Jumaat, 24 Ogos 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Penganggur tawar khidmat seks kepada polis dipenjara empat bulan

Posted: 24 Aug 2012 03:09 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang anggota polis, Rabu lepas.

Majistret Azmil Muntapha Abas memerintahkan Thung Siew Wan, 47, menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap 22 Ogos lepas.

Thung didakwa menawarkan perkhidmatan seks bagi maksud persundalan kepada Koperal Abd Rashid Jamaludin, 30, dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di hadapan RHB Bank, Jalan Bukit Bintang, Dang Wangi di sini pada 10 malam 22 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Di mahkamah sama, seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan dari India membabitkan RM96,000, Selasa lepas.

Kee Jit Tong, 58, didakwa bersubahat dengan Simon Choo yang masih bebas menipu N.Govindan dengan mendorong beliau menyerahkan RM96,000 untuk tujuan menukar kepada wang mata wang asing yang mana Govindan tidak akan menyerahkan wang tersebut jika tahu diperdayakan.

Kee dari Masai, Johor didakwa melakukan kesalahan itu di Business Center, Tingkat 1, Hotel Concorde Kuala Lumpur, Jalan Sultan Ismail, Dang Wangi di sini pada 2 petang 21 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Siew Ping menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin namun peguam Jason Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM3,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 September untuk tarikh sebutan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012


Polis tumpaskan 'Geng Bumper' yang aktif menyamun kenderaan sekitar ibu negara

Posted: 24 Aug 2012 02:35 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan 'Geng Bumper' yang aktif melakukan jenayah samun kenderaan sekitar ibu negara berikutan tertangkapnya empat lelaki di Jalan Gajus, di sini, 8 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata dalam kejadian 9.30 malam itu polis menahan empat lelaki berusia 21 hingga 31 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Camry dipercayai disamun di Taman Connaught pada hari yang sama.

"Hasil siasatan kita ke atas keempat-empat suspek ini membawa kita kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berumur 31 tahun di sebuah rumah di Klang pada hari yang sama.

Turut dirampas bersama suspek ialah sebuah kereta jenis Toyota Harrier yang disamun di Mont Kiara," katanya.


Beliau berkata dengan tertangkapnya kelima-lima suspek itu polis percaya dapat menumpaskan Geng Bumper yang aktif terlibat dalam jenayah samun kenderaan sejak beberapa bulan lalu serta menyelesaikan lima kes curi kenderaan di daerah Cheras.


Dalam kes berasingan, dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan curi kereta sekitar Cheras tumpas dalam 'Ops Rejang' yang dijalankan polis di Salak Selatan Baru, dekat sini, Sabtu lepas.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu polis menahan dua lelaki berumur 31 dan 49 tahun bersama sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang dicuri pada 14 Ogos lalu.

"Siasatan kita terus membawa kepada rumah suspek di Salak Selatan Baru dan menemui 136 karton rokok pelbagai jenama bernilai kira-kira RM5,000 yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dijual di pasaran tempatan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.

Dua suspek itu ditahan reman sehingga Isnin ini.

Dalam pada itu, polis daerah Cheras kini memburu dua suspek utama yang dipercayai terlibat dalam kejadian seorang lelaki ditetak menggunakan pedang samurai di Flat Sri Melaka, Cheras, dekat sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki berumur 40 tahun dipercayai datang ke rumah bekas kekasihnya untuk berhari raya dan ditetak di tangan kanan dipercayai oleh kekasih baru wanita itu akibat perselisihan faham.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek yang bernama Mohd Ifendi Mohd Nafiah, 30, yang beralamat 58-16-09, Flat Sri Sabah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan Hazirah Abdul Aziz, 22, yang beralamat 36-00-16, Flat Sri Melaka, Batu 3 setengah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur agar tampil memberikan maklumat di balai polis berhampiran. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 24/08/2012


Tiada ulasan:

Catat Ulasan