Jumaat, 10 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


8 pengutip derma ditahan

Posted: 09 Aug 2012 02:10 PM PDT

SHAH ALAM: Lapan orang yang menggunakan nama pusat tahfiz dan madrasah sebagai modal untuk mengutip derma tanpa kebenaran pihak berkuasa agama ditahan dalam operasi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sekitar bandar raya ini dan Petaling Jaya, semalam.

Mereka membabitkan enam wanita dan dua lelaki berusia 16 hingga 50 tahun itu ditahan ketika sibuk meminta derma.


Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Jais, Hardi Mohamad Sadali berkata, operasi mencari pengutip derma itu bermula kira-kira jam 12 tengah hari membabitkan 15 penguat kuasa Jais.

"Tiga daripadanya ialah warga asing iaitu dua warga Indonesia dan seorang warga Thailand," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, semalam.


Hardi berkata, pihaknya membuat intipan selama sebulan bagi mengesan aktiviti peminta derma terbabit.


"Mereka menggunakan nama pusat tahfiz dan madrasah sebagai modal untuk mengutip derma.

"Mana-mana pihak atau individu yang hendak mengutip derma perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais)," katanya.


Hardi menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memberi sumbangan wang tunai kepada peminta derma terbabit kerana dibimbangi tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya.

"Kita juga tidak membenarkan mereka melakukan kegiatan itu di tempat-tempat awam seperti di bank dan stesen minyak" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/10


‘Emak pesan jangan nakal’

Posted: 09 Aug 2012 02:05 PM PDT

SABAK BERNAM: "Arwah emak pernah berpesan, jika dia meninggal dunia, dia suruh saya tinggal dengan ayah. Dia pesan supaya jangan nakal-nakal, namun tak sangka kedua-duanya pergi sekali gus."

Demikian kata Adam Mohd Fyros Khan, 9, anak bongsu kepada pasangan Mohd Fyros Khan P A S Abdul Rahman, 51, dan Sarimah Mohd Salleh, 49, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 41, Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Kampung Tebuk Pulai, di sini, semalam.


Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari, pasangan suami isteri yang menaiki motosikal itu maut dirempuh sebuah Proton Waja.

Ketika kejadian, Mohd Fyros Khan baru menjemput Sarimah di Parit Enam, di sini, selepas program bersama Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabak Bernam di Kuala Selangor.


Mangsa yang keluar dari simpang Jalan Parit Enam untuk pulang ke rumah di Kampung Gertak Tinggi, di sini, dirempuh kereta berkenaan yang datang dari arah Sabak Bernam sebelum merempuh sebuah lori dari arah bertentangan.


Adam ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka kejadian sedih itu menimpa keluarganya terutama menjelang Aidilfitri ini.

"Emak tak sempat belikan baju raya untuk saya lagi. Dia juga berjanji untuk buatkan saya baju Melayu dan nampaknya tak sempat," katanya.


Anak sulung mangsa, Musyawir, 20, berkata, kali terakhir dia berjumpa bapanya di rumah mereka pada jam 10 pagi semalam.

"Arwah nampak biasa saja dan tidak menunjukkan tanda-tanda yang dia akan pergi.


"Dia juga bersembang seperti biasa dengan saya," katanya yang bekerja sebagai tukang kasut.


Jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 40, di sini, malam tadi.


Sementara itu, saksi, Mohd Hizham Johan Ariffin, 19, berkata, dia yang menunggang motosikal di belakang Proton Waja berkenaan tergamam apabila melihatnya merempuh mangsa yang melambung kira-kira lima meter sebelum terjatuh di atas jalan.


"Saya nampak mangsa jatuh dan menggelupur kesakitan menyebabkan saya tak berani tolong mereka," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, kejadian berlaku apabila mangsa keluar dari simpang Jalan Parit Enam. sebelum dirempuh kereta Proton Waja yang datang dari arah Sabak Bernam.


"Rempuhan itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dan parah di kepala dan badan," katanya.


Mohd Fyros Khan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Sarimah meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, di sini.


Noor Mushar berkata, pemandu kereta Proton Waja, Ramli Bardan, 54, dan rakannya, Zarina Wah, 39, cedera selepas ia merempuh pula sebuah lori dari arah bertentangan.


"Pemandu lori berkenaan, Mohd Rozaimi Che Ibrahim, 31, tidak cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/10


Tiada ulasan:

Catat Ulasan