Khamis, 29 November 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Cekup 2 lelaki sedut diesel

Posted: 28 Nov 2012 02:33 PM PST

PUTRAJAYA: Sepasukan penguat kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) cawangan Sepang menggagalkan penyelewengan 6,000 liter diesel bersubsidi selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori 10 tan di sebuah stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Cawangan PDNKK Sepang, Abdul Wahab Satar berkata, dalam operasi pemantauan pada jam 11 malam itu penguat kuasa mendapati diesel bersubsidi dimuatkan di dalam sebuah tangki besar yang diubah suai pada lori terbabit.


"Pemeriksaan itu dilakukan selepas penguat kuasa melihat dua lelaki dengan sebuah lori di stesen minyak Bandar Baru Salak Tinggi dalam keadaan mencurigakan. "Ketika itu, dua lelaki terbabit sudah mengisi diesel RM500 di stesen minyak berkenaan. Diesel dipam masuk dalam tangki, kemudian disedut menggunakan alat pengepam ke dalam tangki diubah suai. Tangki itu dipercayai boleh menampung sehingga 8,000 liter diesel," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam. Abdul Wahab berkata, lori dan diesel itu yang dianggarkan bernilai RM57,000 disita manakala dua lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1976 iaitu memiliki barangan kawalan (diesel bersubsidi) dengan tujuan melakukan kesalahan. Menurutnya, jika didapati bersalah suspek boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

"Tetapi, jika kesalahan kedua, dendanya sehingga RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.


Mengulas modus operandi pihak terbabit, katanya, mereka bergerak dari satu stesen ke stesen minyak lain menggunakan lori diubah suai untuk membuat pembelian diesel dalam kuantiti banyak pada harga subsidi RM1.80 seliter.


"Diesel dikumpulkan sebelum dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM2 hingga RM2.50 seliter," katanya. Sementara itu, katanya, sepanjang 11 bulan tahun ini pihaknya sudah menahan empat lori diubah suai atas kesalahan dan modus operandi sama dengan nilai rampasan berjumlah RM115, 000.

"Penyelewengan seperti ini memberi keuntungan lumayan kepada pihak terbabit dan satu kerugian besar kepada kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



‘Turun padang sahkan kenyataan’

Posted: 28 Nov 2012 02:30 PM PST

CHERAS: Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (LKPJM) mencabar Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu 'turun padang' bagi mengesahkan kenyataan dikeluarkannya ketika Sidang DUN Selangor yang mendakwa pihaknya membekukan pengeluaran lesen bagi rumah urut, pusat hiburan awam dan pusat siber di negeri itu sejak 2006.

Presidennya, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, dalam pemantauan dibuat LKPJM di sekitar Selangor, pihaknya mendapati pusat hiburan dan rumah urut bagaikan tumbuh seperti cendawan selepas hujan dan berdasarkan maklumat yang mereka peroleh menunjukkan kebanyakan mempunyai lesen yang diluluskan selepas 2008.


"LKPJM bukan pertubuhan politik, sebaliknya lebih kepada penggerak kepada kesedaran mengenai jenayah, oleh itu dakwaan Ronnie mengatakan tiada sebarang lesen pusat hiburan dan rumah urut dikeluarkan sejak 2006 itu amat bercanggah dengan realiti di negeri ini (Selangor).

"Hasil pemantauan kami, terdapat kawasan yang baru dibangunkan mempunyai lebih 10 premis pusat hiburan, rumah urut dan kafe siber, sekiranya tiada kelulusan diberikan, bagaimana pengusaha berani menjalankan perniagaan mereka secara terbuka?," katanya ketika sidang media di Pejabat Jabatan Presiden di Pusat Perniagaan Cheras, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/29



Tiada ulasan:

Catat Ulasan