Rabu, 21 November 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis rampas dadah bernilai RM68,100 di Sungai Petani

Posted: 21 Nov 2012 02:38 AM PST

SUNGAI PETANI: Polis merampas sejumlah 2.568 kilogram dadah jenis heroin dianggarkan bernilai RM60,000 dan 27.5 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM8,100, dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Kampung Sungai Division, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Ariffin berkata susulan serbuan yang dijalankan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada jam 10.15 malam itu, seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Selain kedua-dua jenis dadah iaitu heroin dan syabu yang dibungkus dalam paket-paket plastik lutsinar dalam saiz kecil dan besar, siasatan lanjut turut membawa kepada penemuan alat penimbang pelbagai jenama, mesin pembungkus serta tiga telefon bimbit.

"Turut ditemui ialah wang tunai yang jumlah keseluruhannya RM2,167," katanya pada sidang media di sini, hari ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Polis kenal pasti suspek terlibat kes ugut bunuh guna SMS

Posted: 21 Nov 2012 12:10 AM PST

JOHOR BAHRU: Polis telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dengan kes ugutan bunuh menggunakan khidmat SMS terhadap beberapa individu di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, sebanyak 14 laporan berhubung kejadian itu diterima sejak awal bulan lepas dan siasatan terperinci mengenainya sedang dilakukan.

"Kami yakin dapat menahan mereka yang terlibat dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima, suspek menghantar SMS kepada individu meminta sejumlah wang dimasukkan ke dalam satu akaun bank yang diberi dan mengugut akan membunuh anggota keluarga mangsa sekiranya arahan itu gagal dipatuhi.


Orang ramai yang menerima SMS seumpama itu diminta melaporkannya kepada polis, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/21


Tiada ulasan:

Catat Ulasan