Jumaat, 23 November 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Cedera jatuh bumbung

Posted: 22 Nov 2012 11:59 AM PST

SUNGAI BULOH: "Apabila nampak penjenayah depan mata, saya tidak fikir bahaya, sebaliknya hanya mahu tangkap mereka" kata Inspektor Saiful Bahari Yunus, 28, yang cedera terjatuh dari tingkat dua rumah teres ketika menyertai serbuan bagi menahan suspek kes curi kereta di Subang Perdana, Kampung Baru Subang, dekat sini, Selasa lalu.

Saiful yang bertugas di Unit Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini, kerana patah tangan kiri dan tulang pipi kiri.


Menurutnya, ketika serbuan jam 5.40 petang itu, beliau bersama beberapa pegawai dan anggota lain menyerbu rumah teres di Subang Perdana itu bagi menahan sembilan suspek kes curi kereta.

"Saya nampak dua suspek memanjat bumbung untuk melarikan diri. Saya dan seorang lagi anggota turut memanjat bumbung itu untuk mengejar mereka dan menahan dua lelaki terbabit.


"Namun, tiba-tiba atap genting tempat saya berdiri pecah menyebabkan saya terjatuh dan tidak sedarkan diri," katanya yang ditemui di HSB ketika menerima lawatan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, semalam.


Lebih menyedihkan, isterinya, Nor Hazwani Abdul Halim, 29, tidak dapat melawat atau menjaganya di hospital kerana berpantang anak kedua mereka di Ipoh, Perak.

Saiful yang sudah tujuh tahun berkhidmat berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus membanteras jenayah.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam, berkata, sebelum kejadian seorang penyelia berusia 46 tahun disamun empat lelaki bersenjata parang di Bukit Puchong.

"Dalam kejadian jam 4.50 petang di depan pasar raya Tesco Bukit Puchong, suspek yang menaiki Honda Civic mengacukan parang ke arah mangsa dan mengarahkannya serta dua saksi kejadian, mendiamkan diri. "Mereka melarikan kereta mangsa jenis Toyota Hilux bernilai RM102,000. Mangsa membuat laporan polis dan satu gerakan mengesan suspek dilakukan," katanya.


Sepasukan polis termasuk Saiful mengesan suspek dan mereka menyerbu rumah teres disyaki dihuni kumpulan terbabit.


"Hasil serbuan, sembilan lelaki berusia 18 hingga 30 tahun termasuk dua suspek yang cuba meloloskan diri ditahan. Polis merampas tujuh kenderaan iaitu dua Toyota Hilux, dua Proton Wira, Proton Satria, Proton Saga dan Honda Civic.


"Turut dirampas tiga parang disyaki digunakan bagi melakukan jenayah manakala semakan mendapati semua kereta dilaporkan dicuri di Selangor dan Pulau Pinang," katanya.


Mohd Adnan berkata, semua suspek yang aktif mencuri kereta lebih setahun lalu, kini direman sehingga 23 November ini mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



2,020 ibu tunggal saman RM10.9 juta

Posted: 22 Nov 2012 11:56 AM PST

SHAH ALAM: Seramai 2,020 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman berjumlah RM10.9 juta terhadap kerajaan Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana gagal memberikan elaun ibu tunggal seperti dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12.

Saman itu difailkan di kaunter pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, jam 9.20 pagi semalam, melalui Tetuan Kamarudin & Partners melalui peguam Kamarudin Ahmad.


Kira-kira 50 wakil ibu tunggal hadir di kompleks mahkamah di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika saman berkenaan difailkan sebagai tanda sokongan terhadap saman difailkan.

Dalam pernyataan tuntutan yang diketuai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman mendakwa kerajaan Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat dalam manifestonya akan memberi elaun, tetapi tidak menunaikan janji berkenaan.


Negeri Selangor dan Abdul Khalid yang dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua, didapati gagal membayar elaun ibu tunggal RM100 seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) selama 54 bulan bermula 1 April 2008 hingga 30 Oktober 2012 kepada semua plaintif dengan jumlah keseluruhan RM10,908,000.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/23



0 ulasan:

Catat Ulasan