Isnin, 19 November 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Bunyi api memercik

Posted: 18 Nov 2012 08:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiga rumah sederet, satu daripadanya dihuni keluarga jurukamera TV3, Jebat M Roseli, 49, di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, di sini, musnah dalam kebakaran, jam 7.50 pagi semalam.

Jebat berkata, dia kerugian lebih RM30,000 selepas rumah yang didiaminya sejak 23 tahun lalu bersama isteri dan empat anaknya berusia 16 hingga 25 tahun, musnah dalam kejadian itu.


Difahamkan, kebakaran bermula daripada rumah Jebat sebelum merebak ke dua rumah bersebelahan.

Menurut Jebat, ketika kejadian dia baru tiba di pejabatnya di Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara, di sini, sebelum menerima panggilan telefon daripada anak lelakinya.


"Ketika kejadian itu, anak sulung saya tidur dan dikejutkan dengan bunyi percikan api. Sebaik keluar dari bilik dia mendengar sekali lagi bunyi percikan api dan melihat kebakaran di bahagian dapur.


"Anak saya segera keluar rumah dan memberitahu jiran. Api dipercayai merebak cepat menyebabkan mereka hanya sempat menyelamatkan diri masing-masing," katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, ketika kejadian hanya anak lelakinya itu berada di rumah kerana dia sudah ke pejabat.

"Isteri pula ke Putrajaya mengikuti seminar perniagaan bersama seorang anak kami. Dua lagi anak saya masing-masing mengikuti seminar di Gambang dan ke Kerinchi," katanya.


Katanya, keluarganya kini tinggal sementara di dewan berhampiran bersama keluarga jiran.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak, Azhar Yusof, ketika dihubungi memberitahu kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.


Katanya, pihaknya menerima panggilan jam 8.10 pagi sebelum empat jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan usaha memadamkan kebakaran dilakukan selama 30 minit.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


Ramai ‘malu’ guna jejantas

Posted: 18 Nov 2012 08:41 AM PST

KUALA LUMPUR: Sikap kebanyakan warga kota yang enggan menggunakan jejantas terutama di Jalan Pudu, di sini, bukan saja boleh mengundang bahaya, tetapi boleh mengakibatkan kemalangan terhadap pemandu kenderaan lain.

Tinjauan Harian Metro di beberapa laluan di sekitar ibu kota antaranya Jalan Pudu, Jalan Imbi dan Jalan Tun Razak mendapati masih ramai tidak menggunakan kemudahan itu sebaliknya melintas jalan yang boleh membahayakan mereka.


Lebih mengecewakan apabila ada antara mereka dilihat membimbing kanak-kanak dan mendukung bayi sebelum melintasi jalan yang dipenuhi kenderaan dipandu laju.

Warga kota, Zulhelmi Ramli, 26, berkata, orang ramai seharusnya menggunakan jejantas dengan sebaiknya bukan membuat tindakan yang boleh meragut nyawa.


"Semua orang tahu jalan dilalui banyak kenderaan dan dipandu laju. Disebabkan itu kerajaan menyediakan jejantas untuk keselamatan dan kegunaan bersama.


"Keputusan tidak menggunakan jejantas sesuatu merugikan kerana ia wang rakyat yang seharusnya dimanfaatkan bersama," katanya.

Menurut Zulhelmi, baru-baru ini, dia menyaksikan insiden dua individu yang melintas jalan di Jalan Imbi, Bukit Bintang hampir dilanggar kereta biarpun kawasan itu disediakan jejantas.


"Lebih elok menggunakan jejantas kerana bukan saja nyawa yang perlu diselamatkan, tetapi nyawa anak-anak kecil dan pemandu lain perlu diutamakan," katanya.

Kakitangan swasta, Saidin Sidin, 29, berkata, tindakan tidak menggunakan jejantas bukan perkara baru yang perlu diingatkan berulang kali, tetapi ia kesedaran masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/19


0 ulasan:

Catat Ulasan