Selasa, 9 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


1,256 pelajar cemerlang Parlimen Bukit Katil dirai

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

PARA pelajar cemerlang peperiksaan Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) bersalaman bersama Mohd. Ali Rustam pada majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Parlimen Bukit Katil di Melaka, semalam.

MELAKA 8 April - Seramai 1,256 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam sepanjang tahun 2012 diraikan dalam majlis Anugerah Pelajar-Pelajar Cemerlang Parlimen Bukit Katil, di sini.

Mereka menerima sijil penghargaan dan sagu hati berdasarkan keputusan cemerlang mereka dalam Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Majlis penyampaian anugerah tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dewan Seri Negeri, semalam.

Mohd. Ali dalam ucapannya berkata, pemberian anugerah tersebut sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak iaitu ibu bapa dan guru-guru termasuk para pelajar di atas usaha gigih dan mengiktiraf pencapaian akademik mereka.

"Tahniah dan syabas kepada mereka yang berjaya dan ini satu perkembangan positif dalam pendidikan anak-anak di negeri ini yang semakin meningkat saban tahun.

"Melalui suntikan semangat ini, saya berharap para pelajar sentiasa menggandakan usaha di samping mempertingkatkan prestasi sekali gus mengharumkan nama negeri ini," katanya.

Mohd. Ali berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi keutamaan dalam bidang pendidikan di negara ini dan perkara tersebut terkandung dalam manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu lalu.

Beliau berkata, dalam aku janji itu, kenaikan baucar buku daripada RM250 ke RM300, bantuan persekolahan naik daripada RM100 ke RM150 dan kenaikan pangkat 420,000 guru membuktikan keprihatinan BN terhadap semua golongan.

"BN sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk semua kaum dalam usaha mengukir masa depan yang lebih gemilang pada masa akan datang," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan