Ahad, 14 April 2013

Utusan Online - Pahang

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


1,872 rumah generasi baharu Felda di Jengka

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

FaizoulL Ahmad bersalaman dengan Wan Amizan Wan Abdul Razak (kanan) ketika melihat model rumah projek perumahan generasi baharu Felda di Felda Jengka 12, Maran, kelmarin.

MARAN 14 April - Sebanyak 1,872 rumah akan dibina di sembilan tanah rancangan Felda dalam Wilayah Jengka di bawah projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) tahun ini.

Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, projek itu bertujuan memberi peluang kepada generasi baharu Felda yang layak memiliki rumah bersesuaian dengan kemampuan.

Menurutnya, antara tanah rancangan terbabit ialah Felda Jengka 1, Jengka 2, Jengka 9, Jengka 11, Jengka 12, Felda Sungai Tekam, Felda Kota Gelanggi 2, Kota Gelanggi 3 dan Felda Sungai Retang.

"Daripada bilangan itu empat tanah rancangan iaitu Jengka 1, Jengka 2, Jengka 11 dan Kota Gelanggi 2 telah ditender dan akan memulakan projek pada awal Mei ini.

"Bagi tanah rancangan lain pelaksanaan projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga dapat disiapkan bagi memenuhi permintaan generasi baharu Felda,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas Majlis Pecah Tanah Tapak Perumahan PGBF di Felda Jengka 12 oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Wan Amizan Wan Abdul Razak.

Menurut Saari, komponen projek pembangunan itu ialah rumah teres setingkat yang dibina dalam bentuk Sistem Binaan Berindustri (IBS) atau lebih dikenali sebagai rumah pasang siap.

"Projek ini adalah tanggungjawab sosial Felda kepada warga peneroka yang dilaksanakan mengikut lokasi, kesesuaian tanah dan juga permintaan daripada penduduk setempat.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menteri bertanggungjawab terhadap agensi itu semasa sesi pembentangan Bajet 2013 telah mengumumkan sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina dalam tempoh lima tahun di tanah-tanah rancangan Felda,'' katanya.

Beliau menegaskan, tanah rancangan yang tidak termasuk dalam senarai awal pelaksanaan diharap bersabar kerana agensi itu komited untuk menunaikan janji tanpa ada sebarang unsur retorik.

Orang Asli pamer bakat deklamasi sajak

Posted: 14 Apr 2013 12:20 PM PDT

Walid Din menyampaikan puisi dalam bahasa Jahut sempena Malam Apresiasi Puisi 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 14 April - Dua Orang Asli Kampung Sungai Kiol di sini berjaya menarik perhatian umum apabila mendeklamasi sajak ciptaan mereka sendiri dalam bahasa Jahut.

Kehadiran Walid Din, 50, dan Rokizan Naya, 45, menerima tepukan gemuruh ketika mendeklamasikan puisi sempena Malam Apresiasi Puisi 1Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol baru-baru ini.

Program anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Jerantut dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu disertai lima orang masyarakat Orang Asli dengan tiga lagi peserta mendeklamasikan sajak dalam bahasa Malaysia.

Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran juruhebah stesen radio Asyik FM, Zuraidah Merah atau lebih dikenali sebagai DJ Zu berketurunan Jakun serta berasal dari Pekan yang bertindak sebagai pengacara majlis.

Walid ketika ditemui berkata, dia berasa sangat bertuah kerana diberi peluang mendeklamasikan sajak dalam bahasa ibunda dan turut didengar orang lain dengan penuh minat.

"Usaha Pergerakan Wanita UMNO Jerantut dan DBP ini amat baik bagi mencungkil bakat berpuisi kalangan Orang Asli suku kaum Jahut yang sebelum ini hanya terkenal dalam bidang nyanyian," katanya.

Walid yang menyampaikan puisi bertajuk Malam Sepi menyifatkan bakat yang ada dalam kalangan Orang Asli boleh diketengahkan jika diberi bimbingan dan dorongan kerana sifat pemalu golongan minoriti itu menjadikan mereka agak tersisih.

Bagi Rokizan pula, puisinya bertajuk Kampungku mengisahkan tentang keindahan yang terdapat di kampung Sungai Kiol serta kegigihan penduduk mencari rezeki.

Tambahnya, kandungan puisinya juga menceritakan kisah perjuangan nenek moyang dahulu dalam memajukan kampung tersebut dapat diterjemahkan kepada khalayak ramai.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Norhelan Mahmod berkata, program berkenaan dianjurkan dengan tujuan memupuk minat serta mencungkil bakat Orang Asli di samping memberi peluang terhadap mereka melahirkan hasrat dan pandangan dalam bentuk puisi.

0 ulasan:

Catat Ulasan