Selasa, 2 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Perpustakaan paling canggih

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

KUANTAN 2 April - Bangunan baru Perpustakaan Negeri yang dibina dengan kos RM45 juta bakal menjadi perpustakaan paling canggih di Pantai Timur apabila siap pada penghujung tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, bangunan setinggi tiga tingkat itu juga dilihat mampu menarik lebih ramai pengunjung terutama dalam kalangan pelajar.

"Bangunan di Kemunting ini akan menggantikan bangunan perpustakaan negeri di tapak lama iaitu di Jalan Gambut di sini yang telah uzur dan tidak lagi sesuai dengan keadaan semasa.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mencari peruntukan tambahan sebanyak RM7.5 juta bagi melengkapkan lagi bangunan tambahan di tapak tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baharu Perpustakaan negeri di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Menurut Adnan, bangunan yang dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar berkonsepkan bangunan pintar dan menggunakan aplikasi teknologi hijau

"Apabila siap kelak, perpustakaan ini akan menyediakan semua bahan bacaan termasuk dalam bentuk digital sejajar dengan perkembangan semasa.

"Saya berharap kemudahan ini mampu menarik lebih ramai pengunjung dan dalam masa yang sama dapat memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat," jelasnya.

Tambahnya, dengan keluasan lantai 12,000 meter persegi, bangunan berkenaan boleh memuatkan kira-kira 2,500 pengunjung dalam satu masa.

345 nelayan terima lesen sampan khas

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Wan Adnan Wan Mamat (berdiri, lima dari kiri) bergambar bersama para penerima lesen sampan khas dalam majlis penyerahan lesen berkenaan di Balok, Kuantan, semalam.

KUANTAN 2 April - Seramai 345 nelayan tradisi di negeri ini menerima lesen sampan khas bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti menangkap ikan.

Pengarah Perikanan negeri, Adnan Hussain berkata, jumlah tersebut melibatkan tiga daerah di negeri ini iaitu Rompin, Pekan dan Kuantan.

"Dari segi permohonan, kita menerima sebanyak 449 permohonan untuk lesen sampan khas berkenaan, tetapi selepas proses tapisan dan temu duga hanya 345 nelayan yang layak menerima lesen sampan khas itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Sampan Khas dan Bantuan Peralatan Perikanan Projek Titik Sentuhan daerah Kuantan 2013 di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuantan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat.

Kali terakhir pemberian lesen itu dilakukan ialah pada 2008.

Seramai 53 nelayan tradisi di kawasan Balok dan Beserah menerima lesen sampan khas tersebut, manakala 10 nelayan menerima bantuan pukat.

Sementara itu, Wan Adnan berkata, pemberian lesen sampan khas tersebut membuktikan kerajaan tidak mengabaikan nasib nelayan tradisi di negeri ini, sebaliknya mereka akan terus dibantu dari semasa ke semasa.

"Pelbagai bantuan diberikan kepada nelayan antaranya subsidi minyak RM1 seliter, elaun sara hidup RM200 sebulan dan insentif pendaratan," katanya.

Beliau dalam pada itu berharap, nelayan yang menerima lesen sampan khas itu menggunakan lesen tersebut dengan sebaik mungkin dan tidak menyalahgunakannya.

"Ramai lagi yang memohon tetapi tidak layak, jadi gunakanlah lesen ini untuk mencari rezeki bagi menambah pendapatan keluarga, jangan salah gunakan lesen ini dengan menyewakannya," katanya.

5,000 hadir Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Adnan Yaakob beramah mesra dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa warga TLDM dalam Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia peringkat negeri di Tanjung Gelang, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 2 April - Lebih 5,000 pengunjung menghadiri Program Gerak Mesra Komuniti 1Malaysia peringkat negeri di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang yang diadakan selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Program yang bertujuan memantapkan peranan komuniti di peringkat akar umbi itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Yang hadir sama, Panglima Wilayah Laut 1 TLDM, Laksamana Muda Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli dan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff.

Adnan berkata, pelbagai program diatur sempena program yang berlangsung dua hari itu antaranya pameran jabatan kerajaan, pertandingan futsal, gotong-royong, persembahan artis dan lawatan ke kapal TLDM.

"Objektif utama program ini adalah untuk menjelaskan bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Selain itu program ini juga menzahirkan kasih sayang kerajaan terhadap rakyat tanpa mengira kaum, keturunan dan agama," katanya.

Katanya, bajet tersebut telah memperlihatkan keprihatinan kerajaan tentang kebajikan dan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dalam pelbagai aspek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan