Isnin, 20 Ogos 2012

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Sambut raya berbaju lusuh

Posted: 12 Aug 2012 03:39 PM PDT

RAWANG: Hati siapa tidak pilu melihat keadaan kedaifan pasangan mualaf ini yang mempunyai 16 anak, lebih-lebih lagi ketika umat Islam bersiap untuk menyambut 1 Syawal.

Duduk di rumah sewa di Jalan Inai, Bukit Beruntung, di sini, pasangan terbabit yang berasal dari Sabah tidak mampu memberi keceriaan kepada anak mereka walaupun sehelai baju raya untuk setiap seorang.

Penulis sendiri menitis air mata melihat keadaan anak pasangan itu yang memakai baju usang manakala kelengkapan rumah sudah buruk, malah sebahagian besarnya disumbangkan orang ramai yang bersimpati dengan nasib 18 anak beranak itu.

Cuma yang ada peti ais dan televisyen lama serta meja buruk menghiasi ruang tamu, itupun diberikan orang ramai.


"Ibu mana tidak sedih melihat anak hidup serba berkurangan. Aidilfitri sudah hampir, tetapi tiada baju baru dan tiada persiapan sempurna. Namun ini ketentuan takdir keluarga kami," kata Siti Nur Faizah Abdullah, 43, mengenai kehidupannya bersama suami, Junatal Asah, 45.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 20/08/2012


Lari panik

Posted: 12 Aug 2012 03:39 PM PDT

ALOR GAJAH: Sekumpulan empat penjenayah sanggup menggunakan bom untuk memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Pekan Masjid Tanah, di sini, pagi semalam.

Kejadian jam 3.40 pagi itu bukan saja memusnahkan dua mesin ATM dan satu mesin deposit, malah bahagian depan serta tingkat bawah bank berkenaan.


Penjenayah yang menaiki dua motosikal itu, bagaimanapun pulang tangan kosong berikutan gagal mengambil wang kerana panik selepas letupan kuat itu memusnahkan struktur bank berkenaan.

Saksi kejadian, Mohd Nazirul Mohd Nor, 26, berkata, dia yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian terkejut terdengar letupan kuat.


"Letupan itu menggegarkan hadapan rumah dan saya keluar melakukan pemeriksaan sebelum melihat serpihan kaca berkecai di merata tempat berdekatan bank. "Malah terdapat serpihan komponen tertanggal tercampak 15 meter ke seberang jalan akibat letupan itu," katanya.


Menurutnya, dia menghubungi polis memaklumkan kejadian berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, polis menerima panggilan orang awam jam 3.40 pagi memaklumkan kejadian lalu sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan.


"Letupan kuat itu bukan saja memusnahkan hampir keseluruhan bahagian bawah bank malah siling tingkat yang menempatkan bahagian pengurusan runtuh selepas berlaku keretakan pada dinding.

"Penjenayah dipercayai menyasarkan tiga mesin wang, dua daripadanya mesin ATM dan satu lagi mesin deposit tunai, namun disebabkan letupan kuat, mereka melarikan diri," katanya. Turut berada di lokasi Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan), Superintendan R Gunarajan; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintendan Md Dom Dollah dan Ketua Turus Trafik dan Ketenteraman Awam, Inspektor Mohd Zuki Abd Ghani. Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan pengawal keselamatan yang ditugaskan difahamkan baru saja meronda sekitar kawasan bank berkenaan.


Sehubungan itu, sepasukan anggota Unit Forensik dan Pengesan Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.


"Berdasarkan siasatan, penjenayah menunggang motosikal Yamaha 125Z dipercayai cuba merompak bank berkenaan untuk mendapatkan wang menggunakan bahan letupan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 457/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan pecah masuk bangunan dan Seksyen 436 kanun sama atas kesalahan memusnahkan struktur bangunan. Manakala Seksyen 8 Akta Bahan Letupan atas kesalahan memiliki bahan letupan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 20/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan