Isnin, 29 April 2013

Utusan Online - Selatan

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


14,141 terima bantuan JKM RM3.73 juta di Melaka

Posted: 25 Apr 2013 01:10 PM PDT

MELAKA 25 April - Sebanyak 14,141 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima bantuan bernilai RM3.73 juta bagi bulan Mei di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (gambar) berkata, bantuan yang diberikan secara bulanan itu meliputi penerima dari 13 buah Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar daerah Melaka Tengah.

Menurut beliau, di Ayer Molek sahaja peruntukan sebanyak RM33 juta diberikan manakala di seluruh negeri ini, sebanyak RM84 juta merangkumi RM11 juta daripada peruntukan kerajaan negeri di salurkan kepada kira-kira 29,000 penerima bantuan JKM.

"Sebelum ini, bantuan bulanan hanya melibatkan 11,000 penerima sahaja tetapi kini melebihi jumlah 29,000 orang.

"Bantuan yang diberikan kerajaan ini diharapkan akan sentiasa disyukuri mereka yang layak menerima dan diharapkan mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan terkeluar dari kepompong kemiskinan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan JKM kepada 1,008 penerima di Japerun, Ayer Molek, di sini hari ini.

Turut hadir calon BN DUN Air Molek, Md. Yunos Husin.

Mohd. Ali yang juga Pengerusi Barisan Nasional negeri mengingatkan jentera parti sentiasa berwaspada dengan sebarang kejadian yang tidak diduga.

Katanya, beberapa insiden keganasan yang berlaku sepanjang tempoh berkempen perlu dielakkan supaya kelancaran kempen dapat dijalankan dengan teratur.

"Rakyat hendaklah sentiasa menghormati tatasusila dan undang-undang negara supaya kempen berjalan lancar sesuai dengan semangat demokrasi di negara ini," katanya.

Wanita diseru berniaga - Ahmad

Posted: 24 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh LUQMAN HAZIQ
utusanjohor@utusan.com.my

Ahmad Maslan

PONTIAN 24 April - Golongan wanita di daerah ini digesa mencontohi isteri Rasulullah SAW, Siti Khadijah dengan menceburi bidang perniagaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan kerusi Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, Siti Khadijah boleh dianggap sebagai bendahari pertama pergerakan Islam di dunia.

"Bendahari pergerakan Islam yang pertama adalah seorang wanita dan kita mahu golongan wanita mencontohi kegigihan Siti Khadijah ini dalam berniaga.

"Malah, dalam hadis Nabi pun disebut, sembilan daripada 10 punca kekayaan adalah datangnya daripada aktiviti perniagaan. Dan Rasulullah sendiri sejak berusia enam tahun sudah mengikuti bapa saudaranya, Abu Talib berniaga ke serata tempat," katanya semasa pertemuan dengan golongan wanita dan ibu tunggal di Lorong Abdullah, di sini hari ini.

Beliau bersama isteri, Datin Noraini Sulaiman turut menemui para pengundi di beberapa kawasan di bandar ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, golongan wanita khususnya ibu tunggal boleh menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah untuk menambah pendapatan keluarga.

"Kita harus tahu bahawa kemiskinan bukan sesuatu untuk diwarisi. Kerajaan BN sentiasa membantu dengan menyediakan pelbagai peruntukan dan modal seperti yang diberikan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dan sebagainya.

"Jadi, kita perlu keluar dari 'putaran ganas' kemiskinan ini dengan berusaha gigih dan salah satu caranya menerusi bidang perniagaan," katanya.

DUN Pilah pesat membangun

Posted: 22 Apr 2013 11:48 AM PDT

Oleh Noor Hanis Harun
utusanN9@utusan.com.my

PENDUDUK kini boleh mendapatkan barang-barang keperluan harian di pasar raya Giant yang baru dibina di Melang, Kuala Pilah.

KUALA PILAH 22 April - Penduduk di sini mengakui hanya Barisan Nasional (BN) yang banyak menabur bakti kepada mereka dengan menjadikan kawasan Kuala Pilah maju dan dibanggakan.

Apa tidaknya, daripada sebuah pekan 'koboi', Kuala Pilah sudah pun menjadi bandar satelit yang membangun begitu pantas terutama setelah jalan baharu Seremban-Kuala Pilah siap dibina beberapa tahun lalu, sekali gus memudahkan kehadiran pelabur ke daerah ini.

Bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Adnan Abu Hassan berkata, pembangunan pesat di kawasan DUN Pilah mencakupi kawasan bandar Kuala Pilah, yang sememangnya sudah dilengkapi pelbagai kemudahan dan infrastruktur moden, memberikan manfaat besar serta keselesaan kepada penduduk di sini.

Katanya, pembangunan yang dilaksanakan di DUN Pilah adalah bersesuaian dengan demografik kawasan tersebut.

"Pendekatan yang dilaksanakan di sini adalah pembangunan seimbang dari segi perkembangan fizikal dan rohani untuk bandar serta penduduk berbilang kaum terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India.

''Bandar Kuala Pilah pula berada pada kedudukan yang strategik dan menjadi tumpuan ramai kerana terletak di antara Bahau dan Seremban serta merupakan laluan pengguna jalan raya yang ingin ke Pantai Timur," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Adnan tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk mempertahankan DUN Pilah dan tempatnya diisi oleh Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Norhayati Omar.

Adnan memberitahu, sepanjang berkhidmat, keutamaan diberikan kepada pembangunan infrastruktur, ekonomi, perumahan rakyat, pendidikan dan latihan, kesihatan, rekreasi dan sukan, kebajikan, pertanian dan pembinaan masjid, surau serta rumah-rumah ibadat yang lain.

''Sebagai contoh, proses baik pulih Dewan Orang Ramai Kampung Jawa yang sudah tidak boleh digunakan oleh penduduk. Selepas saya menjadi wakil rakyat dahulu, tidak sampai dua tahun, dewan ini telah dibaiki dan boleh digunakan.

''Kita turut membina Klinik 1Malaysia di kawasan Melang untuk kemudahan penduduk mendapatkan bantuan perubatan dan rawatan dengan bayaran yang minimum," katanya.

Beliau turut menjelaskan, beberapa projek perumahan yang tergendala seperti Taman Bukit Ara dan Taman Selasih dekat sini berjaya diteruskan pembinaannya dan kini sudah boleh didiami.

Tambah Adnan, antara pencapaian yang paling diingatinya ialah penubuhan Terminal Sejahtera di Melang iaitu sebuah pusat tuisyen yang memberikan perkhidmatan secara percuma kepada pelajar yang kurang mampu dari kawasan berdekatan.

''Sebanyak RM770,000 telah diperuntukkan untuk program ini yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah dengan kerjasama kerajaan negeri.

''Projek ini amat penting kerana ia dapat meningkatkan tahap penguasaan pelajar dalam pelajaran termasuk teknologi maklumat dengan adanya bantuan komputer dan tenaga pengajar untuk proses pembelajaran di Terminal Sejahtera," katanya.

Adnan memberitahu, pembinaan pasar raya dan penubuhan institusi pendidikan di kawasan ini juga telah menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang positif dalam kalangan penduduk.

''Penduduk boleh mendapatkan barang-barang keperluan harian di pasar raya yang baru dibina seperti Giant dan Econsave, malah ia boleh menjadi tempat istirehat bersama keluarga di hujung minggu.

''Banyak institusi pendidikan juga telah ditubuhkan di dalam kawasan DUN Pilah antaranya, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kuala Pilah, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah dan Kolej Matrikulasi Kuala Pilah," ujarnya.

Adnan menambah, impiannya untuk membina sebuah masjid di kawasan tersebut juga tercapai dengan terbinanya Masjid Al Firdaus di situ, malah projek itu mendapat pengiktirafan sebagai Anugerah Kontraktor Terbaik Kategori Bangunan Bawah RM5 juta.

''Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) turut melaksanakan projek pembangunan semula Bazar Melayu yang berjaya memberi imej baru kepada kawasan perniagaan usang itu di bandar Kuala Pilah," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk di DUN Pilah yang sentiasa bergerak aktif dan menyokong BN selama ini.

"Saya mahu penduduk tahu bahawa segala usaha kerajaan BN ini adalah hasil perancangan yang teliti supaya setiap janji yang dibuat kepada rakyat di kawasan ini dapat direalisasi," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan