Khamis, 11 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Pantai Kundor rancak membangun

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

MEDAN selera Tanjung Keling merupakan tempat bagi memudahkan orang ramai menikmati makanan yang bersih dan selesa ketika berada di Pantai Kundor, Melaka.

MELAKA 10 April - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor yang baharu diwujudkan pada 2004 selepas persempadanan semula Parlimen tidak terkecuali daripada mendapat limpahan kesan daripada pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini.

Penduduk berbilang kaum yang dianggarkan seramai 21,700 orang yang majoritinya kaum Melayu, Pantai Kundor turut sama membangun seiring dengan kerancakan pembangunan negeri terutama dalam sektor infrastruktur dan kemudahan asas bagi keselesaan rakyat.

Terletak kira-kira 14 kilometer dari pusat bandar, banyak pembangunan telah dan bakal dilaksanakan di kawasan ini sejajar dengan kedudukannya yang terletak dalam kawasan bandar.

Dalam menjadikan kawasan ini pilihan ideal untuk didiami, pelbagai kemudahan baharu turut dibangunkan di DUN Pantai Kundor terutama pembangunan prasarana dan infrastruktur bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat.

Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Pantai Kundor begitu rancak membangun hingga menjadikan penduduk semakin selesa serta dapat menikmati kehidupan lebih berkualiti dari semasa ke semasa.

Penyediaan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, balai raya, klinik kesihatan dan balai polis terus diberi perhatian kerajaan agar dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat untuk mengharungi sebuah kehidupan yang begitu selesa.

DUN Pantai Kundor terbahagi kepada dua mukim iaitu Mukim Tanjung Keling dan Tangga Batu yang ditadbir oleh 10 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Daripada sebuah kawasan yang penduduknya bergantung kepada hasil laut, pertanian dan industri, Pantai Kundor kini telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dengan adanya resort dan hotel baharu di kawasan tersebut.

Malah sebuah hotel berkonsepkan Islam pertama di negara ini iaitu Hotel Wakaf Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Pantai Puteri yang mula beroperasi tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelancong.

Naib Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, terdapat beberapa kemudahan baharu turut dibangunkan di kawasan itu.

Antaranya ialah Pusat Kesihatan Tanjung Keling bernilai RM18.2 juta mula beroperasi pada Februari 2012 untuk kemudahan dan keselesaan orang ramai bagi mendapatkan rawatan kesihatan.

Selain itu, dalam bidang pendidikan pula, katanya, terdapat dua buah sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SRJKC) dibina semula bagi keselesaan para pelajar.

"Jumlah sekolah baharu ini seterusnya menjadikan kesemua sekolah yang terdapat di kawasan ini sebanyak enam buah sekolah rendah termasuk dua sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

"Sebuah sekolah menengah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam juga dibina di kawasan ini selain SMK Seri Tanjung.

"Dalam menyediakan kemudahan pendidikan di peringkat awal persekolahan, kawasan ini mempunyai 12 buah tabika termasuk sebuah taska bagi perkembangan pendidikan awal kanak-kanak," jelasnya.

Menurut Ab. Rahaman, dalam arus pembangunan yang pesat itu, nasib nelayan tidak dikecualikan dan mereka menerima peruntukan sebanyak RM3.64 juta bagi membina bangunan nelayan, surau dan kemudahan lain di Pangkalan Nelayan Muara Sungai Lereh.

"Bagi nelayan di Pantai Puteri, kemudahan balai nelayan bernilai RM100,000 juga sudah siap dibina pada awal Februari lalu untuk meningkatkan lagi hasil ekonomi mereka," tambahnya.

Dalam sektor industri pula katanya, Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd., dua kawasan perindustrian di Tangga Batu dan Tanjung Keling serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Tangga Batu di DUN Pantai Kundor telah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.

Sementara itu, kerajaan BN melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut memperuntukkan bantuan kepada 1,176 penerima merangkumi jumlah bantuan sebanyak RM127,860.

"Bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pula, sehingga kini, sebanyak RM2.66 juta telah berjaya diagihkan kepada 6,170 penerima terbahagi kepada 4,460 penerima bantuan RM500 dan 1,710 penerima bantuan RM250.

"Seramai 360 orang pula telah dipilih menerima bantuan zakat daripada MAIM sebanyak RM180 setiap seorang," katanya.

Melaka lokasi pelaburan selamat

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Oleh amran mulup
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 10 April - Dakwaan pembangkang kononnya pelabur asing tidak berminat melabur di negeri ini disifatkan sebagai pembohongan semata-mata dan kenyataan itu hanya bagi meraih simpati rakyat agar menyokong mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pengurus Besar Invest Melaka, Ramli Mohd. Ali berkata, pelabur amat berminat untuk melabur di negeri ini kerana kestabilan politik dan keadaan itu juga yang menyebabkan ramai datang melabur ke negeri ini.

Menurutnya, sebarang ketidaktentuan dalam kestabilan politik boleh menyebabkan pelabur asing tidak berani membuat pelaburan.

''Sepanjang 10 tahun dari 2000 hingga 2012, sebanyak RM30 bilion diperoleh iaitu RM23 bilion pelaburan dari negara luar dan RM7 bilion lagi daripada pelabur tempatan.

''Terbaharu, sebuah kawasan perindustrian sedang dibangunkan di Lipat Kajang, Jasin di kawasan seluas 400 hektar dan syarikat Guardian telah bersetuju membuat pelaburan RM800 juta,'' ujarnya.

Ramli berkata, beberapa pelabur asing pernah menyatakan minat mereka membuat pelaburan di negeri ini disebabkan kestabilan politik di samping infrastruktur yang disediakan melebihi daripada yang diperlukan.

Menurutnya, faktor lain yang menjadi tarikan pelabur asing ke negeri ini ialah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri serta kewujudan sumber-sumber lain yang diperlukan seperti tenaga kerja.

''Pelbagai syarikat dari luar negara telah membuat pelaburan di negeri ini sepanjang tempoh 10 tahun dan memberi 59,381 peluang pekerjaan kepada penduduk sehingga kini," katanya.

Menurutnya, antara negara yang membuat pelaburan terbesar di negeri ini ialah Amerika Syarikat dengan nilai pelaburan RM6 bilion, United Kingdom (RM4 bilion), Jepun (RM4 bilion) dan Taiwan (RM4 bilion).

Tambahnya, syarikat-syarikat utama yang membuat pelaburan di negeri ini ialah seperti AUO Sunpower Sdn. Bhd., National Semiconductors, Quantum Structural Membranes, Honda, Panasonic Refrigeration Devices, Konica Minolta Glass Tech (M) Sdn. Bhd., Maruwa Malaysia dan Infineon Technologies.

Setakat ini katanya, sebanyak 26 kawasan perindustrian telah dapat diwujudkan yang diuruskan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, antara kawasan perindustrian terbesar terdapat di Rembia, Cheng dan Batu Berendam selain di Jasin, Alor Gajah dan Masjid Tanah.

Skim Rondaan Sukarela bantu atasi jenayah - KM

Posted: 10 Apr 2013 11:27 AM PDT

Sebahagian anggota SRS Taman Kerubong Jaya Fasa 2 yang menghadiri majlis pelancarannya oleh Mohd. Ali Rustam di Melaka, malam semalam.

MELAKA 10 April - Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang diperkenalkan dalam kawasan Rukun Tetangga dilihat berupaya mengatasi masalah jenayah dan sosial.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peranan yang dimainkan oleh SRS bukan hanya sebagai pemantau masalah jenayah di sesebuah kawasan kejiranan tetapi ejen perpaduan dalam kalangan rakyat.

"Dengan adanya SRS dalam kawasan Rukun Tetangga, saya yakin ia berupaya menangani masalah jenayah dan sosial di samping mewujudkan hubungan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.

"Langkah ini ibarat serampang dua mata yang bukan hanya mampu menurunkan kadar jenayah di kawasan perumahan, malah dapat mengeratkan lagi silaturahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Rukan Tetangga Taman Krubong Jaya Fasa 2 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Malaysia, Datuk Azman Amin Hassan.

Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukan Tetangga Taman Krubong Jaya Fasa 2, Mustaffa Abdullah berkata, sebanyak 189 kawasan rukun tetangga masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM6,000 daripada kerajaan negeri.

Sebanyak 16 SRS di negeri ini turut menerima sumbangan berupa walkie-talkie.

Menurut Mustaffa, Pusat Rukun Tetangga yang siap dibina pada Disember tahun lalu mempunyai pelbagai kemudahan bagi urusan Rukun Tetangga selain dilengkapi dengan tadika perpaduan.

"Sejak Rukun Tetangga taman ini ditubuhkan pada tahun 2008, pelbagai program telah dijalankan di peringkat cawangan termasuklah Jiran Muda, Jiran Wanita dan Jiran Tunas.

"Alhamdulillah sehingga kini, program yang dianjurkan termasuk SRS mendapat sambutan memberangsangkan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan