Selasa, 13 November 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tiga anggota polis didakwa rogol wanita Indonesia ditahan reman

Posted: 13 Nov 2012 01:23 AM PST

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia di Pulau Pinang minggu lalu sudah ditahan reman, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, kementerian memandang serius kes itu yang didakwa berlaku pada jam 7 pagi di Perai, Jumaat lalu.

"Kementerian telah menghubungi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah pada hari kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Dan dimaklumkan tiga anggota polis terbabit ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, laporan siasatan yang lengkap akan dikemuka kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya pihak polis turut memaklumkan bahawa satu pasukan khas ditubuh bagi menyiasat kes itu secara telus.

"Kementerian akan terus menyusul perkembangan kes ini dengan pihak polis dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan Indonesia berhubung perkara ini," katanya.
- BERNAMA

Kehadiran pekerja bantut usaha empat lelaki samun ATM

Posted: 13 Nov 2012 01:06 AM PST

KUALA LUMPUR: Kehadiran seorang pekerja membantutkan usaha empat penjenayah yang cuba memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak di Batu 13, Jalan Klang Lama-Puchong, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, empat suspek yang bertopi keledar bertutup muka terpaksa berputih mata selepas perbuatan mereka disaksi pekerja berusia 60 tahun berkenaan yang tiba untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ketika tiba untuk bekerja, warga emas itu terdengar suara orang dari dalam premis dan ternampak percikan api.

Menyedari perbuatan mereka diperhati pekerja itu, dua suspek dengan seorang daripadanya bersenjatakan besi keluar dan mengheret mangsa ke belakang kedai sebelum memijak serta memukulnya, katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, empat suspek terbabit kemudian melarikan diri menaiki dua motosikal.

Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui dua tong gas 'oxy acetelyne, peralatan kimpal) dan sebatang besi yang ditinggalkan di hadapan mesin ATM di dalam stesen minyak berkenaan.

"Suspek tidak berjaya mengeluarkan wang dari mesin itu walaupun dinding besi di bahagian hadapan mesin berjaya dipotong," kata Yahaya.
Rakaman kamera litar tertutup berjaya merakamkan pergerakan tiga suspek berkenaan dengan 'full face helmets' berwarna putih dan biru sebelum kamera itu disembur dengan cat hitam.

"Siasatan mendapati premis yang ditutup pada 11 malam dan dibuka pada 6 pagi setiap hari itu tidak mempunyai pengawal. Lampu yang dipasang juga tidak begitu terang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan