Sabtu, 24 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kumpul dana baiki masjid runtuh di Gaza

Posted: 23 Nov 2012 01:38 PM PST

SEPANG: Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care) tampil antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang kini giat mengumpul dana bagi membina semula beberapa masjid yang runtuh di Semenanjung Gaza akibat serangan roket tentera Zionis.

Muslim Care kini giat mengumpul dana termasuk sumbangan daripada pelajar Malaysia yang menuntut di United Kingdom.


Timbalan Presidennya, Zulkefli Mohd Nani berkata, dua ahli Muslim Care iaitu Bendahari Agungnya, Zulkifli Wahijan dan Exco Muslim Care, Riduan Mohamad Nor bertolak ke United Kingdom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi semalam, untuk bertemu pelajar Malaysia di sana.

Menurutnya, rancangan mengutip dana bagi membina masjid di Tebing Gaza itu sudah dirancang sebelum perang meletus 20 November lalu namun ia akan diperhebatkan berikutan beberapa masjid di bandar Gaza dilaporkan musnah.


"Setakat ini, RM100,000 berjaya dikumpul dan kami menjangka mampu memperoleh RM1 juta pada penghujung tahun ini bagi tujuan membina atau membaik pulih masjid di sana," katanya.


Menurutnya, misi itu mendapat kerjasama NGO dan kerajaan Mesir untuk memasuki Semenanjung Gaza melalui sempadan Rafah.

Zulkefli berkata, orang ramai masih boleh menyumbangkan wang ke akaun Muslim Care di atas nama Viva Palestin menerusi nombor akuan Maybank, 564490211159 atau ke Akaun RHB (Muslim Care) 26212000004747.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



‘Rakan kongsi’ kebas RM75,000

Posted: 23 Nov 2012 01:35 PM PST

PETALING JAYA: Seorang peniaga kerugian lebih RM75,000 akibat terpedaya dengan helah seorang lelaki mendakwa sebagai kontraktor yang mahu menjadikan mangsa sebagai rakan kongsi projek pembersihan rentis talian pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), lebih setahun lalu.

Mangsa berusia 53 tahun yang berminat dengan projek berkenaan kerana mampu memberikan pulangan lumayan menyerahkan wang itu sebagai modal bagi membiayai pinjaman pendahuluan kontrak.


Malah, lelaki terbabit turut menjanjikan pulangan RM40,000 dalam tiga bulan selepas mangsa menyerahkan wang berkenaan pada Mac tahun lalu, namun sehingga kini dia tidak memperoleh keuntungan dijanjikan menyebabkan dia membuat laporan polis mendakwa ditipu. Menurut sumber, mangsa bertemu lelaki terbabit di sebuah restoran di Sungai Buloh dan menawarkannya menjadi rakan kongsi projek pembersihan rentis talian pencawang TNB di Perak.

"Lelaki itu mendakwa kekurangan modal untuk membiayai pendahuluan projek itu berjumlah RM160,000 menyebabkan dia perlu mencari rakan kongsi.


"Dia juga meyakinkan mangsa jika membuat pelaburan kos modal projek itu tidak melebihi RM100,000 manakala keuntungan RM60,000 dibahagi sama rata antara mereka," katanya.


Katanya, tertarik dengan tawaran itu, mangsa bersetuju menjadi rakan kongsi dan menyerahkan RM75,000 secara berperingkat.

"Dia menyerahkan RM50,000 kepada lelaki itu sebelum baki RM15,000 lagi dimasukkan dalam akaun bank milik lelaki itu secara ansuran.


"Selepas pembayaran dibuat, lelaki terbabit menunjukkan dokumen sebuah syarikat yang kononnya akan menguruskan projek berkenaan," katanya.

Menurut sumber, selepas lima bulan, mangsa mendapat tahu projek berkenaan siap dilaksanakan, malah syarikat yang menguruskan projek itu juga sudah mendapat pembayaran daripada TNB.


"Pada Ogos tahun lalu, mangsa cuba mendapatkan kembali wang modal dan keuntungan dijanjikan daripada lelaki terbabit, tetapi gagal kerana lelaki terbabit tidak dapat dihubungi," katanya.


Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh, baru-baru ini, selepas gagal menemui lelaki terbabit dan mengesyaki dirinya tertipu.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/24



Tiada ulasan:

Catat Ulasan