Jumaat, 23 November 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Abang maut, adik cedera dalam nahas di Lebuh Raya Utara-Selatan

Posted: 23 Nov 2012 12:58 AM PST

REMBAU: Seorang abang terbunuh manakala adiknya cedera apabila kereta Proton Waja mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta Volvo dan lori membawa roti di Km243.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah ke selatan) dekat sini, tengah hari tadi.

Jurucakap polis berkata Zalfazeri Zahari, 28, dari Kampung Bonggul, Bandar Permaisuri, Terengganu meninggal di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 12.30 tengah hari.

Mayatnya telah dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat sementara adiknya yang memandu kereta itu cedera parah dan dihantar ke hospital yang sama. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Polis tahan 17 lelaki berhubung kes kematian buruh warga Myanmar

Posted: 22 Nov 2012 11:08 PM PST

GEORGETOWN: Polis telah menahan 17 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang lelaki warga Myanmar maut dalam satu pergaduhan di Kampung Ujung Batu, Butterworth pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata kesemua lelaki berusia 20-an itu ditahan secara berperingkat di sekitar Pulau Pinang sejak hari kejadian pergaduhan itu.

"Mereka kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan dan polis percaya dengan penangkapan 17 lelaki itu telah berjaya menyelesaikan kes pergaduhan sehingga menyebabkan warga Myanmar terbabit maut.

"Laporan lengkap berhubung kejadian itu akan dihantar kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya, " katanya kepada pemberita selepas Program Community Policing bersama penduduk Pulau Aman, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



Tiada ulasan:

Catat Ulasan