Selasa, 2 April 2013

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Penduduk lega

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 April-Kira-kira 10,000 penduduk Taman Maluri, Cheras di sini boleh menarik nafas lega dan tidak perlu bimbang lagi berhubung masalah gangguan bekalan air yang dihadapi sejak dua tahun lalu.

Ini berikutan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) giat melaksanakan kerja-kerja penggantian paip baharu sejak Januari tahun lepas dan dijangka siap pertengahan Mei depan.

Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penggantian paip baharu itu dibuat selepas beberapa kali menerima aduan daripada penduduk berhubung masalah itu.

Menurutnya, masalah itu dipanjangkan kepada pengetahuan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui pada tahun lalu bagi mendapatkan peruntukan dan kerjasama Syabas bagi kerja-kerja baik pulih.

"Kerja-kerja baik pulih itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat melalui peruntukan RM8 juta yang disalurkan kepada kementerian terlibat,"katanya ketika melakukan tinjauan bersama Utusan Malaysia ke lokasi kerja di Jalan Perkasa 7, Taman Maluri di sini, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kementerian dan Syabas yang mengambil tindakan segera bagi keselesaan dan sejahteraan penduduk.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi terlibat mendapati, pihak kontraktor Syabas giat melaksanakan kerja-kerja penggantian paip jenis keluli campuran untuk menggantikan paip lama jenis konkrit.

Jurucakap kontraktor berkata, skop kerja-kerja penggantian paip tersebut adalah dengan menyalurkan paip dari satu rumah ke satu rumah.

"Paip jenis keluli campuran lebih tahan lama, berbanding jenis konkrit.

"Kerja-kerja penggantian paip melibatkan beberapa lokasi terjejas iaitu di Taman Perkasa, Taman Peria, Jalan Cohcrane dan San Peng," katanya.

Katanya, para penduduk terlibat diharap bersabar dengan kerja-kerja tersebut dan berjanji akan menurap semula jalan-jalan yang telah dikorek.

Lebih 200 sertai kayuhan pemanas badan

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

PUTRAJAYA 1 April - Lebih 200 peserta hari ini mengambil bahagian dalam acara memanas badan sempena program Kayuhan Patriotik 1Malaysia @Putrajaya yang akan disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu ini.

Acara yang bermula pukul 5.30 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim; dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat.

Turut sama berkayuh, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohamed Maliki Mohamed Rapiee; artis terkenal, Fizo Omar; pemain skuasy negara, Mohd. Azlan Iskandar serta kakitangan kerajaan lain.

Kayuhan mengelilingi Putrajaya dalam jarak sejauh 12 kilometer itu bermula dari bangunan Kementerian Kewangan, Presint 2 dan tamat di hadapan Istana Kehakiman di sini.

Utusan Malaysia difahamkan program kayuhan patriotik itu diadakan sempena menyambut ulang tahun keempat Najib dilantik Perdana Menteri iaitu pada 3 April 2009.

Perdana Menteri yang dijadual turut berkayuh pada hari tersebut akan diiringi oleh semua anggota Kabinet sebaik mesyuarat Kabinet pada hari Rabu itu selesai.

Lebih menarik program yang mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan turut disertai pasukan keselamatan negara bagi menghargai jasa mereka berjuang dalam Ops Daulat di Timur Sabah.

Selain itu, difahamkan juga kayuhan itu bakal menjadi 'ujian' terakhir kepada Perdana Menteri memilih calon yang benar-benar layak dari segi kecergasan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

PICC mampu jadi pusat konvensyen utama negara

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Ali Hamsa (tengah) menyaksikan penyerahan dokumen oleh Adnan Md. Ikshan (kanan) kepada Aseh Che Mat dalam Majlis Menandatangani Dokumen Penyerahan PICC di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 1 April - Pengambilalihan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Perbadanan Putrajaya (PPj) mampu menjadikan PICC sebagai pusat konvensyen utama di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), PPj diyakini dapat mempromosikan PICC secara bersepadu dengan lain-lain kemudahan menarik di situ.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan amalan negara maju yang meletakkan pusat konvensyen mereka di bawah pengurusan atau kawal selia PBT masing-masing.

''Selain memberikan nilai tambah kepada penganjur-penganjur majlis dan industri pelancongan keseluruhannya, aktiviti promosi secara bersepadu itu sudah tentu akan memberikan penjimatan yang besar kepada kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Dokumen Penyerahan PICC Kepada PPj di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Othman Mahmood, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan dan Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat.

Cadangan pengambilalihan secara pentabdiran itu dikemukakan oleh PPj kepada JPM pada Oktober lalu, seiring dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilaksanakan kerajaan.

Buat permulaan PICC akan dipindahkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sebelum diserahkan sepenuhnya kepada PPJ.

PICC dibina pada 2001 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian. PICC mula dikenali ramai selepas berjaya mengendalikan persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-10 pada Oktober 2003.

Sehubungan itu, Ali berkata, PPj perlu menyasarkan peluang-peluang perniagaan dalam sektor Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Acara (MICE), khususnya yang membabitkan industri pelancongan.

Katanya, kerajaan telah menetapkan sasaran sebanyak 2.9 juta pelancong kategori perniagaan pelancongan menjelang 2020 di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP).

''Malah, jumlah penyertaan untuk perniagaan pelancongan dianggarkan akan meningkat dari lima peratus sekarang kepada lapan peratus menjelang 2020.

''Ini juga membawa makna pengwujudan lebih banyak lagi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada warga tempatan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan