Isnin, 1 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Masyarakat India aset kemenangan BN

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
pengarang@utusan.com.my

MOHAMAD Hasan (tengah) dan beberapa pemimpin Makkal Sakti dan BN melaungkan 1Malaysia bersama ahli parti pada Majlis Gerak Sakti Makkal Sakti di Wisma UMNO, Seremban, semalam.

SEREMBAN 31 Mac - Kepelbagaian parti berasaskan masyarakat India di negara ini tidak bermakna sokongan mereka terhadap Barisan Nasional (BN) lemah, akan tetapi menjadi teras dan aset terpenting dalam memastikan kemenangan parti komponen itu pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, sebelum ini ada di antara masyarakat India memilih untuk menyertai pembangkang yang kononnya dapat merealisasikan impian dan membela nasib mereka.

Namun kini katanya, selepas diberikan kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat kepada mereka, ternyata banyak janji hanyalah omong kosong, menyebabkan mereka kembali menyokong BN.

''Kita dapat lihat hanya BN sahaja yang dapat menunaikan janji kerana kita tidak hanya bercakap tetapi dikotakan dan dilaksanakannya. Sebab itulah banyak masyarakat India ketika ini sudah kembali kepada BN.

''Kita mahu jadikan masyarakat India ini sebagai deposit tetap BN dan berharap sokongan yang diberikan ini terus dikekalkan," katanya.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Gerak Sakti Makkal Sakti di Wisma UMNO negeri di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamad yang juga Menteri Besar menjelaskan, BN telah bersedia untuk berdepan dengan pilihan raya akan datang dan usaha memperkemaskan dan melaksanakan program-program di peringkat akar umbi juga sedang giat dilakukan.

''Kita telah mengatur jentera sejak tahun lalu dan pelbagai gerak kerja telah dan sedang dilakukan, cuma sekarang hanya menunggu isyarat daripada kepimpinan parti untuk menentukan tarikh pilihan raya," katanya.

Ditanya tentang calon, Mohamad menjelaskan, semua calon BN mewakili parti dalam pilihan raya umum akan datang adalah mereka yang sudah melepasi proses saringan Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

''Memang semua nama calon telah kita senarai pendekkan dan kesemuanya berjaya melepasi saringan ini. Nama mereka telah dihantar kepada pemimpin parti yang juga Perdana Menteri dan sekarang terpulanglah kepada beliau (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuat keputusan," katanya

Sultan Ibrahim santap bersama 502 NGO

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

JOHOR BAHRU 31 Mac - Lebih 600 orang mewakili 502 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum menghadiri Majlis Jemputan Santapan Bersama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

Majlis bermula pukul 8 pagi dan berlangsung lebih sejam itu dibuat secara santai dengan semua wakil NGO itu berpeluang berjabat tangan dan mengambil gambar bersama Sultan Ibrahim, selain baginda berkenan bersantap bersama mereka yang hadir.

Terdahulu, baginda menerima ucapan menjunjung kasih daripada wakil NGO yang terdiri daripada pelbagai kaum dan ikrar taat setia sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bahagi kepada baginda.

Pada majlis sama, mereka turut menyerahkan skrol mengandungi tandatangan lebih 20,000 rakyat kepada Sultan Ibrahim.

Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Abdullah Md Yusof berkata, majlis santapan itu merupakan jemputan daripada Sultan Ibrahim sendiri.

"Majlis ini mampu mengeratkan hubungan sesama kaum, selain bukti NGO di negeri ini sentiasa berdiri teguh bersama baginda. Jadi, adalah silap kalau ada orang mengatakan bahawa rakyat Johor tidak sayangkan tuanku kerana baginda merupakan tunjang negeri ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Perkara sama turut disuarakan wakil NGO kaum India, S. Suppayah yang memberitahu, mereka sejak dari dahulu sentiasa memberikan sokongan kepada Sultan Ibrahim yang disifatkan lain daripada yang lain.

"Keprihatinan baginda membuatkan kita sebagai rakyat mahu sentiasa menunjukkan sokongan kepada tuanku," katanya yang mewakili lebih 60 NGO kaum India di negeri ini yang sentiasa taat setia kepada baginda.

Bagi wakil NGO Cina yang juga merupakan Presiden Persatuan Tiong Hua, Lim Ik Kim berkata, lebih 80 wakil NGO kaum itu berkumpul hari ini bersama-sama wakil NGO lain untuk menunjukkan sokongan kepada Sultan Ibrahim yang amat disenangi rakyat.

Tambahnya, di bawah kepemimpinan baginda, rakyat berbilang kaum di negeri ini mampu hidup dalam suasana aman dan damai.

Mapim ajak rakyat terus pertahan BN

Posted: 31 Mar 2013 11:44 AM PDT

MELAKA 31 Mac - Rakyat perlu bersatu mempertahankan landasan kemajuan negara yang telah dibina oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) daripada dimusnahkan oleh pembangkang.

Yang Dipertua Mimbar Pemuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim), Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin berkata, kepimpinan BN telah terbukti berjaya membawa keamanan kepada seluruh rakyat berbilang kaum sejak negara merdeka lagi.

Justeru katanya, kesejahteraan yang telah wujud sejak sekian lama itu tidak wajar dilenyapkan dan mandat harus diberikan kepada BN untuk terus memerintah negara ini.

"Rakyat perlu melihat pembangkang sentiasa mencari peluang untuk merosakkan segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan BN sejak sebelum merdeka.

"Untuk itu, kita perlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan mantap bagi memastikan keamanan dapat dikekalkan, agenda pembangunan berterusan, taraf ekonomi terus meningkat dan kehidupan rakyat jadi lebih selesa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal Perdana Mapim yang dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dewan Bistari, Ayer Keroh di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Jamil juga, Mapim yang mempunyai 20,000 ahli juga telah berikrar akan terus menyokong BN dalam usaha memastikan kemenangan memihak kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Mapim ingin sebuah kerajaan mantap seperti BN terus memerintah kerana mereka telah buktikan kemajuan negara yang dikecapi," ujar beliau lagi.

Sehubungan itu katanya, Mapim tidak terkecuali membantu BN melalui program Wacana 1Malaysia yang diadakan di seluruh negara bagi menerangkan kepada rakyat usaha yang telah dan akan kerajaan lakukan bagi menjamin kehidupan sempurna di masa hadapan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan