Selasa, 20 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terduduk lihat kedai hangus

Posted: 19 Nov 2012 08:59 AM PST

SUBANG JAYA: Seorang peniaga kedai runcit terduduk longlai apabila kedai yang diwarisi daripada mendiang datuknya, musnah dalam kebakaran bersama empat lot premis lain di Batu 12, Puchong, di sini, kelmarin.

Pemilik tiga daripada lima lot premis itu, Lim Lee Kwan, 49 berkata, dia mengetahui kebakaran terbabit apabila dimaklumkan rakannya yang melalui kawasan berkenaan jam 9.30 malam.


"Ketika itu saya makan malam bersama keluarga di sebuah restoran di Puchong Perdana, dekat sini dan bergegas ke sini (tempat kejadian). Apabila sampai, saya dapati tiga premis milik saya sudah musnah terbakar.

"Saya anggarkan kerugian RM100,000 termasuk sebuah lori yang musnah," katanya.


Lim yang turut tinggal di lot kedai berkenaan bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian, dia tidak berada di situ.


Pemilik kedai makan, J Periasamy, 66, berkata, sudah seminggu dia tidak menjalankan perniagaan kerana menyambut Deepavali.

"Saya rugi RM30,000 dan kini hilang punca pendapatan akibat kejadian inu," katanya.


Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Puchong Haswan Mohd Wasir ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.55 malam.

Katanya, tiga jentera dengan kekuatan 18 anggota dari balai Puchong, Subang Jaya dan Seksyen 7 Petaling Jaya mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke premis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


‘Terlupa’ tanda harga

Posted: 19 Nov 2012 08:59 AM PST

KUALA LUMPUR: Terlupa. Antara alasan 62 peniaga yang dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga khas merah jambu sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2012 yang dilaksanakan bermula 8 hingga 17 November lalu.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayuddin berkata, mereka tidak mematuhi peraturan iaitu menjual melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dan tidak meletakkan tanda harga.


Katanya, peniaga sengaja memberikan alasan seperti itu kerana mahu meletakkan harga sendiri kepada pengguna selain mahu mengaut keuntungan segera.

Menurutnya, sepanjang 10 hari skim itu dilaksanakan, 53,646 pemeriksaan dilakukan membabitkan pemborong dan peruncit di seluruh Malaysia.


Katanya, KPDNKK mengeluarkan kompaun RM8,049 selain merampas barang jualan mereka bernilai RM7,540.


"Antara kesalahan yang paling banyak dilakukan peniaga ialah tidak meletakkan tanda harga merah jambu iaitu 46 kes.

"Selain itu, 15 kes membabitkan tidak mempamerkan harga pada barangan kawalan manakala satu kes ialah menaikkan harga barang kawalan melebihi harga siling ditetapkan kerajaan," katanya Mohd Roslan berkata, Selangor dan Lembah Klang mencatatkan kes tertinggi peniaga yang ingkar iaitu masing-masing dengan 20 dan 24 kes.


Katanya, sepanjang tempoh berkenaan juga, pihaknya menerima dua aduan ketidakpuasan daripada orang ramai terhadap peniaga yang tidak mematuhi skim itu.

Menurutnya, peniaga yang melakukan kesalahan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau kompaun tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/20


Tiada ulasan:

Catat Ulasan