Berita Harian: Mutakhir |
Pengguna boleh tebus rugi meskipun ada notis `Pertukaran tidak dibenarkan' Posted: 09 Nov 2012 03:28 AM PST PUTRAJAYA: Pengguna berhak untuk mendapatkan tebus rugi terhadap barangan atau perkhidmatan termasuk di premis perniagaan yang mempamerkan notis 'Pertukaran Tidak Dibenarkan' atau 'Tiada Pemulangan' jika barang yang diperoleh tidak memenuhi jaminan sepatutnya. Antara jaminan yang perlu ada ialah mematuhi aspek kualiti, menepati ciri-ciri yang digambarkan dan mampu berfungsi dengan baik.
"Malah peniaga yang meletakkan notis itu juga adalah tidak beretika kerana ia seolah menafikan hak tebus rugi pengguna dan peniaga tidak sepatutnya meletakkan notis sedemikian," katanya pada sidang akhbar mengenai Garis Panduan Pelaksanaan Tebus Rugi Pengguna di sini hari ini. Akta Perlindungan Pengguna 1999 telah memperuntukkan kepada pengguna mengenai hak tebus rugi. Beliau berkata, memandangkan kesedaran mengenai tebus rugi di kalangan pembekal, pengilang mahupun pengguna masih kurang, kementerian mengeluarkan garis panduan itu yang antara lain bertujuan memperjelas hak dan tanggungjawab pembekal, pengilang dan pengguna dalam pelaksanaan tebus rugi. "Hak mendapat tebus rugi bermaksud hak mendapatkan penyelesaian tuntutan atau menerima pampasan bagi barang atau pekhidmatan yang tidak memenuhi jaminan yang dinamakan Gerenti Tersirat dan Gerenti Nyata," katanya.
Bagaimapun hak untuk mendapatkan tebus rugi adalah tertakluk kepada syarat seperti melaporkan kerosakan barang atau kegagalan perkhidmatan kepada pembekal atau pengilang dalam tempoh masa yang munasabah. Pengguna juga perlu menyimpan resit atau bukti pembelian, menyimpan waranti, berhenti menggunakan barang yang rosak itu sehingga ia dapat dikembalikan kepada pembekal atau pengilang. Sekiranya peniaga atau penjual masih enggan mematuhi permintaan pengguna yang mempunyai alasan kukuh dan munasabah, pengguna boleh mengambil tindakan menerusi Tribunal Pengguna, katanya. - BERNAMA |
Lawatan Muhyiddin kukuh kerjasama Malaysia-Australia Posted: 09 Nov 2012 03:16 AM PST MELBOURNE: Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Australia akan mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia, Datuk Salman Ahmad, berkata lawatan itu penting kerana hubungan perdagangan antara kedua-dua negara bernilai kira-kira RM36 bilion (USD12 bilion) setahun.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dijadual tiba malam esok dan mula bertemu kumpulan profesional dan pelajar Malaysia Ahad ini. "Melbourne dalam negeri Victoria adalah antara tumpuan rakyat Malaysia kerana ada kira-kira 40,000 rakyat negara kita bekerja di sini. "Hampir 9,000 pelajar Malaysia pula melanjutkan pengajian di beberapa universiti seperti Monash University, Swinburne University dan Melbourne University," katanya di sini, hari ini. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan