Khamis, 22 November 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Kementerian kesihatan perluas kawasan bebas asap rokok

Posted: 22 Nov 2012 12:33 AM PST

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan memperluaskan kawasan bebas asap rokok ke beberapa negeri dalam usaha melindungi orang awam daripada terdedah kepada asap rokok basi khususnya di kawasan tumpuan awam.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata usaha itu dapat dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri melalui permohonan yang dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berkaitan.

Beliau berkata kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri sudah mewujudkan zon bebas asap rokok dan Menteri Kesihatan telah mewartakan enam kawasan bebas rokok di Pulau Pinang, satu di Johor dan lima di Melaka pada tahun 2011.

"Sehingga kini terdapat 12 kawasan bebas merokok diwartakan kerajaan negeri terbabit," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) di Dewan Rakyat, hari ini.


Noraini ingin tahu mengenai langkah inovatif kementerian untuk meningkatkan kesedaran bahaya rokok di kalangan remaja serta kawasan larang merokok mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.


Menurut Rosnah, kementerian akan meneruskan usaha melaksanakan sepenuhnya peruntukan lain di bawah Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-FCTC) seperti memperluaskannya di tempat dilarang merokok.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga akan mewujudkan lebih banyak kawasan bebas asap rokok di peringkat negeri, mengawal kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok dan meningkatkan penguatkuasaan bagi mengawal rokok tidak sah.

Katanya kementerian telah mewartakan sebanyak 21 kategori tempat awam sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Antara kawasan yang diwartakan termasuk pusat hiburan atau teater, di mana-mana kawasan hospital dan klinik, dalam lif, tandas awam, tempat makan atau kedai makan hawa dingin, kenderaan awam dan bangunan dinyatakan oleh menteri.

"Kawasan warta larangan merokok lain adalah mana-mana kawasan lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pengajian tinggi, taman asuhan, bas sekolah, kaunter bank, kawasan keagamaan, perpustakaan, kafe internet dan tempat kerja berhawa dingin," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Malaysia berisiko hadapi gempa bumi sederhana, rendah

Posted: 22 Nov 2012 12:30 AM PST

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa Sabah dan Sarawak berisiko menghadapi gempa bumi sederhana manakala Semenanjung Malaysia pula berisiko menghadapi gempa bumi rendah.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata perkara itu berdasarkan Kajian Risiko dan Bahaya Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia yang telah dilaksanakan dan disiapkan pada 2009 oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang dikumpulkan, sejak Sept-Nov tahun ini, beberapa gegaran lemah kurang daripada magnitud 4, dirasai di Beluran, Kota Marudu, Kudat dan Tambunan di Sabah.

"Ini menunjukkan di Malaysia berlaku gempa bumi tapi pada kadar yang sederhana dan rendah," kataya ketika menjawab soalan Ir Hamim Samuri (BN-Ledang) yang ingin mengetahui kajian terbaru yang dilakukan berkaitan risiko kejadian gempa bumi di Malaysia.


Kajian Risiko dan Bahaya Gempa Bumi dan Tsunami di Malaysia dibiayai dengan peruntukan sebanyak RM3.378 juta melibatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JGM), Universiti Putra Malaysia (UPM, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).


Fadillah berkata melalui inisiatif JMM, sebanyak 25 'Strong Motion Sensor' dipasang di seluruh Malaysia termasuk 10 di Lembah Klang di samping 17 unit 'Weak Motion Sensor' bagi memantau segala kejadian gempa bumi.

"Pada 2014, kita mengharapkan akan dapat memasang 20 lagi termasuk membekalkan pemasangan di Sarawak. Dengan adanya peralatan ini, kita harap dapat memantau keseluruhan berlakunya gerak gempa bumi di semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak," katanya.

Fadillah berkata lima kumpulan telah diwujudkan terdiri daripada anggota dalam bidang kepakaran masing-masing dengan kerjasama agensi berkaitan antaranya kumpulan kerja pemantauan gempa bumi dan sesar aktif dan kumpulan kerja membangunkan kod reka bentuk bangunan.

Sementara itu, beliau berkata beberapa syor serta pelan tindakan telah digariskan dalam menghadapi kemungkinan risiko gempa bumi, antaranya memasang peralatan seperti 'Global Positioning System' (GPS) dan 'seismic sensors' di sepanjang sesar-sesar aktif dan mempertimbangkan penggunaan 'seismic natural rubber bearings' yang telah hasilkan oleh Institut Getah Malaysia dalam membina projek prasarana penting terutama di zon berisiko tinggi terhadap gempa bumi. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Tiada ulasan:

Catat Ulasan