Jumaat, 9 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Along ubah taktik

Posted: 08 Nov 2012 03:08 PM PST

KUALA LUMPUR: Selepas taktik mereka memperdaya peminjam dihidu pihak berkuasa, sindiket ceti haram atau along kini dikesan 'memudahkan' prosedur pinjaman termasuk menandatangani borang perjanjian kosong.

Dengan urus niaga dijalankan di dalam kereta, along terbabit seolah-olah cuba menyembunyikan operasi mereka dengan tidak lagi berurusan secara terbuka seperti sebelum ini.


Terbaru, seorang penyelia sebuah syarikat di Kepong terjerat dengan ceti haram dan menjadi mangsa pinjaman mudah dengan hanya menandatangani perjanjian di dalam kereta.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Hazman, 38, berkata, dia mula meminjam daripada ceti haram beberapa bulan lalu apabila mengalami masalah kewangan selepas mendirikan rumah tangga.


"Menerusi seorang kawan, saya berjumpa dengan along ini di Subang Jaya dan menandatangani kertas kosong untuk membuat pinjaman RM4,000.


"Tidak berapa lama selepas itu, saya ditawarkan untuk menambah pinjaman menjadi RM12,000 dengan ansuran hampir RM2,000 sebulan menyebabkan saya tertekan. Saya tidak bersetuju dan rasa teraniaya," katanya selepas membuat aduan kepada Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, di sini semalam.

Hazman berkata, tidak lama selepas itu dia menyedari dipermainkan kerana kadar bunga yang dikenakan meningkat dalam tempoh sebulan menyebabkan dia meminta penjelasan daripada along terbabit.


"Saya sungguh terkejut apabila dimaklumkan saya perlu membayar keseluruhan RM15,000 untuk tutup akaun. Selepas itu, hampir setiap hari saya dipaksa membayar pinjaman berkenaan, menyebabkan saya menghubungi PPIM untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


Tambah dinding hadapi banjir

Posted: 08 Nov 2012 03:06 PM PST

KLANG: Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa tempat di daerah ini minggu lalu mengganggu persiapan sambutan Deepavali bagi penduduk keturunan India yang bakal disambut Selasa depan.

Penduduk Taman Sentosa, di sini, M Selva, 43, berkata, akibat banjir kilat itu, dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah rakannya hingga banjir surut.


Katanya, dia yang sudah empat tahun menetap di situ bimbang jika masalah banjir kilat terus berlaku pada masa akan datang terutama menjelang Deepavali.

"Saya terpaksa mengubah suai rumah dengan membina dinding tambahan di bahagian hadapan dan belakang rumah dengan kos hampir RM4,000 bagi mengelak air banjir memasuki rumah.


"Kejadian banjir tempoh hari mengakibatkan saya kerugian kira-kira RM5,000 termasuk perabot dan beberapa barangan elektronik rosak serta barangan persiapan Deepavali," katanya sewaktu ditemui.


Katanya, banjir kilat yang sering berlaku sejak lima tahun lalu dipercayai berpunca daripada pembangunan kawasan Bandar Botanic yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan berkenaan.

Beliau berkata, kapasiti air yang banyak dari kawasan berkenaan tidak mampu lagi ditampung longkang sedia ada hingga menyebabkan air melimpah.


Katanya, sebelum ini kira-kira 200 penduduk sudah menghantar notis kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung masalah ini, tetapi sehingga kini ia masih tidak menemui penyelesaian konkrit.

Seorang lagi penduduk, A Anjellamah, 72, yang sudah 17 tahun menetap di kawasan berkenaan turut buntu dengan masalah banjir yang sering berlaku apabila tiba musim hujan.


Katanya, dalam kejadian terbaru, air naik hampir satu meter mengakibatkan dia kerugian RM5,000 kerana kerosakan peralatan rumah.


Beliau berkata, persiapan Deepavali juga sedikit terjejas kerana alatan membuat kuih juga rosak disebabkan air memasuki rumah.


"Saya harap pihak berkuasa dapat mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengelak kejadian sama berulang dan mengembalikan keceriaan kami sekeluarga menyambut Deepavali," katanya.


Sementara itu, Jurucakap MPK berkata, pihaknya kini sedang giat melakukan pemantauan di beberapa kawasan di daerah ini yang sering dilaporkan banjir.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09


Tiada ulasan:

Catat Ulasan