Khamis, 22 November 2012

Harian Metro: Setempat

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Harian Metro: Setempat


Bantu kurang kesesakan

Posted: 21 Nov 2012 06:58 PM PST

KUALA LUMPUR: Pembukaan persimpangan bertingkat di Jalan Tun Razak menghubungkan Jalan Pudu, Jalan Cheras dan Jalan Chan Sow Lin dijangka dapat mengurangkan 40 peratus kesesakan di kawasan itu.

Persimpangan bertingkat dengan kos pembinaan bernilai RM60 juta itu yang mula dibina pada 19 April 2007 mengalami beberapa masalah sehingga berlaku kelewatan daripada tarikh asal sepatutnya disiapkan iaitu pada 18 Ogos 2009.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, walaupun berlaku sedikit kelewatan namun atas kesungguhan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta syarikat System Engineering dan Construction Sdn Bhd, ia berjaya disiapkan pada 14 September lalu.

Menurutnya, kelewatan itu disebabkan kelulusan yang perlu diperoleh daripada pihak Smart kerana ia dibina di atas terowong Smart, masalah pengalihan kemudahan utiliti seperti kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Syarikat Telekomunikasi serta pengalihan paip air Syabas.


Katanya, dengan pembukaan secara rasmi persimpangan bertingkat itu akan membawa banyak kemudahan kepada pengguna dan menjadikan jajaran sistem aliran trafik lebih kemas serta tersusun.


"Kenderaan yang melalui Jalan Cheras sudah mencapai tahap maksimum sehingga diberi jolokan 'Cheras Crawl'. Pembinaan jejambat ini meyakinkan kita dapat mengurangkan kesesakan dan seterusnya memudahkan pengguna jalan raya," katanya selepas Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat itu, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


Asrama budak pintar

Posted: 21 Nov 2012 06:56 PM PST

BANTING: Program Permata Negara (Permata) bercadang membina sekolah menengah berasrama penuh untuk peserta Program Permata Insan di kawasan kampus Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Nilai, Negeri Sembilan, di sini.

Penaung Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, pada dasarnya cadangan berkenaan sudah diluluskan Jabatan Perdana Menteri (JPM), namun peruntukan untuk membina sekolah asrama berkenaan belum diputuskan.


Rosmah berkata, sekolah itu kelak mampu menampung 250 pelajar dan perancangan membabitkan spesifikasi serta reka bentuk bangunan sedang giat dijalankan supaya jumlah dana yang diperlukan untuk pembinaannya dapat dikenal pasti.

"Kita amat berharap melalui sekolah ini nanti, pelajar program Permata mampu dididik berterusan di samping mempunyai sebuah lokasi institusi pendidikan khas untuk mereka belajar.


"Berdasarkan perbincangan, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bersetuju menyalurkan dana, namun ia harus menepati keperluan sekolah iaitu membabitkan pembinaan dan keperluan pembelajaran di situ nanti," katanya yang ditemui di Sekolah Menengah Sains Banting, di sini, semalam.


Rosmah menghadiri program Lawatan Kerja ke Program Kem Permata Insan 2012, 'Menjana Cendiakawan Islam' yang turut dihadiri Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Muhamad Muda.

Program Permata Insan adalah program naungan Akademi Permata Insan Usim bagi melahirkan kanak-kanak pintar yang mampu menjadi individu yang bukan hanya lengkap dengan ilmu profesional, tetapi juga ilmu agama.


Sementara itu, Penyelaras Program Permata Insan, Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Usim berkata, pihaknya memerlukan kira-kira setahun untuk merancang akademik di sekolah berkenaan.

Mohd Rushdan berkata, sekolah asrama berkenaan itu akan siap sepenuhnya menjelang dua tahun akan datang dan tenaga pengajar di situ nanti akan membabitkan pensyarah di universiti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/22


0 ulasan:

Catat Ulasan