Rabu, 14 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Berita Harian: Mutakhir


Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan

Posted: 14 Nov 2012 02:46 AM PST

KOTA BHARU: Penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan pada Liga Super musim depan jika Johor tidak bersetuju dengan syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, berkata KAFA terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu pada tahun ini.

Mat Yo, yang dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' dalam anugerah bola sepak kebangsaan 2012 baru-baru ini, masih mempunyai kontrak selama 13 bulan dengan persatuan itu.

Annuar berkata nilai pakej gaji Mat Yo untuk dua tahun berjumlah RM800,000 tidak termasuk bonus antara RM70,000 dan RM80,000 setahun.

"Kita kena hitung kos untuk menanggung Mat Yo bukan sahaja gaji tetapi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemberian khusus setiap kali menang anugerah selain pemberian gratuiti.

"Mat Yo kahwin kita bagi hampir RM100,000. Itu semua kos yang kita terpaksa kira," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perarakan tiga piala di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di sini, hari ini.

Musim ini, Kelantan memenangi tiga kejohanan iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nilai, syarat serta terma yang telah disertakan dalam surat tawaran kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung urusan perpindahan Norshahrul.

Beliau berkata KAFA bersetuju melepaskannya untuk menyertai Johor dan semuanya bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua persatuan negeri itu.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim depan.

Annuar berkata polemik perpindahan Mat Yo juga menyebabkan reaksi negatif daripada beberapa penaja 'The Red Warriors' berikutan khabar angin mengatakan Kelantan tidak mungkin menjuarai sebarang kejuaraan pada musim depan.

"(Perkara ini) sudah mula menjejaskan rundingan yang sedang berjalan serta penaja yang ada sekarang. Kita mungkin hilang dua atau tiga penaja disebabkan ini.

"Kalau kita kata kerugian sampai RM6 juta, takkan nak minta dengan Johor sampai RM6 juta?. Kita terpaksa ambil pendekatan yang munasabah. Masa sama, kita pun tak boleh nak menanggung kerugian," katanya. - BERNAMA

KP Kesihatan didenda RM3,00 kerana khalwat

Posted: 14 Nov 2012 02:42 AM PST

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman hari ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.

Jika Dr Hasan, 56, gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama tiga bulan.

Beliau didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini kira-kira 2.18 pagi hari ini.

Wan Syarifah Nooraazmanita turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.
Mereka membayar denda itu.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain mengenakan hukuman denda itu setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama bagi kedua-dua mereka dan mereka telah mengaku insaf terhadap kesalahan tersebut serta mempunyai niat melangsungkan perkahwinan selepas ini.

Dr Hasan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Wan Syarifah Nooraazmanita didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwa syarie Che Saupi Che Husin dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sepasukan anggota penguatkuasa dari JAWI bertindak memeriksa bilik tersebut selepas menerima maklumat awam.

Pasukan itu kemudiannya mengetuk pintu bilik itu dan lebih kurang lima minit ia dibuka oleh Dr Hasan yang berbaju kemeja berwarna biru dan berseluar coklat.

Selepas dibenarkan masuk oleh Dr Hasan, pemeriksaan mereka mendapati Wan Syarifah Nooraazmanita yang memakai baju dan berseluar hitam sedang duduk di kerusi berhampiran katil.

Hasil siasatan lanjut mendapati Dr Hasan merupakan seorang duda dan Wan Syarifah Nooraazmanita masih lagi isteri yang sah kepada pasangannya.

Wan Syarifah Nooraazmanita, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau dalam proses perceraian dengan suaminya.

Ketika merayu hukuman ringan, Dr Hasan berkata beliau mengaku bersalah dan bertanggungjawab atas kesalahan itu dan beliau belajar daripada kesilapannya dan insaf. - BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan