Sabtu, 25 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Monyet Ceria’ bawa bencana

Posted: 24 Aug 2012 11:34 AM PDT

KUALA LUMPUR: Permainan judi mesin slot 'Funky Monkey' atau lebih dikenali sebagai 'Monyet Ceria' kini antara yang menjadi kegilaan kebanyakan kaki judi di sekitar ibu kota untuk bertaruh bagi memenangi wang tekaan.

Berselindung di sebalik kafe siber dan pusat komputer, pihak yang menjalankan perjudian itu kini mempertaruhkan permainan Monyet Ceria sebagai permainan utama kepada pelanggan sebelum mereka tewas ribuan ringgit.


Tinjauan di beberapa pusat siber di Kepong, Cheras, Bangsar dan pusat bandar raya mendapati permainan itu menjadi pilihan utama pelanggan dengan tekaan hanya bermodal RM1, mereka layak memenangi sehingga RM800.

Bukan hanya dikunjungi pelanggan dewasa, malah permainan terbabit turut disukai pelajar dan remaja yang terjebak gejala sosial itu selepas diajak rakan.


Wartawan yang memasuki pusat judi di Kepong dan pusat bandar selama enam jam difahamkan premis terbabit dibuka 24 jam sehari dengan menawarkan pelbagai permainan judi untuk dipertaruh.


Selain Funky Monkey antara menjadi pilihan ialah Rockin Roller, Nepiunes Kingdom, Safari, Haunted House, Magic Scots dan Real Classic.

Melalui perbualan bersama penjaga premis judi di Kepong, difahamkan pemilik perniagaan itu meraih hampir ratusan ribu ringgit sehari selepas pusat judi terbabit dikunjungi ramai pelanggan.


"Sekarang ini, ramai bertaruh Funky Monkey, ada yang menang dan ada yang kalah. Kalau beli seringgit boleh menang RM800, kalau RM2 dapat RM1,600, kalau beli banyak, puluhan ribu boleh menang," katanya.

Funky Monkey adalah permainan judi memerlukan setiap barisan slot menyamai urutan objek dikehendaki antaranya 1Bar, 2Bar, 3Bar, objek pisang, cermin mata, kelapa muda, pokok dan gendang.


Bagi hadiah terbesar, sekiranya semua gendang menyamai garisan slot, tekaan RM1 mampu memenangi RM800 dan seterusnya. Namun, kebanyakan pelanggan ditemui dan bertaruh hanya menggelengkan kepala selepas kalah ribuan ringgit.


Pelanggan dikenali sebagai Pak Kadir, 52, yang juga pemandu bas berkata, setiap hari dia mengunjungi pusat judi dan bermain Funky Monkey selepas ketagih sejak setahun lalu.


"Kalau diikutkan bermain judi komputer ini, puluhan ribu saya kalah, tetapi apakan daya sukar meninggalkan tabiat buruk ini. Setiap hari mesti bertaruh walau sekali," katanya.


Pak Kadir ketika ditemui di sebuah premis di Kepong berkata, sepanjang berjudi, dia banyak kalah berbanding menang.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


Rumah hakim dipecah masuk

Posted: 24 Aug 2012 11:32 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang hakim Mahkamah Tinggi kerugian lebih RM100,000 apabila rumahnya di Bukit Setiawangsa dipecah masuk ketika mangsa sekeluarga bercuti sempena Aidilfitri di kampung.

Kejadian disedari keluarga hakim wanita berusia 50-an yang bergelar Datuk itu, yang tiba di rumahnya dari utara jam 5 petang kelmarin.


Menurut seorang ahli keluarga mangsa yang ditemui di rumahnya semalam, mereka sekeluarga pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri pada Sabtu lalu dan sebaik pulang ke rumah mendapati pintu pagar automatik sudah terbuka, manakala pintu depan rumahnya mempunyai kesan diumpil.

Pelbagai perkakas elektrik, barangan berharga seperti jam, barang kemas dan komputer serta sebuah kereta Perodua Myvi dilarikan perompak, namun beliau enggan mengulas lanjut berhubung kejadian itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 25/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan