Selasa, 20 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Penjawat awam penyumbang kepada kejayaan Malaysia: TPM

Posted: 20 Nov 2012 03:25 AM PST

KOTA KINABALU: Malaysia mengecapi pelbagai pencapaian sama ada di dalam negara mahupun di peringkat global berikutan kerjasama mantap penjawat awam, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penjawat awam menjadi komponen penting dalam menentukan wawasan dan perancangan sosioekonomi negara mengikut matlamat serta sasaran yang ditetapkan.

Katanya, penjawat awam merupakan faktor penting dalam memberi nasihat, merancang dan melaksanakan matlamat pembangunan yang dibentuk.

"Walaupun dipisah daripada kepimpinan politik dari segi organisasi, pegawai-pegawai awam perlu berpegang kepada prinsip dan matlamat yang sama dengan kepimpinan semasa," katanya pada majlis perjumpaan bersama anggota perkhidmatan awam Sabah di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Malaysia tidak mungkin mencapai tahap pembangunan sekarang jika negara tidak cekap menjana persekitaran perniagaan yang kondusif dan cekap cara berdagang dalam pasaran dunia yang semakin kompetitif.

Negara, katanya berjaya meningkatkan pelaburan sektor swasta kepada RM94 bilion tahun lepas atau 19.4 peratus daripada tahun sebelumnya dan pelaburan asing yang turut meningkat kepada RM32.9 bilion tahun lepas atau 12.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau juga berkata kemajuan Program Transformasi Ekonomi tahun lepas berjaya melancarkan 110 projek dengan potensi pelaburan RM179.2 bilion.
Di peringkat global pula, Muhyiddin berkata, Malaysia membuktikan kemampuan dalam meningkatkan aliran pelaburan masuk dan mendapat pengiktirafan Bank Dunia sebagai negara di tempat ke-12 dalam amalan perniagaan terbaik, mengatasi negara maju seperti Sweden, Taiwan, Jerman, Jepun dan Switzerland.

Di samping itu, beliau berkata, Laporan Persaingan Global menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua terbaik di kalangan negara Asean dan keenam di Asia Pasifik.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, Muhyiddin berharap penjawat awam terus melaksanakan peranan masing-masing dalam menerangkan isu semasa yang sebenar mengenai kerajaan, terutamanya isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. - BERNAMA

Saham KL ditutup bercampur-campur, Indeks Komposit naik 0.89 mata

Posted: 20 Nov 2012 02:54 AM PST

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia berakhir bercampur-campur dalam dagangan berhati-hati hari ini dengan pembelian saat akhir, terutamanya dalam saham kewangan dan industri serta saham berwajaran tinggi terpilih, membantu menaikkan Indeks Komposit ke kawasan positif, kata seorang peniaga.

Pada akhir dagangan, kadar pendasar Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.89 mata untuk ditutup pada 1,624.20.

Seorang peniaga berkata, pasaran bergerak antara keuntungan dan kerugian dengan kebanyakan pelabur menanti petunjuk lebih jelas tentang isu jurang fiskal AS serta kebimbangan yang muncul semula tentang pembangunan ekonomi di Eropah.

Mereka berkata bursa tempatan juga menjejaki trend bercampur-campur serantau selepas Moody's menurunkan penarafan Perancis kepada Aa1 daripada Aaa dan mengekalkan unjuran negatif, menambah kepada kebimbangan tentang beban hutan Eropah.

Pasaran dilihat negatif dengan kaunter rugi melebihi kaunter untung sebanyak 358 kepada 298, sementara 362 kaunter tidak berubah, 630 tidak didagangkan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 1.02 bilion saham bernilai RM1.69 bilion daripada 848.81 juta saham bernilai RM1.112 bilion pada Isnin.

Indeks Kewangan naik 20.06 mata kepada 15,017.38 dan Indeks Perusahaan naik 1.1 mata kepada 2,785.02, sementara Indeks Perladangan susut 28.17 mata kepada 7,940.63.
Indeks FBM Ace susut 11.04 mata kepada 4,236.64 dan Indeks FBM Emas meningkat 4.78 mata kepada 11,096.98, dengan FBMT100 naik 5.24 mata kepada 10,933.35. Indeks FBM Mid 70 naik 2.36 mata kepada 12,237.20.

Di kalangan saham aktif, KNM Group-Wa naik 9.5 sen kepada 10 sen, Karambunai Corp kerugian 2.5 sen kepada 14 sen dan KNM Group susut 1.5 sen kepada 48 sen.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank bertambah satu sen kepada RM9.04, Sime Darby tidak berubah pada RM9.53 dan CIMB meningkat empat sen kepada RM7.67.

Volum pada Pasaran Utama naik kepada 840.75 juta unit bernilai RM1.67 bilion daripada 657.242 juta unit bernilai RM1.08 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan pada pasaran ACE jatuh kepada 86.18 juta saham bernilai RM17.57 juta daripada 100.02 juta saham bernilai RM18.71 juta sebelum ini.

Waran naik kepada 90.41 juta unit bernilai RM4.94 juta daripada 87.69 juta unit bernilai RM5.38 juta sebelum ini.

Barangan pengguna mewakili 58.33 juta saham pada Pasaran Utama, produk perusahaan 246.15 juta, pembinaan 29.85 juta, dagangan dan perkhidmatan 281.85 juta, teknologi 31.54 juta, prasarana 27.52 juta, kewangan 49.37 juta, hotel 3.81 juta, harta 90.03 juta, perladangan 17.97 juta, perlombongan 57,000, REIT 4.26 juta dan dana tertutup 38,000. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan