Selasa, 9 April 2013

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


'Kenyataan Nik Aziz perlu dikaji'

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 9 April - Majlis Fatwa Kebangsaan digesa supaya bermuzakarah dan mengkaji kenyataan kontroversi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kebelakangan ini seperti mendakwa sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan pembinaan masjid oleh kerajaan hanyalah untuk tujuan mendapat kontrak.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, nasihat, kajian serta ketetapan majlis itu tentang kelantangan dan keceluparan Nik Abdul Aziz amat penting bagi mengelakkan umat Islam tempatan terus dikelirukan dan seterusnya terpesong akidah.

Katanya, beliau yakin jika Majlis Fatwa mengkaji perkara tersebut, kesemua kenyataan Nik Abdul Aziz yang disifatkan sesetengah pihak sebagai tokoh agama atau ulama itu akan ditolak sama sekali.

Baginya, kenyataan pemimpin tertinggi Pas itu hanyalah bersifat politik semata-mata tanpa bersandarkan kepada dalil-dalil dalam al-Quran.

"Ini satu masalah. Kalau bukan Islam yang kata begitu mungkin kita faham tapi ini ulama dan tokoh. Saya fikir sesuatu perkara yang dilakukannya lebih politik daripada agama dan sebab itu saya kata Pas itu parti ajaran sesat, ada kata parti ajaran songsang.

"Islam tidak patut dinodai hanya oleh kerana ada muslihat politik oleh sesiapa sekalipun. UMNO tidak pernah buat begitu, tidak pernah keluarkan fatwa," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 di Gombak, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, Nik Abdul Aziz mengeluarkan 'fatwa' sembahyang orang UMNO tidak mendapat pahala dan usaha kerajaan membina masjid bukan sebahagian daripada ajaran Islam kerana hanya bertujuan mendapatkan kontrak.

Namun semalam, Nik Abdul Aziz, Pas dan pakatan pembangkang menerima tamparan hebat apabila deklarasi Persidangan Ulama Pondok, Sekolah Agama Rakyat dan Tahfiz memutuskan haram bagi umat Islam mengundi Pas serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum nanti.

Muhyiddin berkata, beliau percaya ketetapan tersebut dibuat setelah pihak Ulama Pondok menganalisis kepincangan dan penyalahgunaan agama oleh Pas seperti membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

"Mungkin itu asas-asas yang mereka gunakan sehingga mencapai ketetapan tersebut, saya bukan pakar, itu pandangan mereka," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berasa hairan dengan ketidaktentuan nasib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sama ada akan dicalonkan atau tidak pada pilihan raya umum kali ini.

Menurut beliau, percanggahan kenyataan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Wan Azizah tidak akan dicalonkan sementara anaknya, iaitu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah menyatakan sebaliknya telah menunjukkan mereka tidak selari dalam membuat keputusan.

Majlis Fatwa digesa ambil tindakan

Posted: 09 Apr 2013 01:22 PM PDT

KUALA LUMPUR 9 April - Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengambil tindakan segera ke atas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kebelakangan ini mengeluarkan kenyataan yang dilihat boleh memesongkan akidah dan memecah-belahkan umat Islam, gesa beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu) Dr. Fathul Bari Mat Jahaya berkata, isu melibatkan akidah umat Islam terutamanya sengaja menanam kebencian, tidak boleh dibiarkan kerana ia akan memecah-belahkan umat.

"Sikap seperti ini seolah-olah nak menyamakan kedudukan kita di tahap malaikat dan seperti nak mengambil alih tugas malaikat yang menulis setiap amalan kita.

"Jangan sibuk nak menghukum amalan atau ibadat orang UMNO kerana yang menentukannya hanya Allah," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang meminta Majlis Fatwa Kebangsaan meneliti segera semua kenyataan Mursyidul Am Pas itu.

Menyifatkan tindakan Nik Abdul Aziz itu sebagai "sindrom hukum secara umum", Fathul Bari berkata, Menteri Besar Kelantan itu tidak sepatutnya menggunakan agama untuk tujuan politik.

Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Dr. Fadlan Mohd. Othman yang turut bersetuju dengan saranan Muhyiddin berkata Majlis Syura PAS juga perlu berbincang mengenai perkara itu bagi memutuskan pendirian mereka mengenai setiap kenyataan Nik Abdul Aziz.

"Majlis Syura Pas perlu berbincang mengenai isu ini seperti mereka berbincang dan membuat keputusan isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati) Datuk Aidit Ghazali berkata, imej Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin Islam berpengaruh sudah tercemar apabila beliau mengeluarkan kenyataan yang langsung tidak mencerminkan nilai-nilai Islam.

"Pas sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam, Nik Abdul Aziz pula buat kenyataan hampir nyanyuk dan hampir 'gila talak' agama. Majlis Fatwa perlu buat sesuatu tak kira siapa orang itu kerana (kenyataan) bukan dibuat sekali dua, dah banyak kali," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan