun 2015.

"Kira-kira 20,000 pengguna akan mendapat faedah daripada pembinaan terowong dan jalan sambungan itu yang akan menyediakan akses terus iaitu keluar masuk ke Taman Kajang Utama tanpa melakukan sebarang pusingan U yang terletak sejauh dua kilometer," katanya.

Dalam pada itu, Pian Hon yang juga Ketua Penerangan BN Selangor berkata, sepanjang lima tahun DAP memegang Parlimen Serdang, tiada pelan induk sosioekonomi diwujudkan oleh mereka yang dilihat penting untuk memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, demi memastikan kelangsungan dan kestabilan dalam sosioekonomi, BN telah memastikan tahap pendidikan dan kesihatan sentiasa dipertingkatkan.

"Hospital Serdang yang dibina dengan menelan kos kira-kira RM770 juta dan siap serta dibuka pada 2005 antara bukti kekuatan pimpinan BN di sini. Selain itu, dua buah klinik 1Malaysia turut dibina di Balakong iaitu Balakong Jaya dan Taman Impian Ehsan.

"Pembinaan sekolah turut rancak dengan membina dua buah sekolah jenis kebangsaan Cina di Equine Park dan menaik taraf dua sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) iaitu SJK(T) Bangi dan SJK(T) West Country. Turut dibina tiga sekolah kebangsaan masing-masing di Bangi (SK Taman Bukit Mahkota dan SMK Sg. Ramal) dan SK Taman Sutera di Balakong," katanya.

Katanya, di bawah BN, tidak mustahil Serdang akan membangun seperti bandar-bandar besar lain di negara ini.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Serdang yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bangi, Datuk Mohd. Fathil Daud berkata, kerajaan BN terus komited dalam memberi perkhidmatan kepada penduduk untuk menjadikan Bangi sebuah kawasan yang lebih maju.

Mengenai agendanya untuk penduduk Bangi, beliau berkata, antara yang akan cuba disegerakan ialah pembinaan sebuah terowong di Kajang Utama bagi merentasi Lebuh raya Lingkaran Kajang (SILK).

Selain itu, katanya, beliau akan memperjuangkan pembinaan sekurang-kurangnya tiga buah sekolah menengah, sekolah rendah dan sekolah agama.

"Bangi ialah sebuah kawasan yang pesat membangun kerana di sini terdapat kawasan industri, hampir dengan Putrajaya, Cyberjaya, Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta beberapa buah universiti dan kolej.

"Jadi saya melihat sekolah-sekolah yang ada sekarang mungkin tidak akan dapat menampung pertambahan pelajar dalam masa beberapa tahun lagi," katanya.

Beliau juga merancang untuk mewujudkan beberapa buah pusat perkhidmatan masyarakat bagi memudahkannya melayani aduan penduduk.

Mengenai persediaan DUN Bangi menghadapi pilihan raya, Mohd. Fathil berkata, mereka tidak berasa tertekan walaupun hari pengundian semakin hampir.

Malah pihaknya berasa semakin bersemangat setelah menyaksikan sokongan pengundi dan jentera pilihan raya yang bekerja keras.

K1M bawa seribu rahmat

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

PEMBUKAAN Klinik 1Malaysia di Taman Melati, Kuala Lumpur memberi seribu rahmat kepada penduduk setempat yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan kesihatan. - UTUSAN/Aizzul A. Majid

KUALA LUMPUR 10 April - Jika sebelum ini penduduk di Taman Melati, dekat sini terpaksa mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang terletak lebih 10 kilometer dengan menaiki pengangkutan awam atau menaiki kenderaan sendiri, berbeza pula suasana hari ini.

Umpama seribu rahmat, sejak pembukaan Klinik 1Malaysia (K1M) di kawasan perumahan itu sejak dua tahun lalu, penduduk sekitar hanya perlu berjalan kaki atau sekurang-kurang menaiki motosikal.

Penduduk mengganggap K1M yang hanya mengenakan bayaran RM1 untuk mendapat rawatan itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam memastikan rakyat berpendapatan rendah mendapat perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.

Tinjauan Utusan Malaysia ke K1M ke lokasi hari ini mendapati, rata-rata mereka yang mendapatkan rawatan ke klinik berkenaan berpuas hati dengan rawatan yang diterima.

Seorang pekerja swasta, Haliza Abdul Satar, 46 berkata, dia dan keluarga kerap mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

"Walaupun tidak seperti klinik-klinik swasta yang lain, namun sedikit sebanyak penyakit seperti demam, batuk, selsema dan penyakit-penyakit ringan yang lain dapat dirawat.

"Selain itu, rawatan susulan untuk pesakit diabetes, darah tinggi dan asma turut disediakan," katanya.

Sementara itu, penduduk di Flat Sri Kedah, Hamidah Ismail, 59 berkata, dia bersyukur dengan pembukaan klinik berkenaan kerana tidak perlu bersusah payah menaiki bas untuk ke HKL.

"Setiap bulan saya akan mendapatkan rawatan susulan di klinik ini. Malah, anak-anak dan cucu turut mendapatkan rawatan di sini.

"Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana sering mencari inisiatif terbaik demi kesejahteraan rakyatnya," ujarnya.

Manakala, jirannya, Sharifah Ariffin, 57, pula berkata, klinik seumpama itu tidak mungkin berada di tempat lain.

"Kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan berusaha membina kemudahan seperti K1M dan ia tidak mungkin didapati di negara lain," katanya.

Dalam nada sama, seorang pemandu teksi, S. Robert, 43 berkata, klinik tersebut telah banyak membantu golongan berpendapatan rendah sepertinya.

"Sejak ia ditubuhkan, kami sekeluarga tidak pernah mendapatkan rawatan di tempat lain, hanya di K1M," katanya.

Mangsa kebakaran Kampung Sungai Penchala ditawar PPR Bukit Jalil

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua kiri) mengambil kesempatan beramah mesra dengan mangsa kebakaran selepas majlis penyampaian bantuan di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 April - Sebanyak enam keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sungai Penchala di sini ditawarkan unit pangsa puri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Jalil selepas kediaman mereka musnah dijilat api.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, mangsa juga tidak perlu membayar sewa bagi tiga bulan pertama menduduki PPR tersebut.

"Mereka hanya perlu menjelaskan deposit sewa, bil elektrik dan air yang berjumlah kira-kira RM390 bagi setiap keluarga," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Mohd. Idris Mohd. Isa, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Segambut, D.B. Jayanthi dan Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Kamaruddin Ambok.

Dalam majlis itu, setiap keluarga menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM500 daripada YWP dan RM300 lagi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tambah Raja Nong Chik, enam keluarga itu juga masing-masing sudah menerima sumbangan berjumlah RM2,000 daripada Baitulmal.

"Sumbangan itu bertujuan untuk mengurangkan beban yang ditanggung mereka selain menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Shamsul Anuar Othman, 41, berkata, bantuan tersebut amat berguna memandangkan semua harta benda termasuk tiga buah kereta milik ahli keluarganya musnah dijilat api dalam kejadian pada 26 Mac lalu.

Menceritakan semula kejadian itu, Shamsul berkata, kebakaran itu berpunca daripada lintar pintas rumahnya sebelum menyambar lima buah kediaman milik jirannya.

"Saya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku biarpun tiga ahli keluarga berada di dalam rumah ketika kejadian itu," ujar peniaga pakaian terpakai itu.

Seorang lagi mangsa, Mansor Dunda, 40, berkata, dia sedang tidur ketika kebakaran itu berlaku sebelum terjaga selepas mendengar jeritan daripada jiran tetangga.

"Saya hanya tinggal bersama isteri dan kini menyewa sementara sebuah bilik berdekatan sini," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan