Selasa, 9 April 2013

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Askar Wataniah mesti utamakan nasionalisme - Raja Muda Perlis

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

KANGAR 8 April - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Askar Wataniah menjadi agensi utama menyemai semangat nasionalisme dan kenegaraan kepada masyarakat selain menjadi benteng pertahanan nombor dua negara.

Titah baginda, rakyat yang mempunyai semangat nasionalisme dan kenegaraan pasti akan sentiasa berperanan membantu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman.

Semasa merasmikan Latihan Askar Wataniah 2013 di pekarangan Stadium Utama Kangar di sini semalam, baginda bertitah, pasukan keselamatan tidak boleh melaksanakan kesemua tugas mempertahankan negara dengan sempurna tanpa kerjasama masyarakat.

Ketibaan baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Panglima Briged Sempadan, Brig. Jen. Datuk Mohd. Ramli Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Lt. Kol. Zulfakar Abdul Wahid.

"Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan rakyat adalah faktor utama yang akan menjamin kesejahteraan berterusan sesebuah negara," titah baginda yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah.

Tuanku Syed Faizuddin juga mahu seluruh warga Askar Wataniah di segenap pelosok negara bersiap siaga menjadi sebagai responden gelombang pertama dalam apa jua keadaan sekiranya berlaku sebarang konflik atau pencerobohan di kawasan masing-masing.

"Antara yang boleh dilakukan ialah mendapatkan sebanyak yang mungkin maklumat ataupun perisikan tentang ancaman pihak musuh termasuk kekuatan, persenjataan, kedudukan, pengenalan atau identiti, motif serta hasrat mereka, atur gerak dan sebagainya," titah baginda.

Titah baginda, sebarang maklumat perlu disalurkan kepada pihak berwajib terutama unit tentera tetap yang paling berhampiran.

Baginda juga berharap, setiap anggota Askar Wataniah sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga sepanjang masa dalam usaha memburu maklumat mengenai ancaman tertentu. - BERNAMA

Perak mampu muncul pusat persilatan Melayu

Posted: 08 Apr 2013 12:55 PM PDT

ZAMBRY Abd. Kadir menerima anugerah tertinggi Selempang Pahlawan Setia Mahkota Negara daripada Ibrahim Mat Zin dalam Majlis Pemakaian Selempang Kehormat Pertubuhan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia di Ipoh, kelmarin.

IPOH 8 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berharap Perak mampu muncul sebagai pusat persilatan Melayu di Malaysia kerana sejarahnya banyak berkait rapat dengan negeri ini.

Mengambil contoh silat kalimah yang berasal dari Batu Kurau, warisan seni mempertahankan diri itu bukan sahaja mampu mendisiplinkan diri malah dapat membentuk fizikal serta rohani seseorang.

"Silat gayung misalnya berkait rapat dengan negeri Perak. Di sini lahirnya pendekar-pendekar serta mahaguru yang mengajarkan ilmu persilatan.

"Kita ingin melihat persilatan ini yang terdiri daripada pelbagai cabang dapat bersatu dan bergerak sebagai sebuah pasukan untuk terus mempertahankan warisan turun-temurun ini," katanya.

Beliau berucap dalam majlis perhimpunan serta demonstrasi persilatan Melayu oleh Pertubuhan Silat Gayung Ghaib Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Mahaguru Pertubuhan Silat Gayung Ghaib Malaysia, Datuk Ibrahim Mat Zain.

Dalam majlis tersebut, Zambry dan Zainol Fadzi masing-masing diberi penganugerahan melalui pemakaian Selendang Pahlawan Setia Mahkota Negara dan Selendang Panglima Seri Harimau Wira Negara.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi berkata, di bawah Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Perak (Pesaka) terdapat lebih 10,000 ahli yang menyertainya melibatkan 20 pasukan berdaftar.

Beliau yang juga Presiden Pesaka berkata, idea menubuhkan pusat persilatan Melayu itu sangat bernas berikutan terdapat lebih 200 gelanggang silat di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan