Ahad, 26 Ogos 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Samun 9 dulang barang kemas

Posted: 25 Aug 2012 07:34 AM PDT

SEREMBAN: Dua perompak bersenjatakan sepucuk pistol automatik melarikan sembilan dulang barang kemas dalam tempoh kurang lima minit di sebuah kedai emas dalam kejadian samun di Jalan Datuk Bandar Tunggal, di sini, petang kelmarin.

Kejadian berlaku jam 5 petang selepas dua suspek memakai topi keledar menyerbu masuk ke kedai emas itu ketika pekerjanya berkemas untuk menutup operasi.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Lim Kim Fook berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki berusia 30-an datang ke kedai terbabit dengan sebuah motosikal dan berhenti di depan premis.

Beliau berkata, sebaik masuk ke kedai, kedua-dua lelaki itu meminta tiga pekerja di kaunter memasukkan barang kemas pelbagai jenis ke dalam beg dibawa sambil seorang daripada mereka mengacukan pistol.


"Ketika kejadian, ada lima orang di dalam kedai, termasuk seorang pengawal keselamatan yang tidak bersenjata selain tiga pekerja di kaunter kedai jam yang terletak bersebelahan.


"Ketika itu, pemilik kedai berada di bahagian belakang dan semua yang berada di dalam premis terpaksa menurut permintaan penjenayah terbabit demi keselamatan.

"Kedua-dua suspek kemudian melarikan diri bersama sembilan dulang barang kemas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.


Lim berkata, tiada pelanggan di dalam premis ketika kejadian dan pemilik sibuk berkemas untuk menutup kedai.

Menurutnya, polis akan meneliti rakaman kamera kawalan litar tertutup (CCTV) dan kerugian belum ditaksirkan.


Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan setakat ini suspek belum dikenal pasti.


"Ini antara kejadian samun terbesar setakat ini membabitkan kedai barangan kemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Ajal lelaki kereta bertembung

Posted: 25 Aug 2012 07:30 AM PDT

ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 29 tahun maut di tempat kejadian selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Alor Setar-Air Hitam, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi, Ewe Chang Yee meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan, termasuk kepala dan badan.


Ewe yang berasal dari Simpang Empat, Kerpan, Jerlun dipercayai menuju ke Air Hitam dari pusat bandar sebelum terbabit dalam kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.


"Ketika kejadian, mangsa memandu kereta jenis Nissan Sunny dikatakan gagal memotong sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi semalam.


Katanya, pertembungan itu mengakibatkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia, manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda itu tidak cedera.

Menurutnya, mayat Ewe dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 26/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan