Rabu, 28 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Wanita UMNO cadang himpun ulama, guru pondok perjelas isu liberalisme, pluralisme

Posted: 28 Nov 2012 03:16 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang anggota perwakilan Wanita UMNO mencadangkan supaya pimpinan parti menghimpunkan guru pondok dan ulama dari seluruh negara bagi menjelaskan kepada masyarakat mengenai liberalisme dan pluralisme yang dibangkitkan pembangkang.

Ini kerana isu seperti itu boleh menggugat perpaduan ummah, kata Penolong Setiausaha Wanita UMNO Perlis, Marzita Mansor ketika membentangkan usul pendidikan, agama dan sosial pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2012, di sini hari ini.

Beliau menegaskan fahaman yang hanya bertunjangkan kepentingan politik dan bertopengkan agama semata-mata itu menjadi satu ancaman jika dibiar berleluasa tanpa adanya penerangan dan langkah pencegahan pihak berkuasa.

"Seharusnya individu Islam wajib memahami bahawa fahaman dan falsafah yang semakin berkembang ini bukan sahaja intipati agenda Barat dalam siri penjajahan bentuk baharu.

"Bahkan ia merupakan strategi untuk menghancurkan Islam menerusi rasionalisme ilmiah berdasarkan kaedah serangan pemikiran," katanya.

Katanya, kedua-dua aspek itu turut membenarkan perkahwinan berlainan agama, kebebasan beragama, memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Selain itu, Wanita UMNO mahu kerajaan menekankan lagi silibus mata pelajaran agama Islam pada semua peringkat pengajian kerana subjek tersebut perlu dihayati dan menjadi amalan setiap pelajar, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.
Beliau turut mencadangkan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan lagi dengan kemudahan dan peralatan pembelajaran terkini serta tenaga pengajar berkualiti bagi meningkatkan kemasukan murid keturunan India dan Cina.

Ini sekali gus dapat mengeratkan ikatan perpaduan dengan wujudnya kepelbagaian etnik, agama, budaya dan latar belakang sosioekonomi masyarakat berbilang kaum, katanya.

Merujuk kepada kepentingan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyampaikan aspirasi dan dasar kerajaan kepada masyarakat, beliau mencadangkan supaya hubungan dua hala antara NGO dan kerajaan diperkukuhkan.

Katanya, ini bagi membendung penularan fitnah oleh segelintir NGO bersifat 'anti-establishment' serta penggunaan ruang siber untuk tujuan menganjurkan demonstrasi, bekerjasama atau memperoleh dana daripada pihak asing untuk mempengaruhi minda rakyat.

"NGO seperti ini semakin lantang mencipta fitnah melalui data-data yang dimanipulasi di ruang siber, bersifat ekstrem seterusnya berupaya untuk menggagalkan dasar-dasar kerajaan sekiranya pemantauan rapi tidak dilakukan," katanya. - BERNAMA

Taktik pembangkang sebar maklumat palsu dalam laman sosial di luar negara didedah

Posted: 28 Nov 2012 03:13 AM PST

KUALA LUMPUR: Kelab UMNO Luar Negara hari ini mendedahkan kegiatan pembangkang yang sering mengeluarkan maklumat salah terhadap UMNO dan dasar-dasar kerajaan persekutuan dalam laman web sosial dan laman blog.

Perwakilan Kelab UMNO luar negara yang berpusat di Pennsylvania, Amerika Syarikat, Muhammad Haziq Syamin Abd Halim berkata, beliau sering melayari laman web sosial dan media dalam talian untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai Malaysia.

"Melalui pemerhatian saya, terdapat banyak media online (dalam talian) dan laman web sosial yang dipercayai milik pembangkang sering melaporkan bahawa Umno parti yang tidak menegakkan Islam sebenar dan Islam di Malaysia dalam persengketaan," katanya kepada Bernama di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Haziq Syamin berkata, beliau mendapat tahu hal sebenar yang berlaku di Malaysia setelah pulang ke tanah air untuk menyertai Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

"Sikap pembangkang yang mengeluarkan penipuan semata-mata untuk mempengaruhi anak muda (penuntut) di luar negara mencerminkan bahawa parti pembangkang ini sememangnya tidak boleh dipercayai," katanya.

Beliau berkata, terdapat tujuh cawangan Kelab UMNO Luar Negara di sekitar Amerika Syarikat, dengan yang terbesar berpusat di bandar New York dan Chicago.

"Peranan kami adalah untuk menjaga kebajikan pelajar-pelajar dan juga penduduk tetap warga Malaysia di situ selain menyebarkan maklumat tentang dasar-dasar kerajaan Malaysia," katanya.
Sementara itu, perwakilan UMNO luar negara yang berpusat di Lancaster, Dir Kheidhrein Kamaruddin berkata, seorang pemimpin pembangkang pernah ke kawasan di sekitar United Kingdom tahun lepas untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia.

"Pemimpin pembangkang itu turut menyatakan bahawa partinya akan menjadikan Malaysia negara kebajikan untuk cuba mempengaruhi anak-anak muda.

"Mereka menyebarkan ideologi songsang kerana pada pendapat mereka kumpulan pelajar ini mampu mempengaruhi landskap pemerintahan negara pada masa depan, namun kami yang peka dengan perkembangan politik semasa di tanah air tidak termakan umpan mereka," katanya. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan