Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Politik

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Politik


Majlis Fatwa digesa bertindak

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

Oleh ROSMIZAN RESDI dan NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad
Presiden OMBAK

KOTA BHARU 11 April - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengambil tindakan segera terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung pelbagai kenyataan beliau kebelakangan ini yang boleh mengelirukan umat Islam.

Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh berdiam diri dan membiarkan Nik Abdul Aziz mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

"Perkara ini bukan hanya perlu disiasat tetapi harus diambil tindakan tegas kerana kenyataan itu dilihat boleh memecah-belahkan umat Islam," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin menyifatkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang antaranya mendakwa solat orang UMNO tidak mendapat pahala terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau menegaskan, apa yang dinyatakan Mursyidul Am Pas itu tiada dalam ajaran Islam dan menasihatkan orang ramai terutama umat Islam tidak berpegang kepada pandangan tersebut.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Nik Abdul Aziz kebelakangan ini seperti dakwaan solat orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapatkan kontrak.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Tukar (Tukar), Kamarudin Mohd. Kasim menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat setiap dakwaan Nik Abdul Aziz yang dilihat dibuat kerana dendam dan bermotifkan politik.

"Kita juga meminta Nik Abdul Aziz tidak terus menggunakan landasan agama untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh merosakkan akidah umat Islam," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim melahirkan rasa kesal dengan dakwaan Nik Abdul Aziz tersebut kerana menjadi contoh tidak baik kepada umat Islam apatah lagi Menteri Besar Kelantan itu membawa imej dan perwatakan Islamik.

"Pihak berkenaan harus mengambil tindakan kerana perkara ini merupakan sesuatu yang amat malang bagi umat Islam sekali gus boleh memecahbelahkan umat," katanya.

Nik Aziz 'parasit', fatwa 'nyanyuk' rugikan Pas

Posted: 11 Apr 2013 12:26 PM PDT

KOTA BHARU 11 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan 'parasit' di dalam partinya sendiri ekoran tindakannya sering kali mengeluarkan 'fatwa' yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai fatwa 'nyanyuk' yang dikeluarkan Menteri Besar Kelantan itu juga hanya boleh merugikan Pas sendiri.

Katanya, lebih banyak Nik Abdul Aziz mengeluarkan fatwa adalah lebih baik untuk Barisan Nasional (BN) kerana rakyat boleh menilai sendiri sifat sebenar Mursyidul Am Pas itu.

"Dia (Nik Abdul Aziz) jangan ambil kerja Allah SWT dengan sesuka hati menentukan dosa pahala dan syurga neraka seseorang kerana semua ini bergantung kepada amal ibadat kita.

"Saya harap Nik Aziz cukuplah mengeluarkan pelbagai fatwa, jangan rosakkan partinya sendiri. Saya amat simpati dengan dengan Pas kerana mempunyai parasit seperti ini," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Warga 8 Briged di sini hari ini.

Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa' sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak.

Sebelum itu, Nik Aziz turut mengeluarkan fatwa mendakwa UMNO merupakan sebuah parti yang murtad kerana menolak dan memperlekehkan Islam dalam dasar parti itu.

Hal ini menyebabkan Majlis Fatwa Kebangsaan menyifatkan fatwa daripada Nik Abdul Aziz itu terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abd. Shukor Husin menegaskan, pelbagai fatwa yang dikeluarkan Muryidul Am Pas itu tiada dalam ajaran Islam.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan menyelar segelintir pihak yang menghina dan memperlekeh peranan angkatan tentera dalam mempertahan kedaulatan negara.

Beliau berkata, mereka itu sebenarnya telah dibutakan oleh matlamat untuk mengejar kepentingan politik semata-semata.

"Soal pertahanan dan keselamatan negara tidak sepatutnya dipolitikkan. Dalam soal ini sepatutnya semua pihak tidak kira kerajaan mahupun pembangkang harus bersatu hati memberikan sokongan," katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya tindakan lima bekas jeneral yang menyertai pembangkang, Ahmad Zahid berkata, mereka sebenarnya mempunyai pelbagai masalah semasa dalam perkhidmatan.

"Salah seorang daripada mereka diturunkan pangkat sebelum bersara. Dia (bekas general) turun pangkat sebab pernah melakukan kesilapan, kalau dia rasa betul kenapa dia diturunkan pangkat?

"Mereka semua ini ada masalah semasa berkhidmat, kemudian tidak puas hati dan bertindak menyertai pembangkang serta menghina angkatan tentera. Terbaru hendak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Pengundi harus tolak mereka," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan