Ahad, 26 Ogos 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Keadaan trafik meningkat namun terkawal

Posted: 26 Aug 2012 01:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan di sepanjang lebuh raya utama menghala ke ibu kota dilaporkan meningkat sejak tengahari sehingga 4 petang ini mengakibatkan pergerakan trafik perlahan di beberapa kawasan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama hari ini berkata trafik menghala ke ibu negara dilaporkan bergerak perlahan di beberapa kawasan melibatkan aliran dari Seremban, dari plaza tol Karak dan dari plaza tol Bentong.

"Keadaan trafik bergerak perlahan disebabkan orang ramai mula pulang ke ibu kota sempena sesi persekolahan yang akan bermula esok," katanya.
Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd pula melaporkan keadaan trafik dari arah utara menghala ke ibu negara turut bergerak perlahan terutama dari plaza tol Juru ke Bukit Tambun, dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak menghala ke Terowong Menora, dari Simpang Pulai ke Gopeng dan dari Sungkai ke Slim River.

Keadaan trafik menuju ke ibu kota selepas Slim River dilaporkan agak lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Lembaga Lebuhraya Malaysia di 1800-88-7752 dan laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Kerajaan akan perkenal NBOS 7

Posted: 26 Aug 2012 01:37 AM PDT

IPOH: Kerajaan akan memperkenalkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan 7 (NBOS 7) iaitu inisiatif menghubungkan antara Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) supaya melaluinya produk makanan dan hasil pertanian boleh dibawa ke bandar secara berskala besar.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata matlamat strategi itu adalah untuk melakukan transformasi masyarakat di kedua-dua kawasan selain menjadikan wilayah luar bandar sebagai pusat ekonomi, sekali gus mengelakkan perpindahan komunitinya ke bandar.

"Dengan gabungan ini, produk luar bandar akan pergi ke bandar terutama dalam konteks produk makanan dan hasil pertanian. (Sekarang) kita dapati produk luar bandar yang pergi ke bandar peratusannya tidak tinggi seperti kebanyakan negara lain kerana ada kekangan di situ, akhirnya kita terpaksa import barangan dan hasil pertanian luar negara yang harganya tinggi," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja pemasangan jambatan bailey Kampung Razak-Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Gugusan Manjoi di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu turut berupaya mengelakkan perpindahan masyarakat luar bandar ke bandar yang boleh mewujudkan masalah lain di kawasan bandar apabila tidak mendapat pekerjaan dan berpendapatan rendah.

Strategi itu akan diperkenalkan kerajaan bagi melakukan evolusi dan meningkatkan kapasiti kawasan luar bandar supaya gabungan kekuatan luar bandar serta bandar dapat dipadukan bagi membina negara maju berpendapatan tinggi serta rakyat turut mencapai indeks kebahagiaan tinggi, katanya.

Katanya dalam strategi transformasi negara, kerajaan mempunyai dua inisiatif besar iaitu melalui program transformasi kerajaan (GTP), transformasi politik, program transformasi luar bandar dan program transformasi ekonomi (ETP) serta satu lagi inisiatif di bawah NBOS.

Di bawah rangka NBOS katanya kerajaan telah wujudkan UTC dan RTC yang akan memacu negara bukan hanya semata-mata mahu mencapai matlamat berpendapatan tinggi malah mahu mencapai indeks kebahagiaan tinggi seperti yang dicatat di Switzerland.
"Jadi apa yang kita mahu capai adalah pendapatan tinggi dan indeks kebahagiaan tinggi. Berbezanya kita daripada negara lain (yang telah capai indeks kebahagiaan tinggi) adalah mereka mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat.

Apabila kita mencapai itu nanti kita tidak akan tinggikan cukai seperti negara berkenaan," katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Perdana Menteri melancarkan kad '1Malaysia Privilege Card' di bawah inisiatif NBOS 6 untuk 241,000 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia menikmati diskaun dalam pelbagai perbelanjaan barangan seperti keperluan harian, alat sukan, alat ganti kenderaan, perhotelan dan barangan kesihatan.

Inisiatif di bawah NBOS 6 adalah berkisar kepada kerjasama unik antara pelbagai jabatan serta agensi kerajaan yang diperkenalkan Malaysia, khusus untuk manfaat rakyat dan negara. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan