Sabtu, 10 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Peralatan sekolah Kafa rosak

Posted: 09 Nov 2012 12:45 PM PST

KUALA LANGAT: Kejadian banjir di beberapa kawasan di sini turut menjejaskan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang yang menyebabkan murid terpaksa diberi cuti lebih awal manakala banyak peralatan sekolah rosak.

Ketua Guru Kafa berkenaan, Aniz Yushaily Abrar berkata, banjir kali ini disifatkan paling buruk kerana mencapai paras pinggang, sedangkan dalam kejadian empat tahun lalu air hanya naik setakat paras buku lali dan tidak memberikan masalah.


"Banyak juga yang rosak antaranya buku, rak, meja dan pintu kelas. Semua yang rosak tidak boleh digunakan kerana sudah kembang akibat ditenggelami air, malah kami terpaksa mencabut pintu kelas dan ditukarkan dengan pintu baru.

"Pihak sekolah juga terpaksa memberi cuti lebih awal kepada murid sejak Isnin lalu berikutan faktor keselamatan," katanya.


Aniz Yushaily berkata, pihaknya bernasib baik kerana kejadian itu tidak membabitkan pejabat guru yang menyimpan barangan penting pembelajaran dan pengajaran murid.


"Kami bersyukur kerana pejabat guru tidak terbabit. Ia hanya membabitkan surau, bahagian bawah tiga bangunan kelas, kantin serta bangunan baru yang masih belum digunakan.

"Malah, hari ini (semalam) air mulai surut, pihak kami mengambil kesempatan membersihkan bilik darjah dan kawasan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


28 lagi dikenal pasti untuk disita

Posted: 09 Nov 2012 12:43 PM PST

KUALA LUMPUR: Segelintir penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) dikesan menyewakan rumah dihuni kepada warga asing untuk tujuan mengaut untung.

Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sukiman Surahman berkata, tindakan penyewa itu menyalahi perjanjian di antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penyewa yang sepatutnya mendiaminya sendiri.


"Perbuatan ini adalah lebih serius apabila menyewakan kediaman milik DBKL kepada warga asing berbanding disewakan pada warga tempatan. Beberapa unit sudah disita sebelum ini dan proses menyita ini diteruskan dari masa ke semasa," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, sebanyak 30 unit disita dalam operasi DBKL yang dijalankan selama tiga bulan sejak Ogos lalu. Proses menyita dibuat serta-merta dan dilakukan pada waktu malam.


"Biasanya warga asing berada di rumah pada waktu malam. Jadi, operasi dilakukan jam 11 malam ke atas untuk mengesan rumah DBKL yang disewakan pada mereka," katanya.


Sukiman berkata, DBKL sudah mengenal pasti 28 unit lagi yang disewakan kepada warga asing dan operasi penyitaan akan dijalankan dalam masa terdekat. Beliau mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai tindakan DBKL membatalkan perjanjian dengan 50 penyewa kerana menyewakan rumah pada orang lain.

Dalam laporan itu, seramai 450 penyewa akan dikenakan tindakan undang-undang menerusi notis 30 hari yang dihantar sebelum kediaman terbabit disita dalam tempoh 14 hari.


"Mengikut perjanjian, mereka (penyewa) perlu kosongkan rumah dalam tempoh 30 hari sebelum ia disita. DBKL turut mengenal pasti banyak rumah kosong selepas tindakan ini dilakukan," katanya.

"Penyewa yang diambil tindakan boleh mengemukakan rayuan bergantung pada alasan yang diberikan. Sepatutnya, penyewa mengisi borang di pejabat kecil DBKL untuk memaklumkan kekosongan itu jika ia ditinggalkan lebih seminggu sehingga menjangkau tiga bulan," katanya.


Mengikut perjanjian, DBKL boleh mengambil tindakan undang-undang merampas rumah jika penyewa tidak membayar sewa manakala jika menyewakan pada orang lain, denda sebanyak RM2,000 atau penjara selama enam bulan boleh disabitkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan