Selasa, 2 April 2013

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Hasil ladang kontrak RM11.54j

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 1 April - Program Ladang Kontrak yang dibangunkan bagi membantu pengusaha pertanian berskala kecil dan sederhana di negeri ini mencatat pengeluaran sebanyak 7,263 tan metrik bernilai RM11.54 juta tahun lalu.

Pengeluaran itu merangkumi sebanyak 5,964 tan metrik sayur-sayuran, 1,050 tan metrik buah-buahan dan 250 tan metrik nanas di seluruh 138.4 hektar kawasan pertanian di tiga daerah di negeri ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Mohd. Nawi Othman berkata, program itu melibatkan sebanyak 16 jenis buah-buahan, 13 jenis sayur-sayuran serta beberapa jenis pokok bunga dan herba.

"Setakat ini, lebih 500 peserta terlibat dalam program yang dikelolakan agensi dan jabatan kerajaan yang diketuai FAMA.

"Program ini kita harapkan dapat membantu para usahawan dan petani kecil dalam memberi mereka kesinambungan pengeluaran hasil-hasil pertanian serta menyalur maklumat berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut merasmikan portal baharu kerajaan negeri.

Menurutnya, menerusi program itu penekanan diberikan kepada beberapa aspek pembangunan pertanian termasuk pengeluaran berkualiti yang mempunyai nilai tambah tinggi menerusi aktiviti penggredan, pemprosesan, pembungkusan, pelabelan dan penjenamaan.

Dalam pada itu, kata Mohd. Nawi, usaha membangunkan usahawan pemasar buah-buahan diberi pembaharuan yang mana kesemua gerai usahawan yang terpilih ditampilkan dengan imej menarik, teratur, kemas dan seragam.

Katanya, menerusi program Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) lambakan buah-buahan dapat diatasi pada masa-masa tertentu.

"Kini, sebanyak 15 lokasi GBBS dibangunkan dengan jumlah jualan tahunan mencecah RM4.12 juta," katanya.

Penjawat awam diseru jayakan aspirasi kerajaan

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

Mohd. Ali Rustam mencuba portal baru selepas majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 1 April - Penjawat awam di negeri ini diseru memainkan peranan menjayakan aspirasi kerajaan bagi menggerakkan negeri ini ke arah pembaharuan dan perubahan negeri maju secara lonjakan berganda.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, dalam aspek membawa negeri ini ke arah pelbagai kemajuan, tindakan secara berdikit-dikit tidak lagi relevan.

Menurut beliau, kerajaan akan melaksanakan pelbagai pembaharuan dan perubahan secara lonjakan berganda dan bukan lagi berdikit-dikit dengan perubahan itu dibuat tanpa mengetepikan agenda keadilan sosial.

"Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang bermula antara 2011 hingga 2015 akan diikuti oleh jendela dunia dalam bentuk RMK-11, tempoh ini antara 2016 hingga 2020 dan sesungguhnya kedua-dua rancangan ini penting bagi meletakkan Melaka dan negara ini di puncaknya demi masa depan rakyat.

"Sebab itu adalah sangat penting penjawat awam terus bersama kerajaan bagi meneruskan kesinambungan pembangunan negara yang telah dirancang secara komprehensif dan bijaksana," katanya.

Beliau berucap dalam Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ali, Melaka menerusi kekuatan ekonomi, politik dan sosialnya telah mengorak langkah untuk muncul sebagai sebuah negeri yang pesat dengan agenda pembangunan, perdagangan dan strategi pelancongan yang bertaraf dunia pada masa akan datang.

Katanya, kemajuan negeri ini semakin terserlah selepas memartabatkan inovasi dan kreativiti dalam pelaksanaan dasarnya.

Jeti Kuala Sebatu tingkatkan hasil nelayan

Posted: 01 Apr 2013 12:08 PM PDT

JASIN 1 April - Jeti Kuala Sebatu kini berubah wajah apabila kerja-kerja menaik taraf hampir siap sepenuhnya, sekali gus memberikan kemudahan yang lebih selesa kepada nelayan mendarat bot dan tangkapan di pangkalan tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, sebanyak RM5.7 juta telah diperuntukkan untuk membina jeti baharu itu yang mana sebelum ini kawasan sekitarnya hanyalah kuala sungai yang menempatkan bot-bot nelayan, selain dikelilingi paya bakau.

"Kawasan jeti nelayan ini berkeluasan 10 ekar ini, mula dibina pada Julai tahun lalu memberikan lebih keselesaan kepada nelayan meletakkan bot-bot di jeti berkonkrit.

"Kewujudan jeti baharu ini adalah sebahagian usaha membantu nelayan meningkatkan hasil pendapatan mereka, selain dilihat membuka peluang kepada penduduk menjalankan aktiviti perniagaan seperti medan selera berasaskan makanan laut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Praperasmian Jeti Kuala Sebatu di sini kelmarin.

Menurut Hasan, jeti tersebut merupakan yang terbesar dalam kawasan Sungai Rambai dan turut menempatkan kemudahan seperti tempat membaiki bot, menara tinjau, gerai, padang bola dan beberapa kemudahan lain.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sebatu, Pabol Samat berkata, pembinaan jeti tersebut merancakkan lagi pembangunan ekonomi masyarakat setempat, selain menampung keperluan para nelayan di situ.

Katanya, kewujudan jeti ini meningkatkan keselamatan nelayan, selain melancarkan lagi urusan mendaratkan hasil tangkapan dan memudahkan mereka meletakkan bot masing-masing dengan lebih tersusun.

"Perubahan Jeti Kuala Sebatu yang kini dilengkapi jalan raya dan lampu jalan turut memberikan kelegaan kepada mereka keluar masuk ke pangkalan berbanding dahulu, kawasan sekitarnya yang gelap pada waktu malam," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan