Rabu, 29 Ogos 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Petani di Kelantan rugi tanaman padi diserang kutu beruang

Posted: 29 Aug 2012 03:44 AM PDT

PASIR PUTEH: Empat puluh dua petani mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM200,000 apabila 60 hektar tanaman padi yang mereka usahakan di Kampung Gong Kulim di sini, musnah diserang serangga kutu beruang.

Ketua petani kampung berkenaan, Yusuf Hamat, 50, berkata serangga itu mulai menyerang ketika pokok padi berumur tiga minggu selepas ditabur benih pada April lepas.

"Pokok padi yang diserang itu menjadi kering dan hangus akibat kepanasan dan terus musnah...jika tidak rosak kami sudah merasai hasilnya sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan tanaman padi itu, hari ini.

Beliau berharap kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan dapat membantu untuk membolehkan mereka mengerjakan tanaman padi pada musim baru yang akan bermula bulan depan.


Setiausaha projek berkenaan, Abdul Rahman Awang Noh, 45, berkata petani telah berusaha untuk menyelamatkan tanaman mereka daripada serangan serangga itu dengan menyembur racun tetapi tidak berhasil.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak, Mustapa Hamzah ketika dihubungi di sini berkata pihaknya akan membuat siasatan untuk mengetahui jumlah kerosakan sebenar.

Laporan siasatan itu akan dihantar kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk tindakan lanjut, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Pemilik barang lusuh miliki 108 kelongsong peluru M-16 ditahan

Posted: 29 Aug 2012 02:41 AM PDT

KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik premis barangan lusuh ditahan polis selepas 108 biji kelongsong peluru ditemui di premis besi buruk tidak berlesen miliknya di Jalan Tengku Mizan berdekatan Jambatan Sultan Mahmud, di sini semalam.

Kelongsong peluru jenis 5.56mm dipercayai kegunaan senjata M-16 itu ditemui di dalam satu beg plastik di dalam premis berkenaan ketika serbuan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira 3 petang semalam.

Malah pemilik premis berusia 45 tahun itu juga dipercayai membeli dan memiliki barangan lusuh yang dicuri di sekitar daerah ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan berkata kelongsong peluru itu dipercayai dijual pengumpul besi buruk kerana ia mempunyai nilai kerana diperbuat daripada tembaga.


"Tetapi kita masih tidak dapat kenal pasti dari mana kelongsong itu diperoleh," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.


Polis turut menemui sebuah beg mengandungi kepala paip dan meter air yang dipercayai dicuri dalam serbuan itu, katanya.

"Selain itu kita turut jumpa 18 guni dan dua tong mengandungi keratan tembaga dan ia juga dipercayai diambil dari kabel telefon tetapi kita tidak dapat kenal pasti pemiliknya kerana penebatnya telah dibuang," katanya.

Jelasnya, serbuan yang turut disertai beberapa pegawai syarikat telekomunikasi Celcom itu turut menemui empat bateri bekalan kuasa sokongan pencawang telekomunikasi dengan tiga daripadanya disahkan milik Celcom manakala satu lagi belum dikenal pasti.

Katanya suspek yang merupakan warga tempatan itu kini ditahan reman untuk siasatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 29/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan