Sabtu, 24 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Jangan libatkan anasir luar rosak potensi negara: PM

Posted: 24 Nov 2012 01:27 AM PST

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengingatkan semua pihak khasnya pembangkang agar tidak cuba melibatkan campur tangan asing dan membawa budaya negatif dari luar yang boleh merosakkan potensi dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara.

Menyelar tindakan yang disifat memalukan negara itu, Perdana Menteri berkata potensi Malaysia tidak wajar dirosakkan dengan kemasukan anasir luar kerana negara ini penuh dengan pengharapan dan mempunyai masa depan yang lebih baik daripada apa yang dimiliki hari ini.

"Kita sudah ada yang baik di sini...'why fix when it is not broken' (kenapa nak betulkan jika tidak ada yang salah)," katanya ketika berucap pada Himpunan Barisan 1Malaysia : Untuk Masa Depan Rakyat sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Najib berkata Malaysia kini menjadi contoh kepada banyak negara malah ada yang mencemburui kejayaan dan pencapaian negara namun ada pihak di dalam negara yang sengaja mencari kesalahan kerajaan untuk dijaja ke negara luar.

"Jangan cakap dalam negeri, orang Bangsamoro pun hendak berdamai pandang ke Malaysia, (selama) 40 tahun, lebih 100,000 orang sudah mati, tapi kata putusnya pada Malaysia.

"Di sini ada orang cari salah pada kita, (sedangkan) yang lain lagi teruk. Di Amerika Syarikat pilihan raya presiden pun banyak masalah, pengundi tidak ada nama di tempat mengundi, keputusan lambat, tetapi tidak ada pihak yang kata ada penipuan besar, pemilihan (Presiden Barack) Obama bagi penggal kedua tidak sah, tidak ada...," katanya.

Sambil menempelak pembangkang yang sering mempersoalkan dan mempertikai kerajaan, Najib berkata mereka bagaimanapun mendiamkan diri apabila barisan pembangkang berjaya merampas lima negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.
"Jadi jangan minta negara luar campur tangan, jangan bagi malu kepada negara kita. Kita sudah buat yang terbaik untuk Malaysia tapi dia pergi Australia untuk minta campur tangan, nasib baik Australia tidak ikut," katanya, merujuk tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan meminta bantuan Australia untuk memastikan pilihan raya umum bebas dan adil di Malaysia.

Australia bagaimanapun menolak rayuan itu serta menegaskan bahawa negara itu tidak akan mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia.

"Dia tahu kita ada hubungan baik, dia tahu pemimpin kita, dia kenal. Ini dia (Anwar) pergi sana cucuk sana, cucuk sini.

"Kita jangan jadi macam itu, kita ada peluang dan masa depan yang cukup baik jadi fikirkanlah untuk masa depan anak-anak kita," katanya.

Menyedari sokongan rakyat tidak lagi tertumpu hanya kepada parti-parti siasah, Najib berkata realiti baharu politik yang didukung perkembangan teknologi maklumat menuntut kerajaan untuk mengukuhkan hubungan dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat umum.

"Sebab itu kita mengiktiraf NGO kerana Barisan Nasional (BN) faham masa depan negara bergantung kepada permuafakatan bersama NGO dan masyarakat madani yang seharusnya dibawa bersama sebagai rakan kongsi untuk mencapai matlamat mentransformasikan negara," katanya.

Menegaskan BN bukanlah parti yang kaku, Najib berkata kerajaan bersedia melakukan perubahan untuk membawa kejayaan lebih besar kepada negara.

"Kita telah membuktikan tidak semestinya kita tukar kerajaan untuk maju tetapi kita boleh membawa perubahan yang besar dengan kerajaan yang sama," katanya. - BERNAMA

Majikan diingat tak terlalu perah tenaga pekerja

Posted: 24 Nov 2012 01:24 AM PST

JOHOR BAHRU: Majikan di negara ini diingat agar tidak terlalu memerah tenaga pekerja mereka serta mematuhi waktu bekerja yang ditetapkan dalam Akta Pekerjaan 1955.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam, berkata di bawah akta itu, masa bekerja ialah lapan jam sehari dan tambahan empat jam lagi dianggap kerja lebih masa.

"Kebanyakan masa orang bekerja lebih masa untuk mendapat pendapatan lebih bagi menyara keluarga mereka," katanya ketika ditemui pada seminar penyelidikan antarabangsa berkaitan pendidikan Tamil hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang memetik laporan kaji selidik global laman web agensi pelancongan Expedia bahawa 90 peratus pekerja Malaysia tidak dapat meninggalkan kerja mereka walaupun sedang bercuti.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Tenaga Kerja, masih mengkaji kandungan kaji selidik itu yang meletakkan pekerja Malaysia di tangga keempat di belakang India, Brazil, dan Itali sebagai paling berdedikasi.

Dr Subramaniam juga berkata pengenalan gaji minimum akan membantu meringankan beban mereka yang bekerja keras untuk mencari rezeki.

"Dengan pelaksanaan gaji minimum menjelang awal tahun depan, mereka yang bekerja syif yang panjang akan mendapat manfaat yang lebih," katanya sambil menasihati majikan agar dinasihat melayan pekerja dengan adil.
Dalam pada itu, Dr Subramaniam yang juga Timbalan Presiden MIC, berkata masyarakat India di negara ini membantah kehadiran Presiden Sri Lanka Mahinda Rajapaksa ke Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di sini awal bulan depan.

Beliau berkata masyarakat India sensitif dengan kehadiran Mahinda dan perkara itu telah dibincangkan bersama kabinet dan Perdana Menteri.

Mahinda didakwa terlibat dalam jenayah perang semasa Perang Sivil Sri Lanka, yang mengorban beribu-ribu orang, terutama masyarakat Tamil.

Beliau dijangka menghadiri forum itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dari 4 hingga 6 Disember ini. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan