Isnin, 1 April 2013

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


971 peneroka terima SITSS

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUALA KRAU 1 April - Sebanyak 971 peneroka Felda Wilayah Jengka menerima bayaran Skim Insentif Tanam Semula Sawit (SITSS) berjumlah kira-kira RM2 juta daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, peneroka dari tiga rancangan Felda iaitu Felda Jengka 17 sebanyak 270 orang memperoleh RM547,000, Felda Jengka 18 seramai 291 orang (RM582,000) dan Felda Jengka 19 seramai 410 orang (RM820,000).

Katanya, secara purata setiap peneroka menerima kira-kira RM2,000 iaitu tambahan daripada jumlah RM2,000 yang telah diterima mereka sebelum ini sebagai insentif untuk membiayai sebahagian kos penebangan sawit.

''SITSS bertujuan menggalakkan penebangan pokok sawit tua dan menanam semula dengan anak benih yang berkualiti," katanya pada majlis penyampaian bayaran SITSS di Jengka 17 di sini kelmarin.

Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melaksanakan SITSS dengan dana sebanyak RM100 juta pada tahun ini melibatkan kawasan penanaman sawit di seluruh negara.

Katanya, di bawah skim ini, insentif sebanyak RM1,000 sehektar disediakan berdasarkan beberapa syarat iaitu diberi kepada pemilik ladang sawit yang mempunyai keluasan kurang 40.47 hektar.

Menurut beliau, syarat lain penerima insentif ialah pekebun kecil di bawah seliaan Felda dan agensi kerajaan negeri atau kawasan tanaman sawit kurang daripada 40.47 hektar.

''Pemberian SITSS satu lagi komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membantu warga peneroka mendapat tambahan kewangan," katanya.

Ismail seterusnya meminta warga peneroka berpakat mempertahankan Felda daripada para 'parasit' yang tidak jemu-jemu meruntuhkan usaha agenda Melayu yang dibina lebih 52 tahun lalu.

Menurutnya, kerenah pembangkang seperti itu sangat memualkan sedangkan mereka turut mendapat manfaat daripada pembangunan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

''Rancangan Felda adalah milik peneroka yang setia dan tidak ada tempat bagi mereka yang menjadi perosak kepada kemajuan yang telah dicapai rakyat sekarang," katanya.

Tanaman limau madu beri pulangan berbaloi

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

JERANTUT 1 April - Penanaman limau madu atau nama saintifiknya Citrus Sinensis banyak diusahakan petani di Hulu Tembeling, Jerantut berasaskan permintaan yang meningkat di pasaran tempatan.

Bertolak hakikat itulah, seorang petani Kampung Tempan, dekat sini, Adenan Nipah, 55, memajukan tanah seluas lapan hektar untuk tanaman limau madu dan sayur-sayuran.

Katanya, projek tanaman itu bermula pada 1994 sebagai percubaan awal walaupun harus bersaing dengan pasaran buah-buahan tempatan lain.

"Benih limau ini saya peroleh daripada Jabatan Pertanian yang turut memberi bimbingan dari aspek pengurusan tanaman dan ladang pada peringkat awal," katanya di Kampung Tempan, dekat sini baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak 700 anak benih limau itu disulam di kawasan tanah pinggir kampung tersebut yang sudah diteroka untuk dimajukan dengan projek berkenaan.

"Setelah tiga tahun bersusah payah menjaga tanaman ini, akhirnya membuahkan hasil pertama pada 1997 sehingga kini dan mendapat pasaran yang baik di pasar tani dan pusat pelancongan Taman Negara," ujarnya.

Tanaman itu, katanya, dijaga dengan rapi untuk mengelak pokok limau tersebut mati akibat serangan ulat, penyakit tanaman dan musuh lain iaitu babi hutan.

"Kini cuma sebanyak 600 batang pokok mengeluarkan buah antara 400 hingga 700 biji," katanya.

Katanya, sekilogram buah limau itu dijual dengan harga RM4 kepada pelawat di Taman Negara Kuala Tahan, Kampung Pagi dan kawasan berdekatan.

Beliau berkata, pendapatan harian jualan buah limau mencecah antara RM80 hingga RM100 digunakan untuk belanja dapur, persekolahan, membeli baja dan racun serangga.

"Limau yang baru dipetik boleh dimakan begitu sahaja atau dapat bertahan beberapa hari untuk diperah menjadi jus yang manis," katanya.

Tambahnya, usaha itu akan diteruskan dengan memajukan tanah terbiar berdekatan rumah dengan tanaman limau dan buah naga yang boleh mengecapi pulangan lumayan sesuai dengan kudrat dalam usia emasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan