Isnin, 8 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Demi kesejahteraan rakyat

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Sebahagian penduduk Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam tekun mendengar ucapan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dalam Majlis Penyerahan dan Penyempurnaan Kerja Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), di Kuala Lumpur, kelmarin.

KUALA LUMPUR 7 April-Sebanyak 250,000 pemilik rumah melibatkan 90 kawasan perumahan kos rendah dan sederhana di seluruh negara telah menerima manfaat melalui Program Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang diperkenalkan sejak 2010.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, daripada jumlah itu, 70 hingga 80 peratus adalah terdiri daripada pemilik rumah di sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, melalui program itu nilai hartanah di kawasan terlibat telah berjaya ditingkatkan sehingga lebih 50 peratus.

"Sebagai contoh, rumah di kawasan Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam kini bernilai sehingga RM150,000 seunit berbanding RM25,000 sahaja ketika mula-mula dibeli pada tahun 1989.

"Ini sekaligus membuktikan kerajaan sentiasa komited dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup rakyat,"katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan dan Penyempurnaan Kerja TP1M di kawasan perumahan Taman Bukit Angkasa, di sini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Adnan Md. Ikhsan, Pengarah Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Mohd Idris Md. Isa dan wakil pengerusi-pengerusi Persatuan Penduduk Taman Bukit Angkasa, Mohd Safian Abdul Majid.

Raja Nong Chik berkata, daripada 90 kawasan itu, 44 projek penyelenggaraan telah disiapkan di sekitar Kuala Lumpur, manakala bakinya di negeri-negeri lain seperti di Johor, Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu.

Tambah beliau, walaupun pihak pembangkang sering melemparkan fitnah termasuk kononnya kos penyelenggaraan di bawah tabung ini tinggi berbanding kos yang dibuat kerajaan Selangor, ternyata mereka gagal memberikan sebarang bukti.

"Kita telah menulis kepada wakil rakyat berkenaan sejak Oktober tahun lalu dan bertanyakan kos yang dikatakan lebih murah itu tetapi sehingga kini tiada jawapan diterima,"katanya.

Tambahnya, kegagalan pihak pembangkang memberi sebarang penjelasan membuktikan kerajaan pakatan pembangkang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai buat kerja.

MDKL digesa segera baiki tembok penahan

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

Dr. Kamarul Rashdan Salleh (lima kiri) bersama penduduk Taman Nuri Indah, Kuala Langat melihat tembok penahan yang runtuh di kawasan perumahan berkenaan, semalam.

KUALA LANGAT 7 April - Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) digesa mengambil tindakan segera membantu penduduk Taman Nuri Indah yang menghadapi masalah tembok penahan di kawasan perumahan itu runtuh pada Mac lalu.

Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Dr. Kamarul Rashdan Salleh berkata, siasatan dilakukan mendapati, runtuhan tersebut adalah disebabkan kerja-kerja pengorekan tanah di sekeliling kawasan perumahan itu bagi tujuan membina parit.

"Pengorekan yang dipercayai dibuat tanpa kebenaran pihak berkaitan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran dilihat menyebabkan tembok penahan tidak stabil lalu runtuh di sebatang jalan.

"Kejadian ini telah merisaukan penduduk, boleh membahayakan keselamatan dan merosakkan struktur rumah yang dilihat retakannya semakin ketara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia semasa mengadakan lawatan ke kawasan itu di sini hari ini.

Projek perumahan tersebut telah diselamatkan SPNB mengikut spesifikasi dan menerima sijil layak menduduki (CF) pada 29 Januari lalu.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh SPNB selain melakukan kajian teknikal bagi membantu penduduk menyegerakan tindakan pembaikan oleh pihak bertanggungjawab.

Tambah Kamarul Rashdan, walaupun perkara tersebut tiada kaitan dengan SPNB, pihaknya memberi sokongan dan nasihat kepada penduduk berkaitan langkah-langkah yang boleh diambil.

"Kita merasa kecewa dengan pihak yang mengorek parit itu dan memohon agar MDKL mendengar rintihan penduduk yang sebelum ini pun menghadapi masalah rumah terbengkalai.

"Sebanyak RM5.4 juta wang rakyat telah digunakan bagi membantu pembeli yang terlibat dalam memulihkan projek perumahan terbengkalai ini, janganlah dipersia-siakan usaha kerajaan," jelasnya.

500 penduduk jayakan 'Gotong-royong Jom Cuci'

Posted: 07 Apr 2013 11:16 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 April - Kira-kira 500 penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini bergotong-royong membersihkan kawasan persekitaran perumahan itu sebagai langkah menyemai sifat menjaga kebersihan.

Program anjuran bersama Persatuan Penduduk Perumahan Awam Jalan Hang Tuah dan Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Bintang itu turut bertujuan mengeratkan hubungan baik antara pemimpin dan penduduk setempat.

Setiausaha BN Parlimen Bukit Bintang, Frankie Gan Joon Zin berkata, program yang dirancang sebelum perayaan Tahun Baharu Cina itu merupakan platform terbaik bagi pimpinan BN kawasan tersebut untuk turun padang dan bersama-sama menjalankan aktiviti membersihkan kawasan persekitaran.

"Bukan sahaja kawasan rumah kita akan bersih dan ceria, malah program ini turut membuktikan BN sentiasa sedia untuk bersama rakyat walaupun tidak diberi mandat dalam sesuatu kawasan seperti di Bukit Bintang.

"Inilah dia BN, sedia berkhidmat untuk masyarakat di mana jua mereka berada dan tidak pernah meminggirkan rakyat daripada pelbagai aspek," katanya ketika ditemui ketika menyertai Gotong-Royong 'Jom Cuci' 2013 di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi MCA cawangan Jalan Alor, Teo Kah Chwi.

Sementara itu, mengulas mengenai manifesto pilihan raya, beliau berkata, apa yang diuar-uarkan oleh pembangkang tidak logik berbanding aku janji BN yang lebih menyeluruh dan mesra rakyat.

Frankie menggesa rakyat membuka mata dan menilai sendiri perbezaan antara kedua-duanya.

"Janji pakatan lebih kepada memancing undi untuk mentadbir negara manakala aku janji BN bukan dibuat secara suka-suka, tapi berlandaskan kepada keperluan dan juga kemampuan negara untuk melaksanakannya.

"Jika BN terus diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya yakin Malaysia akan mencapai tahap negara maju berpendapatan tinggi berdasarkan pengalaman cemerlang mentadbir negara selama 55 tahun," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan