Isnin, 12 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


12 ikon wanita akan diiktiraf pada Himpunan Wanita Muda Negara

Posted: 12 Nov 2012 01:49 AM PST

KUALA LUMPUR: Seramai 12 ikon wanita muda dalam pelbagai bidang bakal diiktiraf pada Himpunan Wanita Muda Negara 2012 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 25 November ini.

Turut diiktiraf pada perhimpunan itu ialah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang akan menerima Anugerah Nusa Mahsuri bagi sumbangannya dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Perhimpunan anjuran Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dengan kerjasama sayap puteri parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, dijangka menarik lebih 10,000 wanita muda dari seluruh negara.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, acara julung-julung kali yang mengumpulkan wanita muda di seluruh negara itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, isteri Perdana Menteri yang juga penaung perhimpunan itu, Datin Seri Rosmah Mansor dijadual menyampaikan ucap tama pada perhimpunan berkenaan.

"Himpunan ini akan menjadi platform bagi wanita muda mengekspresiken diri mereka di sini dan saya harap mereka akan hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat sekretariat perhimpunan itu di ibu negara hari ini.

Himpunan wanita muda itu akan dipecahkan kepada tiga segmen utama iaitu himpunan di pentas utama di Dewan Tun Razak 1, PWTC, pameran dan demonstrasi membabitkan 80 agensi dan syarikat serta bengkel dan seminar berkaitan wanita muda.
Acara menarik lain ialah pertandingan fesyen dan fotografi, cabaran pidato, pertandingan model, cabaran penyelidikan gender serta pengedaran borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M 2.0) kepada wanita muda yang layak selain konsert khas.

Turut diadakan himpunan sejuta nota kecil yang tertulis impian wanita muda yang akan dipamerkan pada ruangan Sejuta Impian dengan satu daripada impian itu akan ditunaikan penganjur.

Sementara itu, Rosnah juga berkata, pergerakan berkenaan akan menumpukan kepada usaha memperkasa pergerakan itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, itu antara intipati yang akan dibahaskan pada perhimpunan sayap itu sempena Perhimpunan Agung UMNO 2012 dijadualkan akhir bulan ini.

Mangsa banjir di tiga negeri 1,519, Melaka menurun

Posted: 12 Nov 2012 01:47 AM PST

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak dan Johor meningkat kepada 1,519 petang ini berbanding 1,469 orang pagi tadi.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat daripada 1,327 orang kepada 1,355 manakala di Johor meningkat kepada 138 orang berbanding 120 pagi tadi.

Di Perak, jumlahnya meningkat daripada 22 orang kepada 26 orang, sementara Melaka mencatatkan penurunan kepada 84 orang setakat 4.32 petang ini berbanding seramai 90 orang pagi tadi.

Di Selangor, sebanyak 344 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan iaitu empat di Kuala Langat, dua di Sepang dan satu di Kuala Selangor.

Di Johor, sebanyak 33 keluarga terbabit dan ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Batu Pahat manakala di Perak, enam keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Manjung dan di Melaka, 17 keluarga ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Jasin.

Menurut portal Jabatan Saliran dan Pengairan pula, paras air di dua sungai utama di Selangor iaitu Sungai Langat di Bukit Changgang dan Sungai Selangor di Kuala Badong serta sebatang sungai di Johor iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat telah melebihi paras amaran.

Jabatan itu menasihati orang ramai yang tinggal di sekitar kawasan tersebut supaya berjaga-jaga.
-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan