Khamis, 29 November 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Rampas jersi tiruan Harimau Malaya, Garuda

Posted: 28 Nov 2012 11:58 PM PST

KUALA LUMPUR: Sindiket jersi tiruan pasukan Harimau Malaya dan Garuda tidak sempat mengaut keuntungan apabila kegiatan mereka dibanteras Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur di sebuah premis, di Gombak dekat sini, semalam.

Difahamkan 3,480 helai jersi itu yang dianggarkan bernilai RM73,080, akan dijual semasa perlawanan antara pasukan Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Jersi itu akan dijual dengan harga RM35 sehelai berbanding jersi tulen yang berharga RM140 sehelai.

Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Abu Samah Shabudin berkata jersi itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk dijual dalam pasaran tempatan.


"Saya ingin mengingatkan semua penyokong Harimau Malaya supaya tidak membeli barang-barang tiruan kerana ini boleh merugikan industri tekstil," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Jalan depan Plaza Bukit Bintang ditutup 4 tahun

Posted: 28 Nov 2012 11:56 PM PST

KUALA LUMPUR: Laluan kenderaan di Jalan Bulan di hadapan Plaza Bukit Bintang akan ditutup selama empat tahun untuk projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) mulai Sabtu ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corporation Sdn Bhd, Amir Mahmood Razak, berkata berikutan itu orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Bulan 1, Lorong Bintang atau melalui Jalan Imbi.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan stesen itu adalah sebahagian daripada laluan bawah tanah di kawasan bandar raya yang sibuk.

"Oleh itu, kawasan kerja yang sesuai adalah terhad.


Kawasan kerja perlu berada dekat dengan tapak stesen atas sebab-sebab logistik dan keselamatan binaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Amir Mahmood berkata, pihaknya telah berbincang dengan pihak berkuasa berkaitan penutupan laluan itu dan papan tanda trafik akan diletakkan untuk membantu pengguna jalan raya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengaktifkan pelan komunikasi dan notis awam bagi memaklumkan kepada semua penyewa pusat membeli-belah, hotel, tempat letak kereta, kedai runcit dan outlet berhampiran tentang laluan alternatif untuk ke tempat letak kereta.

"Kami bekerja rapat dengan Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu (ITIS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pihak berkuasa lain untuk menyebarkan maklumat trafik melalui Sistem Pesanan Maklumat Berubah (VMS)," katanya.

Amir Mahmood turut menasihatkan para pemandu supaya berjaga-jaga dengan kerja-kerja yang dijalankan di kawasan tersebut dan mengikut arahan papan tanda untuk melalui Jalan Bulan.

Orang ramai yang ingin mendapat maklumt trafik MRT terkini boleh melayari laman web MRT di www.mymrt.com.my atau maklumat kerja-kerja bawah tanah di www.mymrt-underground.com.my serta twitter di @MRTMalaysia atau @MyMRT Undergroud atau terus menghubungi Hotline MRT di 1-800-82-6868.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Tiada ulasan:

Catat Ulasan