Jumaat, 5 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Janji ditepati demi rakyat

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusan.com.my

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (empat kiri) menanam pokok sebagai simbolik merasmikan kerja-kerja naik taraf dan pelebaran jalan di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 5 April - Kira-kira 20,000 penduduk sekitar Pantai Dalam di sini dijangka menerima manfaat daripada projek menaik taraf dan pelebaran jalan di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam di sini yang siap pada 1 April lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, projek itu merupakan satu lagi janji yang ditepati oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Menurutnya, projek itu melibatkan kerja-kerja meningkatkan sistem aliran lalu lintas di Jalan Pantai Permai, menyediakan ruang letak kereta tambahan sebanyak 180 petak dan laluan pejalan kaki.

"Jalan sepanjang 700 meter di Jalan Pantai Permai juga dilebarkan, selain sistem peparitan sepanjang 1,300 meter turut ditingkatkan serta pemasangan pagar keselamatan sepanjang 650 meter," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menanam pokok sebagai simbolik pelancaran projek tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abd. Aziz.

Raja Nong Chik berkata, walaupun projek berkenaan tertangguh selama tujuh bulan ekoran daripada proses pemindahan penjaja, akhirnya ia dapat direalisasikan.

Menurutnya, projek berkenaan tidak akan dapat diteruskan tanpa kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk sekitar yang sentiasa menyokong BN dan mahu melihat wajah baharu Pantai Dalam.

"Apa yang mengecewakan, setiap kali kerajaan hendak melaksanakan pembangunan di kawasan ini ada pihak tertentu yang cuba menghasut penduduk agar usaha ini dihalang.

"Sebagai contoh usaha membangunkan semula flat empat tingkat Kampung Kerinchi, pembinaan Bazaria, pelebaran jalan dan sebagainya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Raja Nong Chik menyeru agar rakyat khususnya penduduk Lembah Pantai supaya tidak terikut-ikut dengan mainan politik kurang matang pihak pembangkang.

"Kita sedar pembangkang sentiasa mencari idea untuk menentang kerajaan dan melemparkan pelbagai tuduhan seolah-olah pembangunan itu dibuat demi kesejahteraan rakyat, tetapi sebaliknya.

"Bagi saya cukup mudah, jika pembangunan itu praktikal dan tidak meminggirkan penduduk setempat maka ia perlu diteruskan," tegasnya.

Penolong Kanan Kokurikulum SK Putrajaya Presint 9(1) diraikan

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

Zaidas Hamzah (bertudung merah) memotong pulut kuning sambil diperhatikan oleh guru-guru dan murid-murid SK Presint 9 (1) dalam Majlis Sekalung Budi Sejambak Bakti, di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 5 April - Suasana sebak menyelubungi warga Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9(1) apabila Penolong Kanan Kokurikulumnya, Zaidas Hamzah melangkah keluar meninggalkan sekolah itu selepas lebih 33 tahun berkhidmat di situ.

Zaidas, 56, yang mengajar selama tujuh tahun di sekolah rendah pertama dibina di Putrajaya itu mengakui bukan mudah untuk meninggalkan kerjaya yang diceburi sejak sekian lama.

Namun, beliau lega dan gembira kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab besar selaku pendidik sejak sekian lama dengan kerjasama erat semua guru.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua guru khususnya dalam menjayakan bidang kokurikulum hingga berjaya mengharumkan nama sekolah ini ke peringkat antarabangsa.

"Kepada murid-murid saya doakan semua berjaya dalam pelajaran terutama kepada murid tahun enam belajar elok-elok dan berusaha untuk mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sekalung Budi Sejambak Bakti sempena majlis persaraannya di sini hari ini.

Pada majlis itu juga sekolah tersebut menaja sebanyak 500 naskah akhbar Utusan Malaysia sempena majlis persaraannya.

Zaidas yang merupakan guru pertama bersara wajib di sekolah itu kemudiannya dihiburkan dengan persembahan para guru dan pelajar sebelum diarak pulang dengan menaiki kereta Volkswagen mini.

Yang turut hadir, Guru Besar SK Putrajaya Presint 9(1), Nafishah Hassan.

Zaidas yang dilahirkan di Rantau Panjang, Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang dan Sekolah Menengah Rantau Panjang sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Kota Bharu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah (SM) Paka, SM Chung Hwa Seng, Kuala Terengganu, SK Zainab 2, SK Gong Dermin, Kota Bharu dan SK Tumpat.

Sementara itu, Nafishah menyifatkan persaraan Zaidas sebagai kehilangan kepada sekolah berkenaan kerana banyak jasa telah ditabur sepanjang berkhidmat di SK Putrajaya Presint 9(1).

"Antara kejayaannya ialah mendapatkan pengiktirafan sekolah kluster kecemerlangan dan sekolah yang mempunyai bidang kokurikulum terbaik di Putrajaya.

"Sekolah ini juga pernah menyertai festival belia antarabangsa di Singapura tahun lalu dan Turki pada tahun sebelumnya," katanya.

PRU-13: Alam Flora bersiap sedia

Posted: 05 Apr 2013 11:21 AM PDT

KUALA LUMPUR 5 April - Alam Flora Sdn. Bhd (Alam Flora) meletakkan kira-kira 1,000 kakitangan dalam keadaan siap sedia di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang bagi menjaga kebersihan sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, pihaknya menjangkakan jumlah sampah akan meningkat ketika tempoh berkempen dijalankan.

Menurutnya, ini terutamanya selepas sesi ceramah yang kebiasaannya dijalankan di luar waktu jadual kutipan ditetapkan.

"Selain kakitangan, Alam Flora turut menyediakan pelbagai kelengkapan jentera kutipan dan pembersihan termasuk kompaktor, jentera penyedut, jentera penyembur air berkuasa tinggi dan jentera pembersih,''katanya dalam kenyataan akhbar di sini.

Mohd. Zain berkata, Alam Flora juga akan membuat penambahan tong sampah di kawasan yang dikenal pasti mempunyai kapasiti penduduk tinggi sekiranya perlu.

Tambah beliau, orang ramai juga diingatkan agar mengamalkan cara-cara pembuangan sampah yang betul, selain mengikut peraturan yang ditetapkan demi kebersihan bersama.

Sebarang pertanyaan dan aduan berkaitan boleh dikemukakan dengan menghubungi talian bebas tol Alam Flora di 1800-88-7472.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan