Sabtu, 10 November 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lelaki disyaki perogol bersiri didakwa lagi

Posted: 09 Nov 2012 01:11 PM PST

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai perogol bersiri dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, sebulan selepas didakwa merogol dua wanita yang dikatakan dipanggil untuk ditemuduga olehnya di mahkamah sama.

Semalam, dia didakwa pula atas dua tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 16 tahun sebanyak dua kali dalam tempoh 20 minit, di sebuah bilik hotel di Taman Segar, Cheras di sini, jam 2.10 petang dan 2.30 petang, 15 September lalu.


Bagaimanapun, Chai Ruong Huei, 29, yang bekerja sebagai jurujual itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Kedua-dua tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.


Sementara itu, dia turut didakwa mencuri iPad milik pelajar tingkatan empat itu dengan tujuan menyebabkan ketakutan kepada mangsa di tempat dan hari sama pada jam 2.40 petang.


Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ooi Chean Ling tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, memandangkan lelaki itu sudah dituduh bagi tiga kes lain dan mempunyai kes yang masih di peringkat siasatan.


Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Yusoff Ag Lah itu bagaimanapun mohon diberikan jaminan kerana menanggung keluarganya termasuk ibu yang tidak bekerja.

Emelia kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 11 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Tambah baik khidmat

Posted: 09 Nov 2012 01:11 PM PST

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melancarkan saluran aduan pengguna serta pelekat kenderaan pengangkutan awam baru sebagai proses menambah baik mutu pengangkutan tersebut, semalam.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, saluran aduan baru yang berkuat kuasa 1 November lalu dipelbagaikan penggunaannya mengikut trend terkini bagi memudahkan orang awam membuat aduan terhadap mana-mana perkhidmatan pengangkutan awam.


"Selain talian hotline, orang ramai boleh membuat aduan menerusi e-mel, laman Twitter atau laman sesawang SPAD untuk menyemak status," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Talian Baharu dan Pelekat Kenderaan Awam SPAD di sini.

Menurut beliau, saluran berkenaan diharap membantu orang ramai membuat aduan berkaitan, sekali gus pihaknya dapat menyiasat dan mengambil tindakan setiap maklum balas bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.


"Sehingga kini, sekurang-kurangnya dua kes pengendali teksi di ibu kota dikenakan tindakan atas kesalahan mengenakan caj tidak munasabah," katanya. "Kami akan sentiasa pantau perkhidmatan yang diberikan dalam menjadikan pengangkutan awam darat pilihan utama rakyat," katanya.


Syed Hamid berkata, nombor talian aduan baru yang menggantikan nombor talian aduan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) itu akan di pamer pada setiap pelekat baru kenderaan pengangkutan awam tersebut sebelum mula dikuat kuasa 1 Jun tahun depan.

Mengulas mengenai laporan yang meletakkan pemandu teksi di ibu kota sebagai antara yang biadab di dunia, Syed Hamid berkata, hal itu dilihat sudah mencalarkan imej negara, namun ia seharusnya dijadikan satu perangsang kepada semua pemandu teksi.


"Melalui tinjauan, majoriti pemandu teksi di sini beri perkhidmatan bagus dan mungkin ada satu atau dua yang sebegitu. Saya sarankan semua pemandu teksi buktikan laporan itu tidak benar dan sentiasa beri perkhidmatan yang mesra," katanya.

Menjawab pertanyaan berhubung isu desakan sebuah pertubuhan pemandu teksi yang meminta beliau meletakkan jawatan dalam SPAD baru-baru ini, Syed Hamid berkata, ia bukan jalan penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan sebaran masalah.


"Jika mereka diberi peluang memegang jawatan saya kini, belum tentu mereka mampu selesaikan semua masalah kerana jawatan ini tidak ada kuasa sepenuhnya untuk membuat sebarang keputusan dan perlu dirujuk kepada yang lebih tinggi.


"Kami sentiasa mendengar semua permasalahan yang timbul dan mencari jalan terbaik menyelesaikannya dan saya harap mereka faham serta tidak bertindak mengikut perasaan," katanya. Sebarang maklumat berhubung pengangkutan awam darat boleh disalurkan menerusi talian 'hotline' 1-800-88-SPAD (7723), secara e-mel (aduan@spad.gov.my), laman Twitter (@aduanTwitter) atau laman sesawang (www.spad.gov.my). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan