Khamis, 15 November 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Liberalisme perosak akidah

Posted: 15 Nov 2012 05:01 PM PST

Putrajaya: Umat Islam diingatkan tidak membenarkan fahaman liberalisme menular dalam masyarakat hingga boleh menimbulkan kemudaratan dan keruntuhan akidah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata contohnya perkembangan dan isu hangat terkini... ayat laa ikraaha fiddin (al-Baqarah:256) diterjemahkan sebagai tiada paksaan dalam agama.

"Ini bererti bahawa anak orang Islam yang lahir Islam pun boleh bertukar agama. Ini menimbulkan kekeliruan.

"Ini boleh menimbulkan kekeliruan akidah yang amat serius dalam masyarakat kita yang mesti diperbetulkan," katanya berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Hadir sama, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Najib berkata, umat Islam wajar mencontohi sifat kaum Muhajirin dan Ansar yang dibimbing Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah dalam memupuk perpaduan dan memperkukuhkan persaudaraan ummah.

Kejayaan terbesar daripada hijrah adalah perpaduan tulen kaum Ansar dan Muhajirin. Perpaduan ini bukanlah satu yang mudah tetapi tidak mustahil berlaku (kerana) sudah dibuktikan dalam peristiwa hijrah.
Perpaduan memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan semangat penerimaan yang mendalam malah Muhajirin dan Ansar sentiasa mencari titik persamaan dan bukan perbezaan, katanya.

Beliau berkata, apa yang mereka cari adalah kebaikan bukan keburukan, kesempurnaan bukan kecacatan, sentiasa meraikan, memuji, menasihati dan menegur jauh sekali meminggir, mencela, memaki, menghina atau mencerca.

Dalam konteks Malaysia, katanya, hijrah membawa maksud transformasi pemikiran, sikap, amal peribadi dan pentadbiran yang lebih cekap dan berkesan.

Katanya, dalam melaksanakan transformasi, lima kriteria perlu diikuti iaitu menjadikan Rasulullah SAW sebagai model dan ikutan, terpandu kepada prinsip wasatiyyah atau seimbang, dilaksanakan secara inklusif atau keterangkuman, bersifat dinamik dan stabil serta memberikan pemahaman yang jelas tanpa mengira perbezaan bangsa dan agama.

Sementara itu, pada tengah hari, Perdana Menteri hadir pada majlis perkahwinan anak lelaki sulung Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7, TV8 dan TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail di Putra Heights dekat Subang Jaya.

Beliau yang ditemani anak lelakinya, Nor Ashman, tiba di rumah pengantin jam 12.10 tengah hari bagi meraikan pasangan mempelai Khaleeq Shahzada, 25, dan isterinya, Hazwani Mohd Mokhtazar, 25.

Tegur pemimpin agungkan Syiah

Posted: 15 Nov 2012 04:57 PM PST

Kota Bharu: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) digesa menegur segelintir pimpinan tertinggi parti itu yang dilihat cenderung dan terarah kepada fahaman Syiah.

Perwakilan Pemuda PAS Melaka, Abdul Wahab Mohd Jawi, berkata kecenderungan itu dapat dilihat melalui artikel serta ucapan segelintir pemimpin yang mengagungkan pemimpin Syiah dan Iran.

Selain pemimpin utama PAS, beliau juga menegur media rasmi parti itu, Harakah, supaya lebih peka dan sensitif serta tidak mengeluarkan artikel yang berkaitan dengan fahaman Syiah.

"DPPP perlu menegur kepemimpinan tertinggi supaya jaga tindak-tanduk dan tutur kata supaya jangan terjerumus dengan fahaman Syiah. Saya tidak tuduh pimpinan mengamalkan ajaran Syiah.

"Tapi segelintir pimpinan suka memberi artikel atau ucapan yang mengagungkan pimpinan Syiah dan Iran. Ini akan menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan ahli serta masyarakat.

"Begitu juga dengan lidah rasmi PAS iaitu Harakah, jangan ada sokongan pada Iran, Syiah dan Hizbullah ini penting bagi menjauhkan PAS daripada fitnah," katanya membahaskan ucapan dasar Ketua DPPP, Nasrudin Hassan, semalam.

Perwakilan Pemuda PAS Johor, Mohd Faizul Mohd Salleh, pula mengkritik ucapan dasar Nasrudin dan menyifatkannya sebagai ucapan kosong tanpa sebarang gagasan idea baru seperti diharapkan golongan muda.
"Tidak ada perkara baru dalam ucapan Ketua Pemuda, yang ada hanyalah sorotan sejarah dan bacaan semula analisis ekonomi. Tiada satu perkara baru menyentuh anak muda dahagakan perubahan.

"Begitu juga pemuda yang sentiasa bertindak sebagai ejen pendesak kerajaan, namun dalam ucapan Ketua Pemuda tiada teguran ataupun nasihat dilemparkan terhadap kerajaan pakatan," katanya membahas ucapan dasar Ketua Pemuda.

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sembilan, Mohd Zulkarnain Md Zaki menegur kepemimpinan parti itu yang dilihat tidak peka serta sensitif dalam mendepani isu semasa.

Katanya, dalam menjalinkan 'tahalluf siasi' bersama rakan pakatan pembangkang lain, PKR dan DAP, PAS sepatutnya mendominasi kerjasama itu terutama dalam memimpin kepada pembangunan Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan