Jumaat, 30 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Perhimpunan Agung UMNO 2012 ditangguh pagi esok

Posted: 30 Nov 2012 02:54 AM PST

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung UMNO 2012 ditangguhkan sehingga jam 8.30 pagi esok selepas perbahasan usul ekonomi selesai di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

Pembahas terakhir usul berkenaan ialah wakil Selangor, Datuk Ramli Norani.

Sehubungan itu, wakil Kelantan, Mohd Afandi Yusoff akan menjadi pencadang bagi usul agama dan pendidikan manakala wakil Puteri, Hasrunizah Hassan sebagai penyokong.

Sementara itu, sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2012 oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga naib presiden dijangka bermula jam 2 petang esok.

Sungai di Selangor, Johor dan NS lebihi paras amaran, bahaya

Posted: 30 Nov 2012 02:40 AM PST

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta penduduk di kawasan sekitar Hulu Selangor di Selangor, Gemas di Negeri Sembilan dan Batu Pahat di Johor agar berwaspada kemungkinan banjir berikutan bacaan paras air sungai melebihi aras amaran dan bahaya.

Menurut portal JPS, setakat 3.45 petang tadi, bacaan Sungai Bernam di Jambatan SKC di Hulu Selangor mencatat 18.61 meter, Sungai Sembrong di Parit Karjo, Batu Pahat, 2.11 meter iaitu melebihi aras amaran manakala Sungai Muar di Pekan Rompin, Gemas mencatat 36.43 meter, iaitu melebihi aras bahaya.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan bilangan mangsa banjir di Selangor mencatat seramai 66 orang manakala jalan ke Sungai Lalang dari Semenyih ke Hulu Langat pula ditutup kepada semua kenderaan.

Dua buah pusat pemindahan dibuka iaitu di Surau Kampung Laksamana, Gombak dan Dewan Genting Sanyen, di Kuala Langat. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan