Khamis, 18 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Rim maju seiring perubahan semasa

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI
utusanmelaka@utusan.com.my

BANDAR Jasin 2 yang menerima pembaharuan lengkap dengan pejabat dan agensi kerajaan selain hotel serta kedai keperluan harian.

JASIN 17 April - Bandar Jasin yang berpusat di antara persempadanan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim dan Bemban merupakan sebuah bandar lama yang penuh dengan sejarahnya yang tersendiri.

Keunikan bandar Jasin ini dapat dilihat menerusi peninggalan bangunan lama yang bercirikan zaman kolonial yang masih terseragam indah namun menerima kepesatan pembangunan seiring dengan perubahan semasa.

Kedudukan Jasin yang terletak lebih 31 kilometer dari bandar Melaka, tidak membataskan kawasan ini daripada menikmati kemajuan dan pemodenan yang pesat membangun serta dilengkapi pelbagai kemudahan asas untuk keperluan masyarakat tempatan yang kian bertambah.

Biarpun kebanyakan kawasan di bawah tadbiran DUN Rim berada di luar bandar namun kemudahan sama turut dinikmati seluruh penduduknya daripada segi bidang pendidikan, kesihatan, perniagaan dan sebagainya.

Kedudukannya yang berhampiran dengan kawasan pentadbiran daerah telah merancakkan lagi pembangunan yang direncanakan di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Kemudahan yang terdapat di kawasan ini yang bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduknya malah meliputi masyarakat dalam daerah Jasin secara keseluruhannya.

Arus kemajuan ini turut dirasai penduduk dalam pentadbiran di bawah 11 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam DUN Rim iaitu Kampung Rim, Kemendor, Sri Kesang, Kelubi, Kampung Bukit Katong, Kampung Parit Keliling, Kampung Chabau, Kampung Simpang Bekoh, Kampung Chohong, Kampung Terantang dan Kampung Simpang Kerayong.

Kawasan ini mempunyai kepadatan penduduk hampir melebihi 15,000 orang iaitu majoriti terdiri daripada kaum Melayu iaitu 58 peratus selain Cina (26 peratus), India (15 peratus) dan lain-lain (satu peratus).

Rata-rata pekerjaan penduduk di kawasan ini yang lebih tertumpu kepada sektor ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perniagaan serta perkhidmatan awam.

Masyarakat di Rim menikmati semua kemudahan asas yang disediakan kerajaan negeri seperti bekalan air dan elektrik serta turut dilengkapi jalan raya berturap serta jalan racik yang menghubungkan kampung-kampung kecil dan bandar selain infrastruktur dan prasarana yang lengkap.

Antara kemudahan yang terdapat dalam kawasan ini ialah perpustakaan awam, dewan serba guna, surau, masjid, sekolah menengah dan rendah, gerai-gerai perniagaan, kemudahan beribadat serta stadium.

Pembangunan yang terancang telah memperlihatkan bandar Jasin terus berkembang sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan menerusi kewujudan pelbagai jenis kedai keperluan harian, pasar raya selain perhotelan yang telah menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya.

Impak positif daripada kerancakan dan kesibukan aktiviti perniagaan itu dapat dilihat dengan pembukaan gerai dan restoran, bengkel, klinik, perkhidmatan telekomunikasi selain perbankan yang lengkap bagi menampung keperluan masyarakat di daerah ini.

Lebih merancakkan lagi proses pembandaran di kawasan ini ialah dengan adanya Jasin Sentral yang menjadi mercu tanda terbaharu bagi Jasin yang telah dinaik taraf daripada terminal sedia ada membawa perubahan ketara bagi sistem rangkaian perhubungan dan pengangkutan awam yang lebih cekap.

Kewujudan Jasin Sentral yang menempatkan terminal bas dan teksi di bandar ini telah membawa perubahan besar kepada penduduknya yang memudahkan proses pergerakan orang ramai dari satu destinasi ke destinasi lain dalam urusan seharian mereka.

Terminal strategik di tengah kawasan bandar yang dinaik taraf di atas tapak seluas 1.98 ekar itu diubahsuai dengan melibatkan belanja melebihi RM3 juta menerusi kerjasama antara Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) serta pasar raya Econsave Cash and Carry Sdn. Bhd. (Econsave).

Bangunan baharu yang dinaik taraf itu menempatkan 13 unit gerai selain pasar raya, surau dan dan tandas juga memberi keselesaan kepada orang ramai dengan keadaan ruang menunggu berhawa dingin.

Hentian yang mempamerkan ciri-ciri sebuah pekan sedang membangun itu turut dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar (wifi) secara percuma yang boleh diakses oleh orang ramai yang berada di Jasin Sentral.

Projek hasil perkongsian melalui dasar penswastaan yang dilaksanakan melalui persefahaman antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat swasta ini dilihat merangsang pertumbuhan ekonomi sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pengusaha teksi dan bas serta peniaga kecil.

Kemajuan yang dikecapi kawasan yang diterajui oleh penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd. Yazed Khamis itu mendapat sokongan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang komited membangunkan bandar Jasin dan kawasan sekitarnya.

Perubahan demi perubahan yang dialami kawasan itu turut diakui oleh Penghulu DUN Rim, Noor Azmi Mahmood yang melihat kemajuan tersebut memperlihatkan corak baru dalam landskap pembangunan yang sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat.

Katanya, transformasi yang dilakukan kerajaan BN telah membantu memperkasakan pembangunan dan kemajuan kepada penduduk setempat untuk keluar daripada belenggu kemiskinan melalui peluang pekerjaan yang tersedia sepanjang proses tersebut.

"Kita berharap kerajaan ini terus mentadbir dan memimpin dalam memacu masa depan negara yang lebih cemerlang untuk generasi akan datang di samping mengekalkan kestabilan sosioekonomi," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penduduk lega tidak dipinggir daripada arus pembangunan

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

JASIN Sentral terminal bas dan teksi yang dinaik taraf mengukuhkan lagi sistem rangkaian perhubungan dan pengangkutan awam.

JASIN 17 April - Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim menghargai jasa kerajaan negeri kerana melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan prasarana lengkap kepada mereka.

Menurut mereka, semua bentuk pembangunan yang diwujudkan itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dalam usaha memberi segala kemudahan untuk keselesaan penduduk agar tidak terpinggir.

Lebih penting mereka menyifatkan segala usaha tersebut adalah sejajar dengan gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rata-rata penduduk di sini melahirkan rasa syukur dan gembira melihat kemajuan di kawasan luar bandar seiring dengan peredaran masa kini serta tidak tercicir daripada arus kemodenan dengan infrastruktur yang serba canggih.

Salah seorang penduduk S. Periamallai, 56, dari Kampung Rim berkata, kemudahan yang ada memenuhi keperluan orang awam di samping pelbagai inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih sempurna dan selesa.

"Kami amat menghargai usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menerajui negara ini membawa transformasi demi kepentingan rakyat tanpa mengira kaum," katanya.

Periamallai berharap, usaha penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan di kawasan ini dapat diteruskan dengan menubuhkan institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta bagi pembangunan pendidikan untuk generasi muda membina masa depan yang lebih cerah.

Bagi seorang lagi penduduk Tambi Jaafar, 61, yang bekerja sendiri berkata, masalah yang dialami penduduk di bawah pentadbiran BN seperti banjir juga berjaya diselesaikan.

"Hasil pemantauan dilakukan pemimpin bersama jabatan dan agensi kerajaan dapat mengambil tindakan segera membantu mengatasi masalah banjir yang melibatkan banyak kediaman terjejas.

"Infrastruktur seperti jalan raya yang menghubung jalan-jalan utama dengan kampung-kampung juga telah lengkap selain diterangi lampu jalan yang memberi kelegaan kepada penduduk untuk keluar masuk menjalankan urusan mereka pada waktu malam,' katanya.

Nurul Widayu Abdul Razak, 25, dari Kampung Chohong berkata, kewujudan Jasin Sentral mengukuhkan lagi sistem pengangkutan awam di daerah Jasin dengan keadaan persekitarannya yang lebih selesa dan selamat.

Dia turut berharap Klinik 1Malaysia dapat diwujudkan di Rim untuk keperluan penduduk terutama warga emas dan kepada golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan dan pemeriksaan secara percuma memandangkan kemudahan ini dilihat amat penting kepada penduduk di sini.

KM yakin kebolehan muka baharu

Posted: 17 Apr 2013 12:37 PM PDT

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 17 April - Penampilan muka baharu yang terdiri daripada golongan muda sebanyak 41 peratus dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 di negeri ini diyakini dapat diterima rakyat khususnya pengundi di setiap Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sebanyak 16 muka baharu yang ditampilkan mencakupi kehendak rakyat kerana mereka terdiri daripada pelbagai sektor profesional merangkumi peguam, doktor, pensyarah, korporat dan kakitangan awam.

Menurutnya selain berkebolehan, mereka juga mempunyai latar belakang akademik yang hebat seperti ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma.

Selain itu katanya, calon-calon baharu juga terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri yang kesemuanya dilihat cukup berwibawa serta boleh memperjuangkan kehendak rakyat.

''Saya yakin senarai calon baharu yang dikemukakan kali ini menepati kehendak rakyat pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.

''Mereka ini diyakini akan mendapat sokongan baik kerana kesemua adalah calon-calon berwibawa dan berpotensi untuk menjadi wakil rakyat yang dapat berkhidmat kepada rakyat seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Barisan yang dicalonkan ini digelar sebagai calon transformasi," katanya di sini hari ini.

Beberapa peguam turut ditampilkan untuk bertanding kali ini iaitu Mas Emieyati Samsuddin (Parlimen Masjid Tanah), Datuk Koh Nai Kwong (Parlimen Alor Gajah), Lim Ban Hong (DUN Klebang), Ronald Gan Yong Hoe (DUN Bandar Hilir) dan Datuk Ng Choon Koon (DUN Bemban).

Golongan profesional pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Penyelidikan Pembangunan (R&D) Jabatan Ketua Menteri, Prof. Madya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah (Parlimen Tangga Batu); Dr. Yee Kok Wah, (Parlimen Kota Melaka); Pengurus Besar EV Oilfield, Sulaiman Md. Ali Bakar (Lendu) dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Sazali Muhd. Din (Paya Rumput).

Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, calon baharu BN itu bukan hanya terbaik tetapi juga mampu memenuhi kehendak rakyat serta berupaya menjamin masa depan Melaka yang lebih terjamin.

Sehubungan itu, beliau meminta semua calon baharu BN untuk turun berkempen dengan bersungguhsungguh dan menemui pengundi di tempat mereka bertanding.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan