Ahad, 25 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Si mabuk cemar masjid

Posted: 24 Nov 2012 05:17 AM PST

KANGAR: Bukan sahaja menceroboh dalam keadaan mabuk, malah enam lelaki turut melempar tin arak ke dalam pagar Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis, dekat sini, selepas bertengkar dengan pengawal keselamatan, Khamis lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam apabila kumpulan lelaki berusia 30-an terbabit dikatakan mahu bersantai di tepi pantai bersebelahan masjid sebelum menceroboh melalui sebuah pintu pagar rumah ibadat itu menyebabkan tindakan mereka disedari pengawal keselamatan bertugas.


Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Addul Rahman Mohd Noordin berkata, seorang daripada mereka berbadan agak gempal sukar memanjat sebelum tindakannya disedari pengawal keselamatan masjid terapung itu.

Katanya, sebaik suspek menyedari tindakannya dilihat pengawal keselamatan, dia cuba melarikan diri tetapi gagal berbuat demikian.


"Suspek kemudian dibantu rakannya melawan pengawal keselamatan di situ selepas diarahkan keluar dari kawasan masjid menyebabkan berlaku pertengkaran di antara mereka.


"Semua suspek yang mabuk berkenaan tidak puas hati dengan tindakan pengurusan tidak membenarkan mereka masuk ke kawasan masjid untuk ke pantai bersebelahan sambil memaki-hamun pengawal keselamatan terbabit," katanya di sini, semalam.

Menurut Abdul Rahman, semua mereka kemudian beredar dari kawasan berkenaan sebelum melontarkan beberapa tin minuman keras yang diminum ke arah masjid.


Katanya, kumpulan lelaki itu kemudian beredar menaiki sebuah kereta Proton Iswara, tetapi nombor pendaftaran kenderaan terbabit berjaya dicatatkan pengawal keselamatan.

"Sejurus itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Kuala Perlis sebelum polis menahan semua suspek di Pauh di sini, awal pagi semalam (kelmarin). Semua mereka kemudian ditahan sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.


Katanya, kes berkenaan boleh mengundang rasa marah orang ramai dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



Dibunuh ketika keluar minum dengan kawan

Posted: 24 Nov 2012 05:14 AM PST

KLANG: "Dia hanya beritahu mahu keluar minum bersama rakannya," kata Logeswari, 20-an, isteri kepada T Sivanesan, 32, yang dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemui di tepi padang permainan kanak-kanak di Taman Sentosa, di sini, semalam.

Logeswari ketika ditemui berkata, suaminya keluar dari rumah mereka kira-kira jam 2 pagi semalam untuk minum bersama empat rakannya di restoran berhampiran padang permainan kanak-kanak itu. "Saya tidak tahu apa masalahnya sebelum ini. Saya terkejut apabila dihubungi polis pagi tadi (semalam) memaklumkan mayatnya dijumpai di padang permainan ini," kata ibu kepada dua anak perempuan berusia lima bulan dan tiga tahun ini ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.


Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Sivanesan dipercayai bergaduh di restoran itu sebelum melarikan diri ke padang permainan kanak-kanak itu.

Mangsa kemudian dipukul dan ditikam dengan objek tajam di tepi papan gelungsur di padang permainan itu. Mangsa yang parah kemudian cuba melarikan diri namun rebah kira-kira 30 meter dari tempat dia dipukul sebelum meninggal dunia.


Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusof berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 10 pagi semalam memaklumkan penemuan mayat terbabit.


Beliau berkata, pemeriksaan forensik mendapati ada kesan tikaman di bahagian punggung mangsa dan kesan cedera di belakang kepala dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa dipercayai bergaduh sebelum dipukul lebih daripada seorang suspek di kawasan padang permainan kanak-kanak itu. Seorang lagi rakan mangsa yang identitinya belum dikenali turut cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini," katanya.


Mohamad berkata, hasil siasatan juga mendapati mangsa mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan curi kenderaan.

Katanya, polis juga tidak menemui sebarang senjata di kawasan berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



Tiada ulasan:

Catat Ulasan