Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


'Usah didik murid benci kerajaan'

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh NOOR HANIS HARUN
utusanseremban@utusan.com.my

Mohamad Hasan bersama sebahagian murid dan guru SJKC Putra Nilai semasa majlis perasmian bangunan baharu sekolah tersebut di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/Noor Hanis Harun

SEREMBAN 2 April - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta guru-guru supaya tidak sesekali menjadikan kerjaya guru sebagai platform mendidik murid membenci kerajaan dan pemimpin negara.

Perbuatan mendidik murid membenci kerajaan dan pemimpin kata Mohamad, hanya akan mendorong aliran salah kepada murid selain meninggalkan kesan yang berbahaya dan berpanjangan pada masa hadapan.

"Saya mahu guru tanamkan semangat patriotisme, cintakan negara dalam benak hati murid. Jangan tanamkan sifat benci kepada negara dan pemimpin," kata beliau semasa merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Putra Nilai, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Shamsulkahar Mohd. Dali dan Pengerusi Eksekutif Nilai Resources Group Sdn. Bhd, Tan Sri Dr. Gan Kong Seng.

Bangunan baharu tiga tingkat sekolah berkenaan dibina di atas tapak seluas 2.42 hektar sumbangan pemaju Putra Nilai (BBN Development Sdn. Bhd.).

Dalam majlis itu, geran sekolah berkenaan turut diserahkan oleh Kong Seng kepada pihak pengurusan sekolah tersebut.

Menurut Mohamad, beliau kecewa sentimen negatif itu terdapat di kalangan guru sehingga ada yang sanggup menghina pasukan keselamatan di Lahad Datu, Sabah.

"Apa kata kalau yang terbunuh itu ialah ayah, abang atau adik beradiknya. Tahukah guru itu, pasukan keselamatan negara mati dalam keadaan yang begitu kejam?" katanya.

Mohamad turut bimbang jika wujud proses membenci kerajaan ini bermula dari tadika lagi terutama yang dikendalikan pihak persendirian, ia akan menjadi wabak yang sukar dibendung.

"Saya khuatir ada elemen yang lebih menakutkan berlaku suatu hari kelak. Saya berdoa supaya perkara itu dijauhkan dan tidak berlaku dalam negara yang kita sayangi ini," kata beliau.

IPD Alor Gajah jalin kerjasama dengan pemilik CCTV

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

ALOR GAJAH 2 April - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah bergerak proaktif dalam mencegah kejadian jenayah di daerah ini melalui jalinan kerjasama dengan 15 pemilik kamera litar tertutup (CCTV) yang akan memberikan akses penuh kepada polis untuk memantau CCTV berkenaan sekiranya berlaku jenayah.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, 15 pemilik CCTV itu terdiri daripada pelbagai kategori termasuk institusi perbankan, pasar raya, kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan juga premis persendirian.

Menurutnya, melalui kerjasama itu, usaha pencegahan dan tindakan awal apabila berlakunya jenayah dapat dilakukan dengan berkesan kerana polis dapat melihat kembali CCTV di lokasi berkenaan bagi mendapatkan maklumat penjenayah yang sekali gus mempercepatkan proses siasatan.

"Usaha mencegah jenayah tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasukan polis, ia mestilah dilakukan secara bersepadu dengan penglibatan masyarakat dan pelbagai pihak supaya kejadian jenayah dapat dibendung dengan berkesan.

"Melalui kerjasama ini, pemilik CCTV akan menyimpan salinan rakaman selama 30 hari dan sekiranya dalam tempoh itu berlakunya jenayah di kawasan sekitar premis berkenaan, polis dapat melihat kembali rakaman CCTV untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Majikan sempena Program Perkongsian Kamera Keselamatan PDRM peringkat IPD Alor Gajah di sini hari ini.

Kata Umar Ali Saifuddin, penyertaan lebih ramai majikan atau pemilik CCTV di daerah ini dalam program berkenaan adalah dialu-alukan supaya kawasan liputan visual dapat diperluaskan.

Tambah beliau, melalui fasa kedua program itu yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kesemua CCTV terlibat akan dihubungkan terus kepada bilik gerakan polis di peringkat daerah dan kontinjen.

"Pada masa hadapan, talian CCTV ini akan dihubungkan terus kepada bilik gerakan polis supaya pemantauan kawasan terlibat dalam dilakukan dengan lebih berkesan lagi seperti yang telah dilaksanakan di Wilayah Iskandar, Johor yang semua CCTV kawasan itu dihubungkan terus kepada bilik gerakan kontinjen," katanya.

Golongan muda perlu jadikan Za'ba contoh survival sebuah kejayaan

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

JEMPOL 2 April - Golongan muda hendaklah menjadikan Pendeta Za'ba atau Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Ahmad sebagai contoh kelangsungan menuju kejayaan.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yassin berkata, ketokohan pemikir agung itu bukan sahaja sinonim dalam dunia intelektual Melayu, malah selama hayatnya, beliau berjaya membawa wacana baru dalam pemikiran masyarakat yang selama ini dikongkong oleh kolonialisme.

"Pendeta Za'ba tidak hidup seperti anak-anak hari ini, yang ada banyak kemudahan untuk menimba ilmu dan belajar.

"Za'ba menghabiskan masa petangnya untuk bermain bersama rakan tetapi masih ada ruang untuk belajar dan beliau mampu menguasai banyak bahasa yang perlu dicontohi anak muda," ujarnya.

Lilah berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Kolokium Za'ba di Dewan Za'ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail dan Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Negeri Sembilan, Datuk Sudin Kamari.

Katanya, Za'ba mendapat pendidikan Melayu, Inggeris dan Arab, sesuatu yang jarang dimiliki oleh masyarakat Melayu pada era sebelum merdeka dan telah berjaya meletakkan dirinya sebagai tokoh pendidik, pemikir kreatif, agama dan lain-lain.

"Bagi menghargai sumbangan Pendeta Za'ba ini, usaha sedang dilakukan untuk membina sebuah perpustakaan Za'ba dan dewan terbuka. Sekarang kita sudah ada Dewan Za'ba bersebelahan Teratak Za'ba ini.

"Kita berharap selepas adanya perpustakaan ini, hasil karya tokoh agung itu dapat dihimpunkan di sini dan menjadi rujukan penting kepada pengkaji bahasa, sasterawan, pendidik, ilmuwan, pelajar dan sebagainya," ujar beliau.

Pada majlis itu juga, Lilah turut memaklumkan Lembaga Muzium negeri akan menerbitkan 20 buku modul baharu mengenai ketokohan Za'ba dan sebanyak enam buah buku mengenainya telah pun disiapkan untuk diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan