Rabu, 3 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


3,974 terima BR1M 2.0 fasa akhir di Kuantan

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

KUANTAN 3 April - Sebanyak 3,974 penduduk di sekitar daerah ini menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 fasa terakhir melibatkan tiga kawasan Parlimen yang diadakan di Stadium Tertutup Sukpa di sini semalam.

Penyampaian tersebut melibatkan Parlimen Kuantan, Parlimen Paya Besar dan Parlimen Indera Mahkota dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dengan melibatkan bantuan sebanyak RM500 dan RM250.

Majlis itu juga turut dihadiri Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail; Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusof; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Datuk Zaili Besar; ADUN Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah dan ADUN Inderapura, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Proses pemberian bantuan tersebut mengambil masa kira-kira dua jam apabila kalangan ahli parlimen dan ADUN menyampaikan sendiri kepada mereka dan kemudian menuntut baucar tersebut di kaunter disediakan di situ.

Terdahulu Adnan dalam ucapannya berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan janji yang dibuat sebelum ini dan rakyat boleh menilai kelebihan diterima oleh mereka.

Tambahnya, pelbagai transformasi diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan kerajaan sedia ada mampu membawa perubahan hidup kepada masyarakat dan negara.

"Tukar kerajaan ini tidak boleh dianggap macam tukar isteri..Jadi, tuan-tuan puan-puan perlu bijak dan menilai usaha kerajaan yang berjaya mengubah kehidupan rakyat selepas negara mencapai kemerdekaan.

"Pemberian BR1M 2.0 merupakan salah satu usaha transformasi kerajaan bagi rakyat berpendapatan sederhana rendah dan rendah. Perdana Menteri baru-baru ini telah memutuskan bahawa bantuan tersebut diberikan setiap tahun," katanya.

RTC Kuala Medang hab pertama Program Desa Lestari negeri

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

Wan Rosdy Wan Ismail beramah mesra dengan seorang pelajar yang melayari Internet selepas merasmikan mini RTC di Felcra Kampung Kuala Medang. Jelai dekat Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 3 April - Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Mini Kampung Kuala Medang, Jelai, dekat sini dinaik taraf sebagai hab pertama untuk Program Desa Lestari (PDL) di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi meningkatkan nilai tambah kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, penduduk Hulu Jelai termasuk Orang Asli yang tinggal berdekatan dengan RTC mini itu juga dapat memanfaatkan kemudahan dan latihan yang disediakan malah mereka berpeluang menambah pendapatan masing-masing.

"Penubuhan RTC mini dan pelaksanaan PDL bertujuan menyelesaikan segala kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat luar bandar dalam bidang ICT dan pembangunan sektor pertanian, pelancongan dan modal insan setempat.

"Peranan RTC juga memastikan kualiti hidup penduduk luar bandar dan Orang Asli dipermudahkan selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020," katanya selepas melancarkan PDL di Kuala Medang, Jelai dekat sini kelmarin.

Menurut beliau, komitmen kerajaan negeri menerusi usaha itu bagi memastikan komuniti luar bandar mendapat perkhidmatan yang efisien, cepat, selesa dan mudah di dalam satu premis.

Sehubungan itu, katanya, pelbagai kegiatan dirancang untuk membolehkan masyarakat setempat mendapat manfaat melalui pusat itu, iaitu mengakses maklumat, latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan meningkatkan kemahiran bidang masakan, kraf tangan dan pembangunan modal insan lain.

"Menerusi premis mini RTC di sini, kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dapat ditingkatkan melalui kerjasama strategik di antara kementerian, jabatan, swasta mahupun pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat," ujarnya.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, berkata, sebanyak lima RTC mini telah dibina di kawasan pentadbiran Felcra Pahang Berhad, iaitu di Kampung Kuala Medang, Kampung Sungai Temau, Felcra Seri Makmur, Felcra Salong dan Kampung Melayu Jerkoh.

"Langkah ini amat relevan sekali gus menaik taraf pusat infodesa kepada RTC mini, antara kerangka kerajaan negeri mempercepatkan transformasi luar bandar sebagai kawasan yang produktif dan maju," katanya.

Katanya, RTC mini juga bertindak sebagai penghubung masyarakat luar bandar dengan kegiatan yang mempunyai nilai tambah yang tinggi untuk mewujudkan impak ekonomi dalam kalangan penduduk setempat.

Belia diseru jadikan sektor pertanian kerjaya

Posted: 03 Apr 2013 12:24 PM PDT

KUANTAN 3 April - Belia lepasan sekolah digalakkan menyertai Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi membolehkan mereka melibatkan diri dalam sektor pertanian sekali gus menjadikan bidang ini sebagai kerjaya yang mampu menjamin masa depan.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA), Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid berkata, penyertaan generasi muda turut memberi peluang kepada PPK menyediakan pemimpin pelapis sekali gus menangkis tanggapan bahawa sektor pertanian hanya sesuai untuk golongan berusia.

"Sehubungan itu, PASFA telah menyediakan sejumlah RM210,000 dari Tabung Kumpulan Wang PASFA untuk diserahkan kepada 21 buah PPK bagi menjalankan pelbagai aktiviti bagi menarik minat golongan belia menyertai PPK termasuk aktiviti sukan dan kerohanian," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan peruntukan RM10,000 kepada 21 PPK untuk melakukan pelbagai aktiviti di pejabat PASFA di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengurus PPK Kuantan, Abdul Razak Kassim berkata, sumbangan RM10,000 itu akan digunakan untuk faedah 3,502 ahli bagi menjaga kebajikan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan