Rabu, 15 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Maut kerana meja usang

Posted: 13 Aug 2012 12:34 PM PDT

SERDANG: Hanya kerana meja usang, seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah tapak perniagaan di Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa, Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.


Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan kira-kira jam 2 pagi.

Lelaki terbabit dikatakan menjalankan perniagaan di kawasan sama.


Adik angkat mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Bilik Mayat Hospital Serdang, di sini, berkata akibat rasa tidak puas hati itu, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya.


"Abang saya dibelasah lebih 12 lelaki. Ketika itu, ramai peniaga dan pengunjung menyaksikan kejadian itu namun tiada sesiapa yang berani membantu.

"Melihat keadaan abang yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri, semua mereka melarikan diri. Orang ramai kemudian menghubungi ambulans sebelum abang dihantar ke Hospital Serdang," katanya.


Bagaimanapun, abangnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Adik mangsa, Hamizi Sidek, 40, berkata dia menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan abangnya sudah meninggal dunia dan memintanya datang ke hospital.


"Saya tidak tahu apa berlaku tetapi mengikut laporan polis abang saya dipukul sekumpulan lelaki. Abang saya sudah menjalankan perniagaan di tapak perniagaan itu sejak lima tahun lalu.


"Hasil bedah siasat, abang saya dimaklum meninggal kerana serangan jantung akibat dipukul dengan teruk. Saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menahan mereka yang bertanggungjawab," katanya.


Bekas isteri mangsa dan tiga anak lelakinya masing-masing berusia 15 tahun dan kembar mereka berusia 12 tahun kelihatan tiba di bilik mayat hospital itu kira-kira jam 5 petang selepas dimaklumkan kematian mangsa.


Tiga anak lelaki arwah hanya mampu menitiskan air mata sebaik menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir sebelum dikafankan dan dibawa menaiki van jenazah.


Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Mengkarak, dekat Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan malah pihaknya sedang berusaha mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


Siling Hospital Serdang runtuh

Posted: 13 Aug 2012 12:30 PM PDT

SERDANG: Seorang doktor dan tiga jururawat Hospital Serdang (HS), di sini, yang sedang bertugas di kaunter jururawat wad kecemasan, Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu cedera selepas siling di kaunter berkenaan runtuh, awal pagi semalam.

Runtuhan 15 keping siling berkenaan menghempap kepala dan belakang badan keempat-empat kakitangan terbabit menyebabkan seorang daripada mereka menerima jahitan di tangan manakala tiga yang lain hanya cedera ringan.


Pengarahnya, Datuk Dr Ardi Awang berkata, dalam kejadian jam 2.45 pagi di kaunter jururawat wad kecemasan itu mencederakan empat kakitangan hospital yang sedang bertugas di kaunter manakala terdapat beberapa pesakit dalam bilik rawatan.

"Kejadian menyebabkan seorang pegawai perubatan dan tiga jururawat berusia 20-an terkena runtuhan dan mengalami cedera ringan. "Siasatan awal mendapati kejadian runtuhan siling itu berpunca daripada satu skru yang mengikat lantai bumbung tercabut menyebabkan satu lagi skru patah hingga gagal menampung berat siling dan runtuh," katanya ketika sidang media di sini, semalam.


Katanya, hanya satu peralatan dilaporkan mengalami kerosakan kecil iaitu alat untuk melihat salinan imbasan sinaran-X manakala beberapa peralatan lain termasuk komputer tidak rosak.


Dr Ardi berkata, kerja pembersihan dan baik pulih sudah dijalankan seawal jam 8 pagi dan urusan pentadbiran berjalan seperti biasa.

"Kejadian runtuhan siling yang menghempap kakitangan hospital ini kali pertama berlaku. Kami juga sudah menjalankan pemantauan di semua kawasan dan setakat ini, tiada kesan akan berlaku runtuhan sama.


"Malah, pemeriksaan terperinci juga sudah dijalankan dan tiada tanda akan berlaku kejadian seperti itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 14/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan