Khamis, 4 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Rapid perluas laluan ke Beserah

Posted: 04 Apr 2013 12:57 PM PDT

KUANTAN 4 April - Perkhidmatan bas RapidKuantan yang memulakan operasi 1 Disember lalu kini mencatatkan lebih sejuta penumpang dalam tempoh tiga bulan pertama operasinya.

Ketua Eksekutif Bas Rapid Sdn. Bhd., Zohari Sulaiman berkata, mengikut statistik, seramai 1,035,850 penumpang memanfaatkan perkhidmatan pengangkutan awam tersebut antara 1 Disember hingga akhir Februari lalu.

"Pada Disember, penumpang bas RapidKuantan adalah seramai 283,526, diikuti sebanyak 376,391 bagi Januari dan 375,391 penumpang Februari lalu.

"Kami merekodkan bilangan penumpang tertinggi pada 9 Mac lalu apabila membawa 19,015 penumpang dengan faktor penyumbang termasuk pertandingan bola sepak Liga-M antara Pahang dan PKNS di Stadium Darul Makmur," katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, dalam usaha meningkatkan lagi perkhidmatan dengan secara purata dinaiki 11,500 penumpang sehari, RapidKuantan menambah laluan kesembilan iaitu dari pusat bandar ke Beserah yang akan mula beroperasi menjelang suku kedua tahun ini.

"Kita sedang membuat kajian menyeluruh bagi laluan kesembilan ini bagi memenuhi keperluan penduduk di sekitarnya memandangkan laluan ini mempunyai kepadatan penduduk tinggi sekali gus memudahkan pergerakan ulang-alik ke bandar.

"RapidKuantan juga memperluaskan capaian laluan ke Sungai Lembing dengan menambah destinasi sejauh tujuh kilometer lagi.

"Tambahan capaian itu untuk menghubungkan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran dan pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)," kata beliau.

Zohari memberitahu, bermula tiga laluan dengan hanya 32 buah bas, kini RapidKuantan melangkah lebih maju seiring dengan keperluan penduduk di sekitar bandar ini melibatkan sebanyak lapan laluan dengan 47 buah bas.

"Sejak memulakan operasi, RapidKuantan telah menyediakan perkhidmatan percuma sehingga penghujung April ini dan tambang akan mula dikenakan berkuat kuasa 1 Mei ini.

"Saya tidak melihat penurunan ketara dalam bilangan penumpang apabila kita mula mengenakan caj nanti kerana ia adalah tambang yang minimum iaitu RM2 bagi satu zon perjalanan," jelasnya.

Kata beliau, secara keseluruhan, pertumbuhan perkhidmatan RapidKuantan telah memberi sinar baharu kepada penduduk di daerah Kuantan dan Pekan malah sambutan yang diberikan amat memberangsangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan